Aznil Nawawi 55 tahun bukan tarikh luput


Menjejaki tangga usia 55 tahun dalam beberapa purnama lagi, insan seni berjiwa besar ini tidak pernah meletakkan tanda noktah dalam langkahnya. Perjuangan dan usaha berterusan demi industri seni sentiasa membara dalam jiwa.

Tidak pernah lelah dalam menabur bakti memartabatkan industri, Datuk Aznil Nawawi atau lebih mesra disapa Pak Nil terus aktif dan menyimpan hasrat besar untuk menubuhkan yayasan sendiri.

Biarpun mungkin cabaran yang perlu ditongkah bukan calang-calang dan keringat yang perlu ditadah juga bukan kepalang namun dia yakin impian murninya itu bakal tercapai suatu hari nanti.

Matlamatnya satu, ikon pengacaraan ini mahu suara rakyat Malaysia tidak kira bidang dapat didengari dunia. Pendapat serta pandangan dilontar mudah tanpa halangan.

Tiada istilah putus asa mahupun mengalah, dia terus melangkah hebat dalam memastikan yayasan tersebut mampu berdiri megah dan menjadi platform anak muda menyuarakan buah fikiran.

“Kerja boleh memenatkan atau mengaktifkan kita. Bagi saya, pada usia hampir 55 tahun ini, kita masih boleh terus aktif dan menyumbangkan sesuatu dalam bidang yang diceburi.

“Kalau saya tidak kerja, badan akan lesu dan kesihatan juga akan terganggu. Sebab itu saya pastikan menjaga pemakanan dan kesihatan dengan baik supaya dapat terus bekerja.

“Saya mahu jadi inspirasi kepada rakyat Malaysia, usia 55 tahun bukan tanda aras untuk pasif dan tidak aktif. Kita harus terus berusaha untuk membuktikan sesuatu dalam hidup,” kata anak kelahiran Kuala Lumpur ini.

Mahu terus menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat, insan seni ini mencipta satu lagi kejayaan dalam hidup apabila dilantik sebagai duta alumni Universiti Malaya (UM).

Membuktikan pejuang seni bukan hanya untuk menghiburkan peminat, Pak Nil mahu anak muda terus mengejar impian dan tidak hanya belajar mengenali dunia menerusi bacaan buku.

“Saya suka melihat anak-anak muda yang baru berdaftar di UM. Saya suka tanamkan kepada mereka bahawa kita boleh menjadi seorang yang ‘gila-gila’ dan pada masa yang sama mengenggam segulung ijazah pada tangan.

“Saya bukan ulat buku. Banyak pertandingan yang disertai sehingga saya mengenali dunia menerusi penglibatan itu. Saya masuk pertandingan menyanyi, menari dan berpidato tapi pelajaran tetap diutamakan.

“Saya mahu anak muda faham, tidak semestinya kita membaca buku 24 jam sehari akan menjadikan diri seorang yang holistik. Kita perlu belajar tentang kehidupan menerusi pengalaman,” kata lulusan ekonomi ini.

Diaju soalan adakah persepsi masyarakat yang sentiasa memandang rendah dunia seni masih relevan, Pak Nil menggelengkan kepala. Jelas pelakon dan penyanyi ini, anak seni kini sudah bijak mengatur kata dan laku.

“Kita lihat ramai anak seni yang melontarkan pendapat tetapi sejauh mana mereka berani untuk bertanggungjawab atas kata-kata itu. Kita ada ramai artis yang mempunyai buah fikiran yang jitu.

“Kita dapat bezakan pemain industri yang jujur apabila memberi pendapat atau mereka yang hanya mengutip kata-kata untuk dijadikan kenyataan sendiri.

“Kita boleh jadi pejuang seni Kalau kita bersatu, anak seni tidak akan mudah diperkotak-katikkan. Apabila saya pulang dari Hollywood, saya belajar banyak perkara.

“Mereka di sana sangat bijak dan beri pendapat yang ada isi,” ujarnya.

Sudirman pada mata, hati Pak Nil

Menyanjung tinggi keperibadian dan kepintaran ikon seni, Sudirman Haji Arshad, Pak Nil yang sudah 22 tahun menyumbang bakti dalam seni ini sentiasa berusaha untuk mengikut jejak langkah seniman hebat itu.

Diaju soalan siapakah Sudirman ketika ini jika dia masih hidup, seraya tersenyum bangga, penyanyi Teramat Sangat ini membayangkan insan hebat itu sebagai seorang menteri yang memperjuang nasib anak seni.

“Saya rasa dia kini akan bergelar senator. Dia akan memperjuangn bidang seni dan juga undang-undang melibatkan nasib pemain industri. Siapa yang boleh mempertikai kebijaksanaan Sudirman?

“Dia boleh memberi pendapat dari pelbagai sektor. Inilah dia tokoh yang seharusnya menjadi ikutan anak-anak muda. Jiwa cintakan negaranya sangat besar dan sungguh menakjubkan.

“Dia adalah satu-satunya artis yang mempunyai album penuh dengan lagu-lagu patriotik. Dia merupakan ikon, tokoh dan pejuang seni yang sungguh luar biasa,” katanya.

Berbicara soal pemakaian baju Jalur Gemilangnya, pemenang pengacara paling popular untuk 11 tahun berturut-turut ini mahu memperkenal Sudirman kepada anak-anak muda.

“Semua orang ada cara tersendiri untuk membuktikan jiwa patriotik mereka. Kita tidak boleh menghukum atau mempertikai.

“Kalau saya pakai baju Jalur Gemilang, itu tidak bererti saya sudah cukup patriotik berbanding orang lain.

“Seorang yang patriotik adalah mereka yang mewakili negara dalam setiap patah kata dan laku. Mereka sentiasa mengutamakan negara dalam apa juga bidang yang diceburi,” jelas bintang utama dan pengarah filem Aku No.1 ini.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post