Rosma Sidik pertaruhkan Sumpah Setia


Sepanjang 10 tahun tanpa sebarang karya, Rosma sebenarnya masih aktif dalam bidang nyanyian. Dia sering diundang untuk menjayakan undangan nyanyian untuk majlis khas.

Bukan mudah sebenarnya buat pemilik nama lengkap Rosmayati Sidik ini untuk meniti perjalanan sebagai seorang anak seni.

Mula dikenali dengan nama Rosma menerusi pertandingan realiti Akademi Fantasia (AF) musim pertama pada tahun 2003, ternyata kecintaan dirinya dalam bidang seni suara tidak pernah padam.

Pernah menghasilkan sebuah album solo berjudul Demi Kasih Ini pada tahun 2007, wanita berusia 32 tahun itu kemudian tampil dengan dua buah lagu duet bersama suaminya yang juga bekas peserta AF, Khai pada tahun 2008 dan 2013.

Hakikat yang pahit, namun harus ditelan, percubaan demi percubaan telah dilakukan Rosma bagi menarik perhatian peminat, namun semuanya menemui jalan buntu.

Kini melewati tahun 2017, seiring dengan tempoh sedekad tanpa sebarang karya solo, Rosma kembali meneruskan minatnya. Dia tampil dengan sebuah single baharu berjudul Sumpah Setia.

“Saya tahu 10 tahun bukanlah suatu tempoh masa yang singkat. Sejujurnya saya dan suami pernah menghasilkan dua buah lagu duet dalam waktu itu, namun ia kurang mendapat sambutan peminat.

“Ketika itu mungkin kami belum mempunyai pengalaman yang cukup dalam industri selain keadaan kewangan yang tidak stabil sehingga membuatkan semua percubaan saya tidak dapat pergi jauh,” ujarnya ketika ditemui semasa sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.

Hadiah

Mendapatkan khidmat penyanyi dan komposer popular, Edry Abdul Halim untuk buah tangan terbaharunya itu, tanpa berselindung Rosma mengakui puas dengan hasil lagu Sumpah Setia yang disifatkan menggambarkan jiwanya.

Kongsi Rosma, lagu berkenaan sebenarnya merupakan hadiah daripada suami tercinta. Lebih manis, dia tidak menyangka impian yang disimpan sejak tahun 2015 untuk bekerja dengan Edry benar-benar menjadi kenyataan.

“Saya pernah ditanya oleh suami tentang komposer mana yang diinginkan untuk menghasilkan single baharu. Ketika itu tiada nama lain yang keluar melainkan Edry Abdul Halim.

“Suami saya seorang yang begitu menyukai kejutan, jadi dia mengaturkan pertemuan bersama Edry secara senyap-senyap. Ketika itu saya bagaikan tidak percaya impian untuk bekerja dengan Edry tercapai,” katanya yang juga pernah bekerja bersama komposer tersohor negara, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan dan Ajai.

Ditanya tentang proses menyiapkan lagu tersebut, akui Rosma, ia mengambil masa yang sedikit panjang berikutan suaminya mengalami gelinciran cakera tulang belakang atau slip disc.

Pun begitu, Rosma tetap berpuas hati dengan hasilnya lebih-lebih lagi apabila lagu berkenaan menonjolkan kematangan vokal miliknya.

“Sebelum ini saya terikat dengan syarikat rakaman dan perlu menyanyikan lagu yang dipilih mereka. Pun begitu, untuk single ini saya puas apabila dapat meminta sebuah lagu yang benar-benar menggambarkan jiwa saya.

“Lagu ini berkonsepkan balada dan menggambarkan rasa cinta serta sayang bukan sahaja terhadap insan kesayangan, malah ia boleh disesuaikan dengan cinta kepada Pencipta, keluarga dan rakan-rakan.

“Proses merakamkan lagu ini juga mudah iaitu hanya mengambil masa selama empat jam sahaja pada bulan Mei lalu. Bagaimanapun, disebabkan suami saya mengalami slip disc, maka penghasilan muzik video dan promosi terpaksa ditangguh sehingga ke hujung bulan Julai,” terangnya panjang lebar.

