Aizat Amdan berazam meneruskan projek vlognya secara berterusan kali ini, penyanyi yang dicungkil bakatnya menerusi program realiti, Akademi Fantasia musim kelima berharap projek terkininya ini dapat diterima ramai.
Meski tidak menafikan platform digital komunikasi lain seperti FB Live turut mendapat perhatian, namun Aizat nyata optimis meneruskan projek vlog menerusi YouTube.
“Saya ada juga buat FB Live melalui akaun rasmi, Aizat Amdan. Ya, Insya-ALLAH saya akan tetap buat FB live. Bagaimanapun, vlogging tetap menjadi keutamaan kerana kalau dilihat, akses untuk melihat video menerusi YouTube itu adalah lebih mudah.
"Jadi rasanya lebih baik untuk saya teruskan apa yang sudah kami lakukan sejak sekian lama. Harapnya kali ini, vlog saya akan lebih interesting,” katanya teruja.
Kongsi Aizat, jika sebelum ini dia dan abangnya melakukan vlog sekadar suka-suka bagi mengisi masa lapang, namun Aizat terharu apabila pihak Warner Music Malaysia terbuka menerima ideanya melakukan vlog sebagai satu platform terbaik untuk promosi sisi muziknya secara berterusan.
Katanya, sebelum ini dia hanya menggunakan kamera biasa namun bertukar kepada yang lebih canggih dan luas fungsi kegunaannya.
"Tambahan pula, saya memang suka create sesuatu yang fun untuk para peminat. Saya melakukan vlog untuk mengetengahkan apakah pendapat, pemikiran, dan live saya," katanya yang mengakui tidak memaparkan perkara yang terlalu personal untuk menjaga privasi sendiri.
Justeru, kata Aizat, dia perlu bantuan abangnya untuk edit dan memberi nasihat dalam hal melibatkan perkara yang boleh dan tidak patut didisiarkan.
Jelas Aizat lagi, sebelum ini dia menggunakan perkataan ‘aku’ sebagai perantara. Namun, ada yang berpendapat perkataan tersebut dilihat kasar, tidak sopan dan seperti kebudak-budakan. Jadi, mereka sepakat untuk menggunakan perkataan ‘saya’ yang dilihat lebih mesra dan menyeluruh.
Tidak terjejas
Ditanya sama ada sisi privasinya sebagai selebriti akan terjejas atas faktor pendedahan kehidupan menerusi vlog secara terbuka, Aizat mengakui dia tidak merasakan hal tersebut sebagai satu masalah besar.
Katanya, selain Amar yang bertindak sebagai editor, dia sendiri perlu peka terhadap sesetengah isu.
“Vlog tidak semestinya memaparkan soal gaya hidup dari A to Z semata. Sebaliknya, menjadi medium untuk kita kongsi inspirasi bersama penonton. Misalnya, saya ada muat naik mengenai pengalaman ketika proses turunkan berat badan tidak lama dulu.
“Macam mana saya hadapi cemuhan ketika di sekolah, siap tunjukkan jeans saya yang bersaiz 44! Jadi daripada situlah, saya cipta lagu Bagai Hidup Semula. Tak sangka pula, jadi viral,” luah Aizat mengenang kisah lalunya.
Sementara itu, Aizat kini dalam proses mengedit sebuah lagi posting vlog iaitu ketika dia bersama rakan artis lain di dalam siri One Moment For Them menyambut Hari Raya Haji bersama pesakit psikiatri di Pusat Perubatan UKM (HUKM) baru-baru ini yang menjadi pengalaman pertamanya menyambut perayaan ini bersama pesakit tersebut.
“Secara kebetulan, saya juga ada rakan yang mempunyai masalah depresi, gangguan bipolar, kemurungan dan sebagainya. Malah, ada di antara peminat yang menyatakan lagu Jangan Menangis memberi kekuatan untuk bangkit daripada kemurungan.
“Pada sesi lawatan itu, saya sempat berbual dengan dua pesakit yang mengalami masalah depresi melampau,” tutur Aizat yang kini sedang dalam proses menyiapkan single keduanya tahun ini yang bakal dilancarkan November depan.
Sementara itu, sebagai salah satu rangka promosi untuk Jangan Menangis, Aizat turut dijangka mengadakan IPT Tour di beberapa institusi pengajian tinggi tempatan terpilih.
Siri jelajah tersebut akan bermula Oktober hingga November depan. Antara IPT yang bakal dilawatinya ialah Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).