Zizi Kirana, Bukan saya berbogel


Zizi Kirana tidak mempedulikan komen negatif peminat terhadap dirinya yang gemar tampil dengan gaya seksi di Instagram.

Peluang menyertai program realiti nyanyian D’Academy Asia musim kedua berjaya menempatkan Zizi Kirana dalam lapangan seni suara Indonesia.

Disebabkan tuntutan kerja di rantau orang, pemilik nama lengkap Nur Fazelah Mohd. Tahil itu terpaksa berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Jakarta hampir pada setiap bulan.

Selesa dengan jadual kerja sebegitu, Zizi juga berasa teruja dan terharu apabila penglibatannya dalam industri hiburan sejak 10 tahun lalu akhirnya membuahkan hasil.

Meskipun single bertajuk Rahsia Hati yang dikeluarkan pada tahun lalu mendapat sambutan positif dalam kalangan peminat, tetapi Zizi nyata tidak dapat lari daripada menjadi mangsa kritikan terutama peminat di media sosial.

Penyanyi kelahiran Sabah itu kerap menjadi sasaran peminat kerana dia sering memuat naik gambar dengan penampilan seksi terutama di Instagram.

Enggan memandang serius terhadap kritikan tersebut, wanita berusia 32 tahun itu memilih untuk kekal positif dan menjadi diri sendiri berbanding hipokrit hanya kerana dia seorang selebriti.

KOSMO!: Lama tidak mendengar khabar Zizi Kirana, bagaimana perkembangan anda sekarang?

ZIZI KIRANA: Alhamdulillah, kerjaya nyanyian saya bertambah baik terutama selepas menyertai program D’Academy Asia musim kedua pada tahun lalu. Saya juga kerap berulang-alik antara Kuala Lumpur ke Jakarta, Indonesia kerana memenuhi undangan persembahan dan majlis bertemu peminat. Lagu bertajuk Rahsia Hati yang dilancarkan pada tahun lalu turut mendapat perhatian peminat di sini dan Indonesia.

Tidakkah anda mempunyai sebarang perancangan untuk menghasilkan lagu baharu dalam tempoh masa terdekat?

Pastinya perancangan ke arah itu ada dan akan dilancarkan di Indonesia selepas sambutan Hari Raya Aidiladha terlebih dahulu memandangkan aktiviti seni saya banyak dilakukan di sana.

Memandangkan anda kerap meluangkan masa di Indonesia, jadi bagaimanakah aktiviti nyanyian di Malaysia?

Pada saya semua bergantung kepada rezeki masing-masing. Saya sendiri telah 10 tahun berkecimpung dalam dunia seni. Tidak hanya D’Academy Asia, saya juga pernah menyertai program realiti Akademi Fantasia musim ketujuh dan menganggotai kumpulan The Fabulous Cats. Biarpun banyak memberi fokus kepada aktiviti di Indonesia, saya bagaimanapun akan memastikan laman sosial terutama Instagram dikemas kini agar dapat berkongsi dengan peminat aktiviti yang dilakukan.

Bercerita mengenai laman sosial, apakah reaksi anda apabila sering mendapat kritikan terutama setiap kali memuat naik gambar dengan imej yang seksi?

Pada saya setiap individu mempunyai pandangan masing-masing dan saya tidak berhak untuk menutup mulut mereka. Agaknya disebabkan sebelum ini kurang dikenali, jadi peminat tidak memberi perhatian sedangkan saya sememangnya begitu sejak dulu. Perkongsian dalam media sosial hanya untuk saya mengemas kini aktiviti bersama peminat.

Adakah anda membaca setiap komen tersebut dan bagaimanakah mengatasi situasi berkenaan?

Saya mengambil pendekatan positif dan tidak mempedulikan komen negatif mereka. Sekiranya ada kelapangan waktu saya akan membaca setiap komen tersebut. Lumrah manusia, rasa kecewa itu pasti ada tetapi saya lebih senang mendiamkan diri sahaja.

Namun, peminat pula memberi reaksi berbeza kerana mereka akan saling membalas setiap komen negatif. Apabila keadaan kelihatan agak genting, saya akan nasihatkan peminat agar tidak terlalu ‘agresif’ ketika membalas komen. Perbuatan mereka itu tidak hanya membuatkan saya terharu dan berterima kasih kepada peminat yang terus memberi sokongan.

Bagaimana reaksi apabila peminat mula menyentuh soal agama kerana kerap dilihat anda memuat naik gambar berpakaian seksi?

Itu tidak seksi dan saya bukan berbogel. Seperti yang dikatakan, mereka mungkin baru menyedari kehadiran saya dan sebabkan itu perkara tersebut berlaku.

Biarlah segalanya urusan saya dengan Tuhan. Saya hanya menjadi diri sendiri dan segala komen negatif tidak memberikan kesan. Pada saya individu yang memberi kritikan negatif itu sendiri belum tentu sempurna.

Post a Comment

Previous Post Next Post