Kasih Sayang Hadiah Shuib Buat Siti Sarah


Sarah dan Shuib tidak tunggu hari istimewa untuk menunjukkan penghargaan.

Sebelum ini penyanyi Siti Sarah Raisuddin pernah menerima hadiah berupa sebuah kondominium berkembar daripada suami, Shuib (Sepahtu) sebagai tanda penghargaan kerana melahirkan anak ketiga mereka iaitu Ariq Matin.

Tidak cukup dengan itu, Sarah dikejutkan dengan sebentuk cincin bertatah berlian ketika ulang tahun keenam perkahwinan mereka berserta sebuah majlis persandingan.

Bagaimanapun Shuib memberitahu dia tidak menyediakan sebarang hadiah bersempena sambutan hari jadi isteri kesayangannya yang ke-33 pada 15 September ini.


Sarah turut mendendangkan lagu buat suaminya.

"Jujurnya sambutan hari jadi isteri pada tahun ini memang tiada hadiah istimewa cuma cukuplah cinta dan kasih sayang saya kepadanya... haha.

"Sebenarnya saya bukan jenis tunggu hari istimewa untuk beri hadiah kepada isteri dan kalau saya rasa inginkan berikan sesuatu saya akan buat kejutan.

"Begitu juga Sarah. Dia juga sering kejutkan saya dengan hadiah istimewa tanpa saya jangka dan tak tunggu hari jadi sahaja," katanya.


Masih banyak perkara yang ingin dicapai oleh penyanyi lagu Kesetiaan ini.

Shuib dan Sarah ditemui pada sambutan hari jadi Sarah yang ke-33 diadakan oleh kelab peminatnya iaitu Hearty Sarah di ibu negara.

Majlis bertemakan putih itu dihadiri hampir 100 orang peminat dan rakan pasangan itu.

Sebagai tanda terima kasih, Sarah turut mendendangkan beberapa buah lagu seperti Kesetian, Listen, Unbreak My Heart dan Jangan Kau Mimpi khas buat peminatnya.


Shuib dan Sarah bersama anak mereka, Ariq Matin.

Dalam pada itu, Sarah berkata, memandangkan sambutan hari lahir mereka tidak jauh, mereka merancang untuk bercuti di Pulau Pinang pada minggu hadapan.

"Sepanjang tiga bulan lalu, Shuib memang sibuk dengan kerjanya jadi kebetulan sekarang dia agak lapang dan idea untuk bercuti itu pun berlaku secara spontan.

"Ikut perancangannya kami ingin ke Pulau Pinang pada minggu depan tapi mungkin idea boleh berubah dan kami ke lokasi lain.


Romantik... Pasangan ini akan bercuti di Pulau Pinang.

"Percutian kami kali ini tidak akan disertai oleh anak-anak kerana ingin 'berbulan madu' sebentar," ujarnya.

Ditanya mengenai harapan dan perancangan sejajar dengan peningkatan usia, Sarah berkata, masih banyak perkara yang ingin dicapai dalam karier dan kehidupan peribadinya.

"Sebenarnya saya tak perasan masa berlalu dengan pantas dan kadang-kadang saya masih ingat umur saya masih 26 tahun!


Pasangan ini bahagia bersama tiga anak mereka.

"Apabila berusia 33 tahun ini kadang-kadang ada juga rasa adakah sudah terlambat untuk saya capai cita-cita tetapi sebenarnya ia bukan halangan.

"Masih banyak yang belum saya capai dalam hidup dan Insya-Allah saya akan cuba capai satu persatu dengan peranangan yang betul.

"Paling penting saya sentiasa ada sokongan daripada suami tercinta," katanya.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post