Emma Maembong kongsi hasil karya atas selendang


Kata orang, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Begitulah bakat yang diwarisi pelakon genit, Emma Maembong.

Anak pelukis, Ismail Embong ini mengakui mewarisi bakat melukis bapanya namun Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail jarang berkongsi hasil karyanya bersama peminat.

Pelakon berusia 25 tahun ini berkata, komitmennya terhadap bidang lakonan sebelum ini juga membataskan masa dan peluang melukis seperti selalu.

Bagaimanapun hasil lukisannya yang disimpan dan terbiar begitu saja memberi idea kepada kakaknya, Yaya Maembong untuk mengkomersialkan bakat Emma.

“Sejak kecil lagi, saya memang suka ikut ayah ke pameran lukisan. Jadi bila di sana, tangan saya tak reti duduk diam dan banyak melukis. Begitu juga kalau saya tak buat apa-apa di rumah.

“Jadi banyak juga hasil lukisan saya terbiar begitu sahaja. Kalau nak jual, saya takut orang tak minat. Jadi kak Yaya kata, daripada terbiar apa kata kita jelmakan hasil lukisan itu di atas shawl. Sambil menjual, dapat juga berkongsi hasil kerja kita.

“Tidak terhad dengan hasil lukisan lama, saya juga menghasilkan lukisan baru untuk selendang,” ujarnya yang ditemui pada majlis pelancaran My Sketchbook Shawl By Emma Maembong, yang turut memperkenalkan empat koleksi baru iaitu Budaya, Hibisco, Bumi Kita dan Seashell.

Tambah Emma, sejak dahulu lagi, dia suka menghasilkan lukisan yang menggambarkan kepelbagaian budaya di Malaysia.

Katanya, setiap budaya itu mempunyai seninya sendiri dan ia juga secara tidak langsung membuatkan kita lebih menghargai budaya lain.

“Sejak kecil ayah selalu pesan mengenai kekayaan budaya di Malaysia dan tidak lupa asal usul kita.

“Sebab itu kalau lihat hasil lukisan saya yang lama, banyak mengenai budaya, terutamanya kaum di Sarawak.

“Namun buat masa ini lukisan lama ini akan diaplikasikan di atas selendang dan dijual secara eksklusif sahaja,” jelasnya yang membantu kakaknya memilih warna selendang.

“Bak kata ayah, saya masih muda, jadi idea masih banyak. Kadang kala dalam satu hari saya boleh hasilkan sehingga empat lukisan.

“Selebihnya tugas pilih material kain saya serahkan pada kakak. Biasanya mereka akan bawa balik kain ke rumah dan saya akan bantu dari segi pemilihan warna dengan lukisan yang sesuai,” ujarnya.

Dalam pada itu, berkongsi perkembangan terbarunya, Emma berkata, dia akan muncul dengan drama terbaru bersama Alvin Chong berjudul Awak Suka Saya Tak? di Astro Ria menggantikan drama Duda Pujaan Dara.

Tidak tergesa gesa

Sementara itu, kehadiran Kamal Adli selaku pengacara majlis membuktikan mereka sedang bercinta namun mengakui tidak mahu tergesa-gesa mendirikan rumah tangga.

Emma juga berkata, dia tidak merancang bertunang dan mahu terus bernikah sahaja tetapi enggan bercerita lanjut mengenai perkara itu.

Bagi Kamal pula, dia sebenarnya sudah bersedia tetapi mahu memberi sokongan kepada Emma mencapai impiannya terlebih dahulu.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post