Faizal Hussein terkenal sebagai pelakon yang berkaliber menerusi pelbagai karakter yang pernah dijayakan baik di TV mahupun filem.
Terbaru, Faizal mencuba sesuatu yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini iaitu mengambil cabaran bergelar pengacara menerusi program terbaru terbitan RTM, Jejak Rezeki yang bakal disiarkan mulai 17 September ini, setiap Ahad, 3.05 petang.
Menerusi program 13 episod ini, Faizal akan menjejaki kehidupan mereka yang memerah keringat dan membanting tulang namun sering dipandang rendah meski pun mereka turut memberikan sumbangan yang besar kepada masyarakat.
Dalam setiap episod, Faizal akan mengikuti pekerja tersebut meninjau dan menyelami proses serta cabaran setiap pekerjaan dari awal sehingga mendapat hasilnya.
Malah dalam masa yang sama, mereka turut berkongsi cerita dan pengalaman sepanjang berkecimpung dalam pekerjaan yang sesetengah daripadanya telah menjadi pekerjaan turun temurun.
Menerusi episod pertama, Faizal menemui seorang On-call Runner, Razie yang membuat penghantaran menggunakan motosikal. Antara barangan yang dihantar seperti surat, dokumen, bunga, buah-buahan ataupun makanan.
Meski pun ada yang menganggap pekerja ini dalam kategori kelas bawahan, Razie memilih kerjaya ini kerana minatnya terhadap kerja perkhidmatan dan mendapat kepuasan apabila dapat menolong individu yang memerlukan perkhidmatannya.
Seterusnya penonton dibawa ke Benta, Pahang untuk mengetahui dengan lebih dekat lagi pekerjaan sebagai pembuat gula kabung yang telah lama wujud namun tidak lagi diminati golongan muda hari ini.
Pada minggu seterusnya penonton dibawa mendekati kehidupan seorang pemandu bot penambang di Tanjung Dawai, Kedah menerusi perkongsian daripada Pak Ngah atau nama sebenarnya Jamaluddin Hashim.
Diikuti dengan kehidupan seorang pencari hasil hutan iaitu Idris Ahmad atau mesra disapa Pak Lang yang telah 10 tahun bergiat dalam pekerjaan ini dan sejak lima tahun lalu dia dibantu seekor beruk kesayangan diberi nama Awe.
Pekerjaan ini menjadi pilihan kerana beliau mahir memanjat pokok dan ingin bekerja sendiri dalam meneruskan kelangsungan hidupnya bersama keluarga.
Faizal juga berkesempatan ke Kg. Lengkuas, Alor Star, Kedah untuk mengetahui dengan lebih dekat lagi pekerjaan sebagai Penggali Kubur.
Biarpun pada pandangan mata kasar, tugas menggali kubur adalah berat tetapi sebenarnya harapan, amanah dan tanggungjawab yang diletakkan ke bahu mereka adalah sangat besar dan tidak semua yang mampu melakukannya.
Begitu jugalah dengan pekerjaan sebagai Penarik Beca, Penghibur Jalanan ataupun Busker, Penebang Kayu Bakau, Pencari Baja Tahi Kelawar, Pencari Ikan Air Tawar, Penjaja Jalanan, Tukang Sapu dan Pengait Kelapa Sawit.
Meski pun baru pertama kali mengendalikan tugasan sebagai pengacara, Faizal ternyata dapat melakukan tugasnya dengan begitu baik menerusi interaksi menarik yang dibuat ketika menemu bual setiap mereka yang terlibat dalam paparan program Jejak Rezeki.