Setiap kali timbul kontroversi membabitkan abangnya, pelakon dan penyanyi Aliff Aziz, pasti Aisyah Aziz, 23, yang kini semakin dikenali ramai mendapat tempiasnya.
Sebaik bakatnya diketengahkan menerusi program realiti Akademi Fantasia 2013 (AF 2013), jarang sekali kita dengar sebarang cerita tidak enak yang dikaitkan dengan penyanyi kelahiran Singapura itu.
Cuma setiap kali timbul isu dibangkitkan Aliff, mahu atau tidak pasti Aisyah akan dikaitkan lebih-lebih lagi apabila abangnya itu mengambil sikap mendiamkan diri dan tidak mahu menjawab.
Terbaru apabila timbul isu Aliff didakwa menjalin hubungan dengan rakan pelakon Afifah Nasir, selain ibunya, Aisyah turut dicari teman media untuk mendapatkan kenyataan.
Sebagai penyanyi yang namanya kian meningkat, Aishah akui situasi itu memberikan kesan kepada kerjaya seninya, lebih-lebih lagi apabila kini berkembang dengan begitu positif.
Kata Aisyah, ia bukan kali pertama dan sebagai orang yang berhadapan dengan situasi sedemikian dia sudah tahu bagaimana hendak mendepani dan menanganinya.
“Sewaktu isu itu timbul, memang ramai wartawan yang menghubungi saya untuk mendapatkan komen. Cuma pada saya apabila isu kedua ini timbul, ia sangat peribadi dan seharusnya ia tidak diperbesar-besarkan. Sebab itu saya mengambil tindakan berdiam diri.
“Lagipun andai dinilai daripada situasi isu yang ditimbulkan, saya bukanlah orang yang punya hak untuk memberikan sebarang kenyataan mengenainya,” katanya.
Mengenai kesan yang diterima ekoran isu yang timbul dan namanya terkait, kata Aishah, dia turut membincangkan mengenainya dengan ahli keluarga lain.
“Cuma dalam hal ini saya percaya dengan soal rezeki. Kalau ia bukan berkaitan saya, tidak mungkin nama saya juga terpalit dan kerjaya nyanyian saya akan menerima kesannya.
“Saya positif dan yakin ia tidak mendatangkan apa-apa kesan, apatah lagi saya mengambil tindakan untuk mendiamkan diri,” katanya.
Mula dikenali menerusi lagu Mimpi, Aisyah kini berjaya mencipta nama di negara kelahirannya apabila muncul antara penyanyi diminati dan dihormati.
Buktinya, untuk Anugerah Planet Muzik 2017 yang bakal berlangsung pada 14 Oktober ini, nama Aisyah dicalonkan dalam sembilan kategori dan mengungguli semua kategori bagi artis Singapura.
Katanya, usaha dilakukan untuk kembali ke Singapura dan menumpukan perhatian untuk mempromosikan kerjaya nyanyiannya di sana di samping berkolaborasi dengan pemuzik Singapura membuahkan hasil.
“Sepatutnya inilah yang saya lakukan seperti mana Datuk Siti Nurhaliza yang terlebih dulu mengukuhkan nama di Malaysia sebelum menguasai industri muzik serantau,” katanya.
Aishah akui apa yang dirancang tidak berjalan dengan lancar tetapi melihatnya daripada sudut positif selepas berdepan dengan tempoh suram sehingga membuatkan dirinya hampir putus asa.
“Selepas AF 2013, saya menetap di Kuala Lumpur seorang diri dan mencari-cari jalan untuk membina tapak sebagai penyanyi. Begitupun, tidak semua yang dirancang berjalan dengan lancar.
“Tambah pula apabila ada pihak yang mahu membantu dan menyokong kerjaya seni saya tiba-tiba hilang begitu saja. Jujur saya pernah mahu berhenti menyanyi dan memohon untuk menjadi pramugari.
“Begitupun apabila difikirkan kembali, saya tidak mahu menyesal dengan tindakan diambil pada masa akan datang kerana tidak merealisasikan impian dan cita-cita membuatkan saya terus bertahan,” katanya.
Kata Aisyah, sikapnya yang mempunyai tahap keyakinan diri agak rendah juga menjadi penghalang dan perkara itu perlahan-lahan dikikis dalam diri.
“Saya mula tanamkan diri agar tidak terlalu mengharapkan orang dan menunggu. Saya pulang ke Singapura untuk beberapa tahun kebelakangan ini dan mula mengembangkan kerjaya seni di tanah kelahiran. Waktu itu saya banyak berkolaborasi dengan pemuzik pelbagai latar belakang dan pengalaman.
“Menerusinya saya mula sedar kemampuan diri semakin berkembang. Waktu itu juga saya menghasilkan single Tanda Tanya dan diterima baik. Walaupun lagu itu dianggap berjaya menaikkan nama saya, pada saya ia tidak besar. Begitupun, sambutan diterima daripada warga Singapura sangat menggalakkan,” katanya.
Aisyah akui dia kini mencari lagu hit yang benar-benar mampu mengangkat nama dan bakatnya, sekali gus dapat mengetengahkan dirinya di arena muzik nusantara.