Lebih selesa bercelana dan berkemeja-T, manakala rambut sentiasa dibiar pendek.
Jadi, apabila transformasi imej dilakukan terhadapnya, penyanyi Shaa, 22, bagaikan tidak percaya.
Semua itu dilakukan sempena penggambaran video muziknya berjudul Pertama Kali, baru-baru ini.
Ketika ini, lagu Pertama Kali kerap dimainkan di stesen radio dan ramai yang menggesa Shaa atau nama sebenarnya Juzratul Nisha Johari ini menyiapkan video muzik untuk tatapan peminat.
“Ramai yang mencari video muzik saya di YouTube. Sebenarnya ia belum lagi disiapkan dan masih dalam proses suntingan.
“Saya sendiri tak sabar dan teruja kerana bukan saja pertama kali diarahkan untuk berlakon, tetapi juga terkejut melihat diri sendiri.
“Sebelum ini mana pernah bersolek tebal-tebal, bergaun kembang dan berambut palsu? Saya ini budak lasak dan aktif. Walaupun kekok melihat diri sendiri, tetapi saya suka dengan perubahan dilakukan.
“Apatah lagi sebelum ini ramai yang kata penampilan saya terlalu ringkas, berkemeja, berseluar denim dan tidak gemar bersolek. Jadi untuk penampilan di video muzik ini, peminat dapat melihat sudut berbeza saya,” katanya.
Difahamkan muzik video itu sepatutnya dilancarkan lebih awal, tetapi pihak NOVA Music mempunyai strategi mengapa pelancarannya dilewatkan.
“Kalau ikutkan perancangan asal, awal bulan lalu video muzik ini sudah dilancarkan. Namun, syarikat rakaman minta tangguh kerana menunggu masa yang sesuai. Insya-Allah, Jumaat ini peminat sudah boleh menontonnya di YouTube,” katanya.
Menyingkap pengalamannya, penyanyi bertubuh kecil molek ini bermula sebagai penyanyi dengan Darul Aman Buskers.
Masih meneruskan perjuangan bersama kumpulan, Shaa ingin sekali merakamkan sebuah lagu bersama Darul Aman Buskers.