Kingsman: The Golden Circle bukti kehebatan


Selepas sukses dengan Kingsman: The Secret Service, filem aksi spy arahan Matthew Vaughn ini muncul dengan sekuel terbarunya, Kingsman The Golden Circle yang menjadi antara filem paling dinanti tahun ini.

Masih mengekalkan Taron Egerton dan Colin Firth sebagai penggerak utama, filem ini tampil pelbagai aksi yang lebih hebat dan menghiburkan.

Meski adakala tampil dengan babak klise dari filem terdahulu, namun Matthew Vaughn selaku pengarah sentiasa bijak menggunakan kreativitinya mengaburi situasi itu dengan elemen lebih menarik.

Untuk sebuah filem aksi, pasti sahaja babak aksi tangkas luar biasa menjadi taruhan untuk memberi unsur kekaguman kepada penonton. Disebabkan itu, Matthew memastikan elemen tersebut dapat dijayakan dengan sempurna sekali.

Sebagaimana filem pertamanya, sekuel kali ini turut menampilkan pelbagai gajet canggih dan senjata hebat untuk disesuaikan dengan kelincahan dan kepintaran teraju utamanya menyelesaikan misi yang dikendalikan mereka.

Kingsman: The Golden Circle mengisahkan perisik muda, Eggsy (Taron Egerton) dan Merlin (Mark Strong) terpaksa ke Amerika Syarikat untuk mendapatkan bantuan Statesman iaitu kumpulan perisik terkenal selepas ibu pejabat mereka dimusnahkan musuh yang dikenali The Golden Circle.

Eggsy bersama ejen perisik Statesmen mula berganding bahu menumpaskan The Golden Circle yang melancarkan misi untuk memusnahkan dunia.



Filem ini berjaya menghiburkan penonton dengan aksi dan babak menarik sejak awal hingga pertarungan kemuncak antara Egssy dan seterunya.

Lebih menarik adegan aksi dan lucu digarap dengan begitu baik malah memberi lebih warna kepada sepanjang 140 minit durasi filem ini.

Cuma peminat setia sedikit kecewa apabila Taron Egerton selaku teraju utama dilihat tidak begitu menyerlah sebagaimana aksinya dalam filem pertama Kingsman.

Bagaimanapun kekurangan itu diatasi dengan persembahan mantap pelakon lain termasuk watak ketua penjahat, Poppy lakonan Julianne More.

Begitu juga dengan penampilan istimewa Elton John yang menggamatkan panggung dengan aksin lucunya.

Pakejnya tambah menarik dengan pemilihan muzik latar yang sangat kena dengan mood filem ini yang secara tidak langsung membuatkan penonton masuk dalam perjalanan watak di dalamnya.

Secara keseluruhan, filem ini sememangnya tidak harus dilepaskan.

[Other Promo]

Post a Comment

Previous Post Next Post