Jaclyn Victor timang anak kedua


Molly Marguerite Rivera dilahirkan pada tarikh yang sama dengan abangnya, Jonah Joshiah iaitu 24 Ogos.

Suatu perkara yang mengagumkan apabila penyanyi bersuara lantang, Jaclyn Victor melakukan persembahan pada acara penutupan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), 30 Ogos lalu hanya selepas seminggu melahirkan anak kedua, Molly Marguerite Rivera.

Juara Malaysian Idol musim pertama tersebut sebaliknya tidak mendedahkan kepada umum bahawa dia telah melahirkan anak perempuannya itu pada 24 Ogos lalu. Usai melunaskan tanggungjawab pada temasya dwitahunan itu, barulah dia sempat ‘memperkenalkan’ buah hatinya itu dalam Instagram miliknya.

Kata Jaclyn kepada Kosmo!, bukan niatnya untuk merahsiakan berita gembira itu daripada pengetahuan umum, namun dia bersyukur kerana segalanya berjalan dengan lancar. Bukan itu sahaja, anak keduanya itu turut berkongsi tarikh lahir yang sama dengan anak pertamanya, Jonah Joshiah Rivera iaitu pada tanggal 24 Ogos.

Isteri kepada penyanyi R&B, Shawn Rivera tersebut menambah, kemunculan dirinya mengadakan persembahan bertempat di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu bukan untuk memancing perhatian ramai tatkala dirinya masih dalam kondisi berpantang, sebaliknya ingin bertanggungjawab penuh terhadap kepercayaan yang diberikan penganjur kepada dirinya.

Kosmo!: Boleh Jaclyn kongsikan mengapa kelahiran Molly hanya diketahui umum seminggu selepas dilahirkan?

Jaclyn Victor: Sebenarnya, saya dijangka melahirkannya pada tarikh 29 Ogos tapi saya sudah berbincang dengan suami untuk bersalin melalui kaedah pembedahan.

Jadi, memandangkan tarikh lahir anak pertama Jonah pun 24 Ogos, doktor kata okey untuk saya bersalin dengan kaedah tersebut, maka lahirlah Molly Marguerite.

Semuanya berjalan dengan lancar. Dengan berat 3.01 kilogram dia selamat dilahirkan di Hospital Pantai, Kuala Lumpur.

Ramai yang tidak perasan sebenarnya anda hamil dan secara tiba-tiba melahirkan anak kedua, komen anda?

Begini, saya memang tidak memberitahu kepada orang ramai bahawa saya mengandung. Perut saya kalau mengandung pun begitu saja (kecil) saiznya.

Bukan niat untuk merahsiakan kelahiran anak kedua tapi lebih baik saya selesaikan apa yang patut dahulu.

Selepas keadaan telah stabil, barulah saya berkongsi kepada umum mengenai berita gembira ini.

Ramai yang terkejut apabila anda sebenarnya baru sahaja seminggu melahirkan anak ketika melakukan persembahan pada acara penutupan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. Apa komen anda?

Saya bukan ingin menunjuk kepada orang ramai bahawa walaupun baru seminggu bersalin, saya mampu menyanyi dengan baik di pentas. Bukan begitu.

Saya telah lama menerima tawaran untuk menyanyi pada acara penutupan Sukan SEA (KL2017). Jadi, saya tidak mahu menyusahkan orang ramai terutama pihak penganjur, maka saya lunaskan tanggungjawab menyanyi dan semuanya berlangsung dengan baik.

Barangkali juga ada yang kasihan dengan diri anda terpaksa melakukan persembahan dalam keadaan masih lagi berpantang. Apa pendapat anda?

Tidak ada masalah buat saya. Saya okey dan boleh menyanyi. Lepas tamat melakukan persembahan, saya sambung berpantang. Lepas ini saya akan berpantang elok-elok.

Saya juga terharu kerana rakan media memahami keadaan saya yang hanya akan mendedahkan kelahiran anak perempuan yang baru lahir ini apabila sudah bersedia.

Sekarang anda dan suami sudah mempunyai sepasang anak (lelaki dan perempuan), boleh kongsikan perasaan anda?

Gembira kerana terasa seperti mempunyai anak kembar yang lahir pada tarikh yang sama, namun berbeza dua tahun. Apa yang penting, Molly selamat dilahirkan secara sihat.

Mempunyai sepasang anak lelaki dan perempuan adalah impian saya. Terima kasih juga kepada keluarga yang sentiasa menyokong. Saya harap akan dapat kembali berat badan ideal saya selepas naik 10 kilogram ketika mengandungkan Molly.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post