Usahawan kosmetik popular, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida mahukan suami yang terdiri daripada lelaki kaya berusia 40 hingga 50 tahun.
Bagaimanapun, Vida yang juga ibu tunggal belum terdesak untuk berkahwin seperti diperkatakan banyak pihak.
“Kalau nak tahu saya terima hampir 100 resume daripada lelaki yang ingin berkenalan dan berkahwin dengan saya. Namun, saya sudah meletakkan penanda aras iaitu perlu kaya dan boleh belikan saya 15 beg tangan sekali gus.
“Bukan apa, cukuplah saya pernah melalui kehidupan dengan lelaki yang hanya ingin mengambil kesempatan. Saya tidak mahu lagi pisang berbuah dua kali. Saya nak mencari lelaki yang betul-betul ikhlas dan jujur dengan saya dan bukan kerana harta.
“Saya tak nafikan memang susah nak bertemu lelaki begitu. Jadi, saya tak nak terburu-buru dalam soal pasangan hidup dan berkahwin. Saya hanya boleh berdoa semoga dipertemukan dengan jodoh yang baik selepas ini,” katanya.
Pada masa sama, Vida berkata, perceraiannya dengan bekas suami bukan satu penyesalan sebaliknya hikmah buat dirinya.
Dalam perkembangan lain, Vida kini dalam proses menjalin kerjasama dengan jenama Louis Vuitton (LV) bagi menghasilkan beg tangan edisi DSV.
“Terdapat beberapa rekaan beg tangan mereka saya beri penambahbaikan mengikut cita rasa sendiri. Saya masih menunggu rekaan yang dihasilkan mereka untuk dipilih.
“Menariknya pada beg tangan itu nanti turut diletakkan nama saya menggunakan logo DSV. Sebagai permulaan beg ini dipasarkan di rantau Asia dahulu,” katanya.
Kerjasama Vida dengan LV juga menjadikan dia sebagai individu pertama di Malaysia yang bekerjasama dengan jenama antarabangsa itu.
“Kos untuk menghasilkan beg ini dikongsi bersama. Insya-Allah jika tidak ada aral melintang beg tangan ini bakal dijual awal tahun depan,” katanya.