Emma Maembong tidak mahu memikirkan soal perkahwinan.
Pelakon Emma Maembong memasang impian untuk terus melangsungkan pernikahan tanpa perlu melalui ikatan pertunangan.
Emma, 25, berkata dia lebih mengutamakan hal yang wajib dan sebolehnya pernikahan disegerakan.
"Kalau saya kahwin rasanya tak perlu majlis pertunangan, lebih baik terus bernikah dan mempercepatkan urusan.
"Cumanya, buat masa ini tiada apa yang nak dikongsi mengenai hubungan saya dengan Kamal Adli, bila tiba waktunya saya akan umumkan nanti," katanya kepada mStar Online.
Emma dan Kamal tidak mahu meletakkan sasaran waktu untuk menamatkan zaman bujang.
Emma ditemui di majlis pelancaran tudung My Sketchbook Shawl by Emma Maembong di Kuala Lumpur pada Rabu.
Sementara itu, Emma berkata dia tidak meletakkan sasaran waktu untuk menamatkan zaman bujang dengan pelakon tampan tersebut.
Baginya lebih baik dia tidak menghebohkan perkara yang belum pasti.
"Buat masa ini kami mahu beri tumpuan kepada kerjaya dan mencapai impian masa depan terlebih dahulu.
"Saya pula mahu tumpu pada perniagaan, kalau semua dah benar-benar stabil barulah kami merancang ke arah perkahwinan," katanya.
My Sketchbook Shawl By Emma Maembong memperkenalkan empat koleksi baharu.
Menyebut mengenai tudung bawah jenama Emma Maembong, pelakon filem Kimchi Untuk Awak ini berkata ia adalah hasil cetusan idea kakaknya, Yaya Maembong.
Malah, minat yang mendalam membuatkan dia bersetuju mencipta rekaan tudung yang dilukis sendiri olehnya eksklusif untuk wanita.
"Saya memang suka melukis, jadi adik-beradik mula memberi idea kepada saya untuk melukis diatas tudung pula.
"Walaupun sibuk dengan dunia lakonan, saya tetap luangkan masa menghasilkan lukisan eksklusif ini demi kepuasan diri dan akhirnya terhasillah tudung di bawah jenama ini," ujarnya.
My Sketchbook Shawl By Emma Maembong memperkenalkan empat lagi koleksi baharu iaitu Budaya, Hibisco, Bumi Kita dan Seashell.