Sharul Kamal Kesal Kontrak Ditamatkan Secara Mengejut


Sharul Kamal kecewa kontraknya ditamatkan.

Bekas peserta Akademi Fantasia 2015, Sharul Kamal meluahkan rasa kecewa terhadap syarikat pengurusannya yang menamatkan kontrak dia bersama Astro Talent secara mengejut pada April lalu.

Sharul atau nama sebenarnya Muhammad Sharul Amin Kamarozaman, 21, berkata kontrak dia sepatutnya tamat pada tahun hadapan, namun disebabkan ada rombakan berlaku dia dan beberapa artis lain menjadi mangsa.

"Terus-terang saya cakap memang agak kecewa dan sedih apabila dapat tahu kontrak dihentikan secara mengejut pada bulan April lalu.

"Sedangkan sepatutnya kontrak tamat pada tahun hadapan. Saya diberikan notis dihentikan tiba-tiba atas sebab ada berlaku rombakan.

"Tapi bukan saya seorang sahaja, ada lagi beberapa artis bawah pengurusan yang sama menerima nasib ini," kata Sharul kepada mStar Online.


Shahrul (duduk dua dari kanan) bersama mereka yang terlibat dalam Jelajah Backpackers Di Balkan.

Bagaimanapun, Sharul mengambil perkara tersebut secara positif dan menganggap rezeki di luar lagi luas memandangkan dia masih muda.

"Tapi sekarang saya dah tak fikir dan ambil perkara tersebut dengan secara positif.

"Saya percaya rezeki di luar lagi meluas dan banyak. Apa-apa pun, saya berterima kasih dengan syarikat pengurusan terdahulu kerana dari situ juga dapat menaikkan nama saya," ujarnya.

Dalam pada itu, Sharul memberitahu apa yang berlaku ada hikmahnya apabila dia diberi peluang menjadi pengacara program Jelajah Backpackers Di Balkan.

Menurut Sharul, dia menerima tawaran tersebut selepas menghadiri uji bakat bagi pencarian pengacara program tersebut pada dua bulan lalu.


"Alhamdulillah, apa yang berlaku rupanya ada hikmahnya. Saya dapat tawaran menjadi pengacara bagi program jelajah.

"Menariknya saya dapat pergi ke Balkan dan akan menjalani penggambaran selama 22 hari," katanya.

Program yang ditaja sepenuhnya oleh Kembara Sufi Travel & Tour Sdn Bhd ni akan menjalani penggambaran di Balkan pada 4 sehingga 30 September depan.

Lokasi pilihan yang akan dikunjungi antaranya Croatia, Bosnia dan Istanbul.

Program tersebut dijangka akan mula bersiaran pada tahun hadapan menerusi TVi.

Post a Comment

Previous Post Next Post