"Apalah sangat dihentam dan cemuh berbanding mereka yang harus berhadapan dengan perkara lebih besar membabitkan nyawa," komen pelakon Fathia Latiff mengenai dirinya dikecam teruk apabila video memaparkan dirinya bersama pelakon baru, Natasha Elyzza dalam keadaan tidak sopan menjadi tular sejak minggu lalu.
Pelakon dikenali melalui drama Ariana Rose itu juga turut digugurkan daripada membintangi drama Laluna kerana masalah disiplin.
Bagi Fathia, apa yang dilaluinya sekarang hanyalah kecil berbanding dugaan yang dilalui pihak lain.
Saya percaya ada sebab mengapa perkara ini berlaku dan Allah mahu tunjukkan sesuatu agar saya belajar daripadanya.
"Saya kini kenal siapa kawan yang sanggup bersama untuk berhadapan dengan situasi yang cukup mencengkam ini," katanya.
Fathia menjadikan video bersama pelakon baru Natasha Elyzza dalam video Bigo Live yang menjadi tular di laman sosial Jumaat lalu, sebagai satu pengajaran.
Dia juga turut membuat pengakuan di laman sosial instagram miliknya kelmarin yang wanita bersama Natasha itu adalah dirinya.
Fathia turut memohon maaf kepada penerbit TenView Sdn Bhd atas masalah dihadapi dan menganggap tiada rezeki untuk dia dan pihak penerbitan drama Laluna untuk bekerjasama.
Fathia melihat semua itu daripada sudut positif.
Selepas nama saya digugurkan, saya dapat tahu ada penerbit yang secara terang-terangan menyatakan pendirian mereka masih berminat dan mahu bekerjasama dengan saya. Saya bersyukur dengan perkembangan itu.
Bagaimanapun dalam waktu sama apabila tidak terbabit dengan mana-mana penggambaran ia secara tidak langsung memberikan saya ruang untuk memberi tumpuan kepada perniagaan tudung dan baju yang sedang diusahakan, katanya.