Penyanyi Sufian Suhaimi menganggap single terbarunya, Terasa Ada, dilancarkan tepat pada waktunya ketika dia dilanda cinta dan bakal bergelar tunangan orang.
Bukan sekadar menggambarkan kehidupan dilaluinya ketika ini, malah buah hati pelakon Elfira Loy itu turut menyatakan lagu terbabit sesuai buat pasangan bercinta lain.
Dilancarkan Ogos lalu, Terasa Ada ialah single ketiga penyanyi berkenaan selepas Terakhir dan Harus Aku. Ia adalah hasil ciptaannya bersama Sirkhan.
Mengakui lagu berentak pop itu mempunyai kaitan serba sedikit dengan kehadiran aktres berkening lebat itu dalam kehidupannya, ia secara tidak langsung bagai ditujukan buat gadis istimewa berkenaan.
"Sebenarnya, lagu ini dirakam Mei lalu selepas sedikit demi sedikit idea muncul di minda. Malah, korusnya sudah pun mula dicipta sejak tahun lalu.
"Saya sendiri pernah memuatnaik sebahagiannya ke laman sosial sebagai 'teaser'. Lagu itu bagaimanapun siap sepenuhnya pada tahun ini.
"Ia boleh dikatakan dilancarkan tepat pada waktunya dengan apa yang saya alami ketika ini. Begitupun, secara keseluruhannya ia juga sesuai untuk pasangan bercinta lain di luar sana," katanya.
Dedah Sufian, ketika ilham menghasilkan lagu terbabit menjelma, dia belum lagi bercinta dengan pelakon yang turut bergelar usahawan itu.
"Waktu itu, 'roh' lagu berkenaan belum ada. Namun, ketika proses menyiapkannya, saya bertemu cinta," katanya.
Menurut Sufian, Terasa Ada bercerita mengenai bagaimana seseorang menghargai kedatangan insan istimewa dalam hidup.
"Ia berkisar bagaimana seseorang itu mahu meluahkan betapa dirinya jatuh cinta terhadap pasangan. Ibarat tiada apa dapat memisahkan mereka. Apapun terjadi, mereka tetap akan bersama," katanya.
Dalam pada itu, Sufian kini menghitung hari untuk melangsungkan pertunangan dengan Elfira, 6 Oktober ini. Majlis terbabit dikatakan bakal diadakan di ibu kota.
"Doakan yang baik-baik untuk majlis pertunangan kami nanti," katanya ringkas.