Raline Shah berlakon filem aksi Malaysia


Buat julung kali, bintang Indonesia, Raline Shah, 32, bakal berlakon dalam filem terbitan negara ini apabila bersetuju membintangi sebuah naskhah bercorak aksi kepolisian.

Pelakon Surga Yang Tak Dirindukan itu bagaimanapun belum dapat mendedahkan butiran lanjut mengenai filem susulan berkenaan.

Cuma kata aktres jelita terbabit, filem yang bakal memulakan penggambaran pada minggu depan itu akan menyaksikannya memegang watak inspektor polis Indonesia yang bertugas di negara ini.

Menurutnya, peluang berlakon dalam produksi berkenaan mampu menjadi batu loncatan untuk beliau mengukuhkan nama di Malaysia.

"Malaysia begitu dekat di hati saya. Saya pernah menetap dan belajar di negara ini ketika remaja. Bahkan, saya mempunyai ramai kawan di sini. Jadi tawaran berlakon filem ini dilihat kena pada masanya untuk saya terus mencabar diri di pentas seni.

"Istimewanya, ia juga menjadi pertaruhan dan percubaan pertama saya dalam filem aksi," katanya.

Raline berkata, sebelum ini beliau ada dihulurkan tawaran lakonan dan menjadi juri pertandingan popular di negara ini, tetapi ketika itu dirinya belum bersedia untuk menerimanya.

"Dalam hal membabitkan kerjaya, saya harus bersikap selektif. Saya tidak boleh mengambil mudah dalam hal sedemikian kerana setiap langkah yang diatur akan meninggalkan impak tersendiri," katanya kepada BH Online.

Menurut Raline, yang baru-baru ini turut tampil berduet dengan Marcell pada konsert Once In A Lifetime di ibu negara, beliau sudah pun menjalani latihan intensif sejak dua bulan lalu bagi merealisasikan watak berkenaan.

"Pelakon lain sudah memulakan latihan sekitar Julai, tetapi saya hanya dapat menyertai mereka kira-kira dua bulan lalu. Ia sangat intensif apabila saya perlu menjaga makan dan membina otot.

"Saya juga perlu menjalani latihan fizikal, termasuk ke gimnasium selain belajar seni mempertahankan diri seperti Muay Thai. Tidak terhenti di situ, saya kena belajar berlatih memegang senjata," katanya teruja.

Raline mula dikenali di Indonesia selepas menyertai pertandingan ratu cantik, Puteri Indonesia 2008. Namun, beliau hanya mula melangkah ke dunia lakonan menerusi filem berjudul 5 cm pada 2012.

Antara judul lain lakonannya ialah 99 Cahaya di Langit Eropa, Supernova, Surga Yang Tak Dirindukan dan sebuah filem indie, Terpana.

Post a Comment

Previous Post Next Post