Dayang Nurfaizah ambil positif setiap pandangan


Tiada apa yang lebih menggembirakan penyanyi asal Sarawak, Dayang Nurfaizah apabila diberi kepercayaan menyanyikan lagu tema Sukan Sea Kuala Lumpur 2017, Bangkit Bersama.

Lagu yang sarat nilai patriotisme dan semangat itu, nyata memberi inspirasi dan motivasi buat dirinya memberikan yang terbaik, terutama di dalam kerjaya seni selepas ini.

Ditemui sejurus Konsert The Stage Media Hiburan di Unisel Shah Alam baru-baru ini, Dayang yang mempunyai profil seni meyakinkan kebelakangan ini akui, pengalaman menyanyikan lagu tersebut adalah peluang keemasan yang tiada tolok bandingannya.

Kata pemilik nama sebenar Dayang Nurfaizah Awang Dowty itu lagi, ia ibarat peluang hadir sekali dalam hidup.

Turut mengalunkan beberapa buah lagu di majlis penutup sukan dwi-tahunan itu, Dayang memberitahu kepercayaan terhadapnya adalah satu memori berharga sebagai penyanyi, biarpun segelintir netizen pesimis terhadap lagu tersebut.

“Jujurnya, saya rasa bangga.Perasaan itu bercampur-baur. Tapi saya sedar, penerimaan peminat pun ada yang suka dan sebaliknya.

"Setiap orang berhak bagi pendapat masing-masing. Sebab, saya sudah buat yang terbaik terhadap tugasan yang diamanahkan. Sebagai penyanyi, bagi lagu apapun, kita kena sampaikan sehabis baik,” jelas Dayang yang tidak mahu cepat melatah dengan setiap kritikan.


Terbuka terima komen

Menyifatkan segala kritikan sebagai sandaran untuk memperbaiki diri, penerima The BrandLaureate Grand Master Brand Icon Leadership Award itu juga, tidak menafikan media sosial kini memudahkan netizen melontarkan apa sahaja komen.

“Awal kemunculan dalam industri dulu, platform media sosial taklah serancak sekarang. Ada komen melampau, tapi ruang akses itu agak terhad. Bagaimanapun, saya tak cuba balas kerana itu pendapat masing-masing,” terang penyanyi ini yang turut berterima kasih buat peminat yang memberi maklum balas baik terhadap album terbarunya.

“Terima kasih sekali lagi buat semua yang menyokong. Saya sedar, peminat turut bagi harapan besar untuk Separuh Mati Ku Bercinta supaya lagu ini dapat pergi jauh seperti Lelaki Teragung.

"Jualan album Dayang Nurfaizah pun masih lagi berjalan, Alhamdulillah,” luahnya yang bakal mengadakan konsert solo di Singapura 1 Januari depan.

Janji yang terbaik

Bekas juara Golden Teen Search 1997 ini tidak dapat menyembunyikan rasa terujanya. Meski masih awal untuk menyatakan konsep persembahan nanti, namun Dayang menjanjikan yang terbaik buat peminat di Esplanade, Singapura.

“Sekarang kami masih lagi dalam proses pemilihan lagu. Konsert itu nanti Jenny Chin. Tentunya saya letak harapan besar untuk Jenny dan kami sebelum ini pun pernah bekerjasama.

“Semoga peminat dari Malaysia dapat hadir meraikan tahun baru 2018 bersama-sama saya di sana, Insya-ALLAH,” akhiri Dayang optimis.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post