Pelakon dan penyanyi Nazrief Nazri hampir menjadi mangsa penipuan sindiket ala scam Macau yang cuba mendapatkan data peribadi dan wang simpanan di bank, minggu lalu.
Nazrief ketika ditemui berkata, dia dihubungi seseorang yang memperkenalkan diri sebagai pegawai dari Mahkamah Tinggi di Johor.
"Saya didakwa kononnya berhutang kad kredit sebanyak RM32,000. Apabila saya katakan saya tidak menggunakan kad kredit, individu itu mendakwa pula ada orang sudah menggunakan identiti kad pengenalan saya," katanya.
Menurut Nazrief, apabila dia cuba mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai dakwaan itu, individu terbabit menjelaskan dia perlu berurusan dengan pegawai bertugas di Ibu Pejabat Polis di Johor Bahru.
“Dia kemudian menyerahkan pula talian kepada rakannya yang menyamar sebagai pegawai polis yang menggunakan nama Lim Lee Choo dan Asri Kamal.
"Saya mula sedar ia satu penipuan apabila individu terbabit memaklumkan nama saya mungkin sudah terkait dengan sindikit penipuan dan saya perlu memberikan nombor akaun supaya segala wang di dalam bank boleh diletakkan dalam satu akaun di Bank Negara untuk keselamatan," katanya.
Nazrief Nazri - Cinta Semalam
Nazrief berkata, dia juga mula sangsi apabila diminta menjauhkan diri daripada orang lain ketika berbual dengannya.
"Mujur ketika itu ada teman bersama saya. Modus operandi mereka cukup meyakinkan sehingga saya mahu ke Johor Bahru bagi menyelesaikan masalah itu,” katanya.
Menurut Nazrief, kerana sangsi dia menghubungi ibu pejabat polis di Johor Bahru dan ternyata nama dua pegawai terbabit tidak wujud, malah nombor telefon yang digunakan juga meragukan.
“Saya bersyukur kerana cepat tersedar. Ini kerana sepanjang perbualan berjalan saya seperti terpukau. Saya harap orang ramai akan lebih berhati-hati,” katanya.