Rambut perang Farid Kamil membuatkan dia berasa malu untuk keluar rumah.
Lucu pun ada apabila pelakon Farid Kamil memberitahu dia menyorok dalam rumah selama seminggu selepas mewarnakan rambutnya dengan warna 'blonde'.
Kata Farid dia malu hendak keluar rumah kerana tidak yakin dengan warna rambutnya itu kerana bimbang dikecam oleh peminat walaupun isterinya, Diana Danielle menyakinkan imejnya itu sesuai dengannya.
Bagaimanapun kata Farid tujuannya mewarnakan rambut bukanlah untuk suka-suka sebaliknya demi menjayakan wataknya dalam drama bersiri terbaharu, Lafazkan Kalimah Cintamu.
"Kalau diikutkan selepas mewarnakan rambut seminggu saya tak keluar rumah sebab malu dengan warna rambut blonde saya ni.
Zul Ariffin dan Farid Kamil bergandingan dalam filem terbaharu Tombiruo: Penunggu Rimba.
"Walaupun isteri saya kata ia kelihatan okay sahaja tetapi saya rasa macam lain.
"Saya perlu mewarnakan rambut kerana watak saya dalam drama itu sebagai lelaki kacukan Mat Saleh dan Melayu dan bukannya suka-suka," katanya kepada mStar Online.
Kata Farid, drama adaptasi daripada novel itu menggandingkan dirinya dengan Nelydia Senrose, Uqasha Senrose, Azhar Sulaiman dan Elly Suriati.
Dalam pada itu, Farid yang bakal tampil dengan filem Tombiruo: Penunggu Rimba memberitahu sepanjang penggambaran selama dua bulan dia jarang dapat meluangkan masa bersama anak-anaknya.
Farid teruja dapat menjayakan watak sebagai Amiruddin dalam Tombiruo: Penunggu Rimba.
Bagaimanapun kata Farid, ia adalah pengorbanan yang terpaksa dilakukan malah kadang-kala terpaksa tidur di dalam hutan di mana penggambaran dijalankan.
"Jarang saya dapat bertemu anak-anak kerana apabila saya bangun mereka masih tidur dan sebaliknya.
"Kadang-kadang tidur dalam hutan yang memang tidak selesa tetapi demi komitmen saya berkorban kerana ia sebuah filem yang cukup mengagumkan," katanya.
Bercakap lanjut mengenai Tombiruo: Penunggu Rimba, adaptasi daripada novel tulisan Ramlee Awang Murshid itu, Farid berkata, dia teruja dapat terlibat dalam projek itu yang disifatkan sebagai berbeza dan jarang diketengahkan selain kekuatan jalan ceritanya.
Barisan pelakon yang turut menjayakan filem adaptasi novel tulisan Ramlee Awang Murshid.
"Bagi saya untuk membawakan watak sebagai Amiruddin sesuatu yang mencabar kerana perlu memenuhi citarasa penonton terutamanya pembaca novel terkenal itu.
"Saya perlu bijak seimbangkan karakter itu kerana watak Amiruddin sangat dinamik," katanya.
"Walaupun novel Tombiruo: Penunggu Rimba sudah lama tetapi saya teruja dapat menjayakan filem ini kerana jalan ceritanya segar dan jarang ada pengarah mengangkat genre berbeza daripada kebiasaan," katanya.
Selain Farid, filem itu turut dibintangi oleh Zul Ariffin, Nabila Huda, Faizal Hussein, Farah Ahmad, Artu, Hasnul Rahmat, Michael Chen, Datuk M. Nasir, Datin Marlia Musa dan Muhammad Al-Rayyan dan bakal menemui penonton di pawagam pada 12 Oktober depan.