Saiful Apek & Yassin SYJ Berkelana kenali busker di seluruh negara


Selain melawak, kedua-dua tukang lelucon ini turut berbakat besar dalam bidang nyanyian.

“Kalau pelawak menjadi penyanyi, dia akan menjadi penyawak.” Itulah humor yang sering kali diungkapkan pelawak terkenal, Saiful Apek di mana-mana pentas lelucon.

Barangkali, ramai yang tidak tahu Saiful Apek dan rakannya, Yassin SYJ cukup berbakat besar dalam bidang nyanyian ketika bersama kumpulan Senario sedikit masa lalu.

Kini, tukang lelucon itu mengajak penonton menghayati bakat-bakat pemuzik busker menerusi program travelog berjudul Buskers Bersama Saiful Apek dan bersiaran pada setiap Ahad, pukul 10 malam di TV1.

Lebih menarik, Saiful turut ditemani Yassin sebagai hos bersama ketika berkelana mencari busker-busker berbakat di seluruh negara.

Travelog sebanyak 13 episod itu yang berkonsepkan seni yang terpinggir daripada pelbagai genre serta kepentingannya kepada masyarakat turut dibahagikan kepada tiga segmen iaitu Babak Jalanan, Keringat Seni dan Pemuzik yang bakal berkongsi lokasi, pengalaman busker dan pemuzik yang dipilih sekali gus membawa audiens mengenali lebih dekat terhadap golongan busker ini.

Menurut Saiful, dia berbesar hati kerana diberikan tanggungjawab menggalas tugas sebagai hos program travelog berkenaan.

“Kami mahu mengikis persepsi negatif masyarakat terhadap golongan busker yang mencari rezeki halal dengan bermain alat muzik secara terbuka di tempat umum.

“Pada masa sama, program ini juga dilihat sebagai antara medium terbaik mencungkil mana-mana pemuzik busker berbakat,” ujar Saiful.

Yassin pula memberitahu, beberapa elemen humor turut diselitkan sepanjang menjadi hos program berkenaan supaya dapat memikat hati audiens.


Selain mencungkil bakat baharu pemuzik busker, program ini turut membawa penonton berkelana ke beberapa lokasi menarik di seluruh negara.

“Penonton juga boleh menyaksikan sendiri betapa uniknya setiap pemuzik busker yang membuat persembahan sambil diiringi instrumen berbeza,” jelasnya.

Antara pemuzik busker yang terlibat sepanjang penggambaran program travelog berkenaan termasuklah Syed Amran Al Yahya, Herrin Busker, Eyelitz dan The Stringers di sekitar ibu negara.

Saiful dan Yassin juga berkelana menyaksikan persembahan busker kumpulan seperti D’Mutiara, Spesis Band dan Signature Band (Melaka), Belioo Busker dan The Double Shoes (Kuching, Sarawak), Slumber Busker (Kota Kinabalu, Sabah) dan NA Busker di Johor Bahru, Johor.

Pada masa sama, penonton boleh meninjau hasil seni grafiti yang menarik serta hasil kraftangan unik yang boleh didapati di sekitar persembahan busker, selain menyelami persembahan mana-mana penghibur jalanan seperti badut, penulis karikatur dan pelbagai lagi menerusi segmen Keringat Seni.

Selain itu, segmen Pemuzik pula mengetengahkan persembahan-persembahan busker yang menggunakan instrumen unik seperti akordion, gambus, djembe, caklempong, didgeridoo dan bagpipe.

Dalam pada itu, Pegawai Perhubungan Media & Publisiti, Bahagian Perhubungan Raya, Jabatan Penyiaran Malaysia, Nurhaninah Ayub berkata, penonton juga boleh menyaksikan episod-episod terdahulu menerusi portal online, Myklik di myklik.rtm.gov.my selain memuat turun aplikasi RTM Mobile di Google Play dan App Store.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post