Permulaan baik AF Megastar


Kesemua 12 peserta AF Megastar minggu pertama telah melepasi fasa minggu pertama program itu dengan gaya persembahan berbeza.

Minggu pertama bersiaran, program realiti terbaharu terbitan Astro, AF Megastar sudah menampakkan taringnya apabila seramai 12 orang peserta pada minggu pertama menyajikan persembahan bertenaga.

Pun begitu, tetap ada dalam kalangan peserta yang tidak memberikan persembahan terbaik meskipun mereka sudah mengutip pengalaman selama berada dalam industri.

Menurut juri tetap program itu, Datuk Ramli MS, faktor pemilihan lagu yang tidak sesuai dengan lontaran vokal menjadi salah satu penyebab kepada mutu persembahan kurang memberangsangkan yang ditunjukkan peserta pada malam tersebut.

“Persembahan pada malam ini ada yang bagus dan ada juga yang tidak. Pemilihan lagu sangat penting kerana dari situ kami sebagai juri dapat menilai mereka menerusi standard yang tertentu.

“Contohnya, ada antara penyanyi pada malam ini yang memilih lagu bernada tinggi kerana beranggapan penonton akan suka dan bertepuk tangan apabila tiba pada bahagian korus. Hakikatnya, pada telinga kami ia tidaklah begitu bagus.

“Sepatutnya, peserta perlu sedar bahawa landasan yang diberi ini adalah percuma dan rebutlah peluang yang telah terbuka di depan mata ini untuk melakukan yang terbaik,” katanya ketika ditemui usai persembahan.

Sebanyak 12 peserta pertama yang memulakan saingan AF Megastar ialah Zahid, Bob dan Adam daripada AF2, Marsha dan Idayu (AF3), Mila (AF5), Amir Jahari (AF9), Azhar (AF2013), Ewal dan Firman (AF2014), Sufie (AF2015) dan Ara (AF2016).

Balas dendam

Senada dengan kritikan juri, memang benar minggu pertama AF Megastar diwarnai oleh corak persembahan yang berbeza daripada kesemua 12 pesertanya.

Ada yang kelihatan begitu bersemangat menjadikan pentas tersebut selaku peluang kedua untuk ‘membalas dendam’ lantaran tersingkir awal sewaktu mewakili Akademi Fantasia (AF).

Antara peserta yang dilihat paling menyerlah adalah penyanyi kelahiran AF3, Idayu yang berjaya menzahirkan lagu berjudul Hurt nyanyian Christina Aguilera dengan cemerlang. Maka, tidak hairanlah jika pada akhir persembahan hampir kesemua penonton bangun dan memberi tepukan paling gemuruh buatnya.

Bagi juri jemputan, Ziana Zain pula, beliau menyifatkan pentas AF Megastar adalah platform terbaik untuk penonton mengubah mentaliti dengan menghargai penyanyi yang berbakat.

“Seperti yang saya sebut, peminat perlu membuka mata mereka seluas-luasnya dan menghargai mereka yang memiliki bakat luar biasa seperti beberapa orang peserta AF Megastar.

“Sebab saya percaya, mereka tidak dapat mengeluarkan seratus peratus bakat sewaktu dalam AF kerana mentaliti masyarakat yang gemar menilai luaran semata-mata. Bagaimanapun, mereka adalah penyanyi yang bagus, cuma rezeki tidak memihak suatu ketika dahulu,” katanya.

Jurang

Bukan untuk meletakkan perbezaan, namun jika dilihat kepada persembahan pertama ini, terdapat banyak jurang antara peserta lama dengan baharu.

Pengalaman mendewasakan seseorang dan ia memang terbukti buat peserta senior yang mampu menonjolkan diri dengan baik berbanding peserta junior yang masih kelihatan canggung untuk beraksi di atas pentas.

Namun, itu tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak memberi persembahan berkualiti memandangkan mereka semua telah melalui proses pembelajaran selepas masing-masing bergelar penyanyi profesional.

Status juara bukan landasan untuk seseorang penyanyi berasa selesa, sebaliknya ia akan memberi lebih cabaran kerana perlu bersaing dengan mereka yang tersingkir awal, namun memiliki kehebatan vokal dan bakat yang setanding.

Apa yang diharapkan adalah peserta sentiasa meletakkan pentas AF Megastar sebagai peluang kedua yang tersedia di depan mata untuk membuktikan kemampuan diri, sekali gus dapat meneruskan kelangsungan karier mereka di luar dengan jayanya selepas ini.

Sistem pemarkahan diadili sebanyak 60 peratus oleh pihak juri juga memainkan peranan penting dalam menentukan kualiti vokal penyanyi kerana ia datangnya daripada pihak yang profesional berbanding dengan sistem undian digunakan untuk musim AF terdahulu.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post