Rahsia cantik, santun Normala Samsudin


Meskipun baru sahaja memiliki ijazah dalam bidang pergigian, namun Normala Samsudin tetap memberi galakan buat anak perempuannya, Ruhila Roslan untuk mencuba bakat dalam bidang pengacaraan.

Pernah melalui zaman kegemilangan sebagai selebriti televisyen popular menerusi program majalah berpengaruh Nona siaran TV3 selama tujuh tahun, figura jelita, Puan Sri Normala Samsudin mengakui hidupnya kini terarah buat keluarga.

Isteri kepada bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Azmi Khalid itu berkongsi perkembangan terkininya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-48 Majalah Wanita di Dewan Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain selesa memilih menghabiskan masa bersama keluarga di Perlis, beliau yang bakal menginjak ke usia 53 tahun berkongsi rutin hariannya apabila kembali melakukan aktiviti sihat seperti aktif mendaki gunung.

KOSMO!: Agak lama tidak mendengar khabar Puan Sri Normala Samsudin selepas tidak lagi aktif dalam dunia pengacaraan. Boleh kongsikan serba sedikit kepada pembaca mengenai perkembangan kehidupan anda terkini?

NORMALA SAMSUDIN: Saya tiada perkembangan terkini melainkan sekarang banyak menghabiskan masa bersama keluarga di Perlis. Selain fokus kepada keluarga, sekarang saya kembali aktif dengan aktiviti sihat seperti mendaki gunung.

Boleh dikatakan, saban minggu saya akan mendaki gunung dan bukit di sekitar Perlis. Selain di Perlis, saya juga kerap mendaki di kawasan lain antaranya Gunung Nuang dan Broga di Selangor.

Insya-Allah, jika tiada halangan saya akan kembali mendaki Gunung Kinabalu, Sabah selepas berjaya sampai ke sana pada tahun lepas.

Bercakap mengenai dunia pengacaraan, tidakkah anda berasa rindu untuk kembali dalam bidang tersebut?

Bukan tidak rindu tetapi zaman saya sudah berakhir. Sekarang berilah peluang buat pelapis baharu menempatkan diri dalam bidang ini. Kalau sesekali diberi tawaran untuk muncul dalam bidang ini, saya tidak menolak.

Namun, semuanya perlu mendapat keizinan daripada suami terlebih dahulu. Kalau saya kembali fokus kepada kerjaya, maknanya saya tiada masa untuk keluarga. Buat masa sekarang, memang tidak akan kembali aktif.

Bagaimana pula dengan anak perempuan anda, Ruhila Roslan yang dilihat sedang mewarisi bakat tersebut selain memiliki rupa paras yang jelita?

Mengenai hal itu, saya memang ada memberi galakan kepadanya untuk mencuba bidang ini. Namun, saya faham ia akan mengambil sedikit masa sekiranya dia mahu terjun ke bidang yang sama seperti saya.

Sebab sekarang dia baru sahaja memiliki ijazah dalam bidang doktor pergigian dan saya sangat gembira dengan pencapaiannya.

Apa yang saya boleh katakan mengenai percubaannya dalam industri, insya-Allah. Kita sama-sama tunggu dan lihat (ketawa).

Sebagai orang lama dalam industri, apa pandangan anda apabila melihat transisi dunia pengacaraan kini lebih berwarna-warni dengan kehadiran ramai muka baharu yang datang daripada pelbagai pelaku seni penyanyi, pelakon dan pelawak?

Jangan bandingkan dunia pengacaraan dahulu dengan sekarang kerana zaman sentiasa melalui transformasi. Kalau dahulu, pengacara memang akan buat kerja-kerja berkaitan sahaja seperti membaca berita.

Namun, saya memandang perubahan yang berlaku sekarang sebagai peluang untuk anak seni mengembangkan bakat selain mencari pendapatan lebih.

Kalau saya dahulu, perlu meminta izin daripada pihak syarikat untuk diberi kelonggaran membuat kerja luar. Berbeza dengan sekarang, mereka boleh sahaja menerima kerja luar tanpa ada masalah.

Sering dikatakan, sehingga kini sukar mencari pengganti Normala Samsudin dalam arena pengacaraan. Mungkin anda ada komen untuk kenyataan tersebut?

Susah untuk saya katakan situasi berkenaan kerana pada saya, sekarang industri sudah ada ramai muka baharu yang tidak kurang bagusnya. Jika mereka diberi lebih peluang yang tidak tertumpu kepada satu-satu program sahaja, saya percaya mereka juga mampu buktikan kemampuan diri.

Akhir kata, mungkin ada sedikit tip pesanan buat generasi yang bergelar pengacara pada masa kini?

Saya sentuh perkara ini secara luaran sahaja. Mungkin kerana saya seorang yang konservatif primitif, jadi setiap kali melihat gaya pengacaraan seseorang apa yang saya nilai adalah penggunaan bahasa.

Gunalah bahasa Melayu yang sopan dan cantik kerana orang akan kenal diri kita melalui penggunaan bahasa. Haluskan bahasa sebab ia boleh jadikan kita sebagai seorang wanita yang santun.

Post a Comment

Previous Post Next Post