Gigih

Diajak bercerita tentang perjalanan seni Rosma yang dilihat sedikit berliku, wanita kelahiran Kuantan, Pahang itu mengukir senyuman tenang.

Akuinya, untuk bergelar seorang anak seni yang berjaya bukanlah suatu perkara mudah. Justeru, bagi mengelakkan kejadian lama berulang, Rosma nekad kembali dengan sisi baharu yang lebih matang.

“Saya akui pernah hampir berputus asa apabila album dan lagu duet tidak mendapat sambutan. Ketika itu terasa seperti sangat membazir masa, tenaga dan wang.

“Silapnya dahulu saya dan suami tiada pengalaman. Semua kerja dilakukan berdua dan hasilnya kami seperti terumbang-ambing.

“Sekarang kami tidak mahu mengulangi kesilapan sama. Dengan berbekalkan pengalaman lalu, saya dan suami nekad mencari pasukan khas untuk mempromosikan lagu ini,” katanya yang kini bergerak di bawah syarikat sendiri, Eksklusif Pro Sdn. Bhd.

Bagaikan pucuk dicita ulam mendatang, pendakian semula Rosma dalam industri seni diperkukuhkan dengan penglibatannya dalam program AF Megastar yang sudah mula ditayangkan.

Menganggap tawaran yang hadir selepas dia tamat merakamkan lagu Sumpah Setia sebagai rezeki, Rosma bersyukur kerana perjalanannya untuk kembali aktif seperti dipermudahkan.

“Saya menerima tawaran untuk menghadiri uji bakat AF Megastar sebaik sahaja tamat merakamkan lagu Sumpah Setia. Ketika itu pelbagai perasaan gemuruh saya rasakan kerana sudah 14 tahun tidak melalui pengalaman uji bakat.

“Alhamdulillah, rezeki berpihak kepada saya, sekali gus mewakili bekas peserta AF1. Tawaran ini juga membuatkan perjalanan saya untuk kembali aktif bagaikan dipermudahkan,” tuturnya.

Kereta Audi

Dalam pada itu, Rosma sempat ditanya soal keluarga yang dibina bersama Khai atau nama sebenarnya, Khairul Nizam Mohamad, 38, sejak sembilan tahun lalu.

Sementelah, kisah suaminya itu menghadiahkan dirinya dengan sebuah kereta mewah jenis Audi TT menjadi viral kelmarin. Khai mengakui tidak bermaksud untuk riak dengan tindakannya tetapi hanya mahu menunaikan hajat isterinya sejak tujuh tahun lalu yang meminati kereta tersebut.

Terkejut sehingga menitiskan air mata sewaktu menerima hadiah tersebut, Rosma akui elemen-elemen kejutan dan sikap bertanggungjawab Khai membuatkan institusi perkahwinan mereka utuh.

“Saya memang meminati kenderaan tersebut dan tidak sangka hajat itu ditunaikan Khai. Sebenarnya saya tidak mengharapkan material, tetapi hidup bahagia dengan Khai pun sudah bersyukur,” katanya penuh teruja.

Malah katanya, bukan sahaja Khai tetapi anak-anaknya juga menjadi tunjang dalam kehidupannya.

Ujar ibu kepada Muhammad Amzar Danish, 8, dan Nur Amani Damia, 3, anak-anaknya sudah memahami kerjayanya yang kadangkala menuntut masa yang lebih panjang di luar berbanding berada di rumah.

“Anak-anak saya sangat memahami kerjaya ibu dan bapanya. Apabila saya praktis bernyanyi di rumah, anak-anak akan memberi ruang dan sentiasa menjadi penyokong serta pengkritik utama nyanyian saya.

“Selain itu, sebagai ibu bapa yang bekerjaya sebolehnya saya dan suami akan mencuri sedikit masa untuk bawa mereka berjalan-jalan.

“Paling kurang dua hari dalam seminggu pasti ada masa yang diperuntukkan untuk mereka agar anak-anak tidak berasa bosan,” kongsinya seraya menutup bicara.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post