Pertama kali melakonkan watak serius, pelawak Achey mengakui ia pengalaman yang sukar.
Bagaimanapun, ia sama sekali tidak melemahkan semangat jejaka berjiwa ‚gila-gila‘ ini sebaliknya peluang itu dimanfaatkan sebaik mungkin.
Melakonkan watak jurukamera dalam filem Abang Long Fadil 2, Achey bergandingan dengan Tania Hudson sebagai wartawan.
“Dalam filem ini saya pegang watak jurukamera yang serius. Biasanya orang nampak saya banyak bergurau tetapi kali ini sangat berbeza.
“Walaupun kadangkala ‘terlepas’ saya cepat-cepat kawal keadaan supaya karakter ini tidak nampak kelakar. Syukur, Syafiq Yusof yang bertindak selaku pengarah filem ini banyak membantu mengawal gerak-geri saya agar lakonan tidak terbabas,“ katanya seraya ketawa.
Bergandingan dengan nama besar iaitu Syamsul Yusof, Zizan Razak dan Wak Doyok, Achey teruja malah semua yang terbabit dalam filem itu membantunya menghidupkan karakter terbabit.
“Selain mempamerkan sisi berbeza sebagai seorang yang serius, saya juga teruja dapat beraksi di samping pelakon hebat tanah air.
“Peluang ini sangat berharga apatah lagi Syafiq mempercayai saya untuk melakonkan watak yang jauh berbeza daripada karakter sebenar.
“Insya-Allah, jika diberi peluang saya mahu berlakon lagi. Tak kisahlah watak apa, pasti ia menyeronokkan,” katanya.
Dalam pada itu, filem itu turut menuntutnya beraksi lasak termasuk babak pergaduhan.
“Ibarat bulan jatuh ke riba apabila saya diminta menjayakan babak pergaduhan dalam gudang. Banyak saya belajar dan pengalaman ini sudah tentunya tidak akan dilupakan sampai bila-bila,” katanya.
Abang Long Fadil 2 terbitan Skop Production dengan kerjasama Astrio Shaw bakal menemui penonton di seluruh pawagam bermula 24 Ogos ini.