Erma Fatima bersama pereka Ashraf Zainal (kanan) dan wakil penaja, Amy Chew (dua dari kiri) sempena pelancaran Mak Cun Fashion Week New York.
Selepas melalui cerita duka perceraian bersama Bade Azmi pada 17 Ogos lalu, pelakon dan pengarah Erma Fatima mengakui hidupnya kini lebih tenang. Dia tekad ingin membuka lembaran baharu.
Namun begitu, ujar Erma atau nama lengkapnya Fatimah Rahmad, biarpun sudah berpisah, dia tetap menganggap bekas suaminya, Badaruddin Azmi, 53, sebagai lelaki yang terbaik sepanjang hidupnya.
“Pada 17 Ogos lalu kami berdua sudah tutup buku, jadi pada 18 Ogos pula bermula buku baharu dalam kehidupan saya.
“Hubungan kami masih baik dan tidak pernah bergaduh. Walau apa pun keadaannya, saya tetap menganggap dia sebagai lelaki terbaik dalam hidup saya, cuma jodoh kami sampai di sini sahaja,” ujarnya yang ditemui ketika sidang akhbar Malaysia Fashion & Business Mission to New York di Charms Cafe, Sunway Pyramid baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai kehidupan selepas bercerai, ujar wanita berusia 49 tahun itu, dia juga tidak terkecuali ditanya oleh anak-anak berkenaan ketiadaan bapa mereka.
Namun sebagai ibu kepada lima orang anak angkat iaitu Syamil Ikhwan, 24, Ahmad Arir, 22, Ahmad Aifin, 20, Citra, 15, dan Nurain, 11, dia harus bijak menerangkan perkara sebenar kepada anak-anaknya.
Jelas Erma, dia juga tidak sempat memikirkan soal kesedihan hati kerana terlalu sibuk dengan persiapan untuk menyertai pertunjukan fesyen Couture Fashion Week New York (CFWNY) yang akan berlangsung pada 8 September depan.
“Pada saya, apabila kita menyayangi seseorang, kita harus belajar untuk melepaskannya. Saya sudah menerangkan perkara sebenar kepada anak-anak, dan mereka menerima perkara itu dengan baik.
“Bade juga masih datang melawat anak-anak di rumah. Semuanya berlangsung seperti biasa, saya juga terlalu sibuk dengan persiapan untuk ke New York sehingga tiada masa untuk memikirkan perkara ini,” kongsinya.
Hobi baharu
Dalam pada itu, selepas berjaya menyertai Torino Fashion Week di Milan pada hari raya kedua yang lalu, pengarah drama rantaian Mak Cun itu teruja berkongsi cerita tentang peluang yang diperolehnya untuk menyertai pertunjukan fesyen di New York pula.
Mendapat sokongan penuh daripada Persatuan Wanita Bumiputera dalam Perniagaan dan Profesyen (Peniagawati), selain jenama Mak Cun, dua lagi pereka fesyen bumiputera yang akan ke New York adalah jenama Sara J dan Eja Shahril.
“Kami sudah tahu lama dan persiapan mula dilakukan sejak sebulan lalu. Saya anggap ia sebagai peluang keemasan yang diberikan oleh Peniagawati kepada jenama Mak Cun.
“Selepas 20 tahun dalam industri perfileman, tujuan utama saya masuk ke dalam bidang fesyen ini bukan untuk menjadi pereka, tetapi kerana saya seronok. Pelbagai perkara baharu yang dipelajari dan ia boleh dianggap sebagai hobi baharu saya,” kongsinya gembira.
Bercakap mengenai persiapan, Erma berkata dengan bantuan pereka fesyen, Ashraf Zainal, dia akan memperagakan sebanyak 12 pasang baju semasa pertunjukan berlangsung.
Lebih menarik, sepasang baju akan direka khas untuk adiknya, Umie Aida yang memegang watak Zennat Manisah dalam drama Mak Cun. Umie turut menjadi salah seorang model dalam pertunjukan berkenaan.
“Slot pertunjukan kami adalah pada 8 September, jadi saya dan pasukan akan terbang ke New York pada 4 September depan. Saya juga akan mengambil peluang untuk menjalankan penggambaran Mak Cun 4 di sana.
“Antara babak yang akan terlibat adalah ketika Manisah berjalan di atas pentas pertunjukan. Selepas itu kami akan menyambung penggambaran di Air Terjun Niagara dan Las Vegas,” katanya yang turut berpeluang menyertai pertunjukan fesyen di Beverly Hills, California pada bulan Disember depan.