Selepas muncul dengan single Terima Kasih yang menjadi siulan peminat tahun lalu, Nor Atiqa Noor Azraff atau nama pentasnya, Kaka Azraff meneruskan kecintaan seni dengan single terbaru, Kembali, karya sepenuhnya oleh The Good Fellas dengan sentuhan magis, Alif Abdullah sebagai produser.
Dan tiada lain, wanita berusia 28 tahun itu menyasarkan ekspektasi tinggi terhadap Kembali agar terus memekarkan popularitinya dalam lapangan hiburan apatah lagi usai satu demi satu single yang dipersembahkan pantas menjadi halwa telinga para pengikutnya.
Menurut Kaka, Kembali merupakan lagu yang cukup sinonim dengan jiwanya. Tidak hanya itu, single ini boleh diterjemahkan sebagai 100 peratus berkait ruang lingkup kehidupan personal dan karier seninya.
“Lagu ini berkisar erti kebebasan di mana seseorang yang mempunyai perasaan kurang keyakinan diri memperoleh keberhasilan apabila keluar dari kepompong kesulitan hidup setelah mendapat petunjuk.
Cerita Kaka, lirik lagu yang matang memberi kelainan kepada single ini selain turut menekankan aspek vokal secara total tetapi lebih bersahaja dari sudut melodinya.
Menyambung bicara, pelontar lagu hit, Bukan Hal Aku ini memberitahu, Kembali menjalani pembikinan dan proses di belakang tabir selama dua bulan sebelum ia menjadi sebuah karya yang lengkap.
Ujarnya lagi, komposer lagu ini merupakan seorang individu yang kreatif dan memiliki cita rasa tinggi dalam setiap naskhah dihasilkan.
"Lebih menarik, dia sanggup bereksperimen sehingga mengeluarkan aneka versi demo Kembali sebelum saya membuat keputusan untuk memilih yang terbaik," katanya yang berharap single ini meraih perhatian peminat sekali gus dapat memberi sokongan terhadap sumbangan kecil hasil seninya bersama komposer terbabit.
Lebih signifikan, besar harapan Kaka agar Kembali mampu memberi magis sinar kepada semua yang mendengar dan mendalaminya.
Kaka yang juga wajah Selebriti Sokongan Riben Merah seliaan Majlis AIDS Malaysia mahu peminat mengundi lagu Kembali di radio.
Video muzik Kembali akan menjalani penggambaran pada 10 September ini yang digarap oleh Mohd Khairul Azri Md. Noor atau lebih dikenali sebagai Keroll.