Sebelum menyertai AF2016, Isa Khan pernah merantau ke Indonesia selama setahun dan bermain muzik di kafe-kafe di sekitar Jakarta untuk menimba pengalaman.
Pentas Akademi Fantasia (AF) pernah dijadikan sebagai penanda aras buat dirinya untuk bergelar penyanyi komersial. Bagi Isa Khan, program realiti itu yang mencetuskan fenomena suatu ketika dahulu, dilihat dapat memicu kerjaya impiannya ke peringkat yang lebih tinggi.
Ironinya, biarpun berjaya diterima masuk sebagai salah seorang daripada 15 pelajar AF2016 sekitar penghujung tahun lalu, perjalanannya menerusi program tersebut tidak sampai ke satu titik yang diharapkan.
Pemilik nama lengkap Mohammad Fara Aidid Ali Dad Khan itu terpaksa akur apabila dia bersama dua lagi rakan seperjuangan, Rais dan Halmy tersingkir pada konsert minggu kedua.
Tidak pernah berputik rasa kecewa, adik kepada pelakon dan model Miller Khan itu percaya dengan hikmah yang datang di sebalik setiap kegagalan yang ditempuhi.
“Ketika diumumkan sebagai tiga pelajar terawal yang tersingkir, saya langsung tidak kecewa.
“Benar, saya mahu terus berada lama di dalam AF untuk mengasah bakat nyanyian. Namun, rezeki saya telah tertulis sedemikian rupa, jadi saya terima dengan hati terbuka,” tutur Isa membuka bicara.
Kuat menggagahi hari-hari pasca penyingkiran, jejaka berusia 24 tahun itu tidak pernah lelah mencari ikhtiar untuk terus memekarkan namanya dalam dunia hiburan.
Justeru, apabila ditawarkan memegang watak sebagai seorang mat rempit dalam sebuah telefilem arahan pengarah Ellie Suriaty Omar awal tahun lalu, Isa tidak berfikir panjang.
“Saya berasa sangat berbesar hati apabila ditawarkan membintangi sebuah telefilem berjudul Transit. Ellie merupakan bekas guru lakonan saya ketika berada dalam akademi, telefilem tersebut juga merupakan sebuah naskhah yang berat.
“Secara peribadi, saya suka dengan naskhah sedemikian,” katanya jujur.
Biarpun Transit masih menunggu tarikh tayangan, Isa terlebih dahulu membuat kemunculan perdana sebagai pelakon menerusi telefilem Mak Cun Pi Lombok yang ditayangkan pada Hari Raya Aidilfitri lalu.
Nyanyian
Melihat portfolio seninya yang kini lebih berkiblatkan dunia lakonan, barangkali ramai peminat yang mengandaikan Isa telah menutup pintu hati terhadap bidang nyanyian.
Namun, andaian tersebut sama sekali tidak dipersetujui oleh Isa. Menurutnya, bidang nyanyian merupakan prioriti walaupun buat masa ini dia dilihat begitu aktif berlakon.
“Sejak kebelakangan ini, saya akui kerap menerima pelbagai tawaran berlakon. Namun, ia tidak memberi sebarang bayangan yang saya akan berhenti menyanyi,” tegas Isa.
Mahu kerjaya nyanyian tetap hidup selepas menyertai AF2016, Isa merancang menerbitkan single pertamanya, Syurga Yang Sempurna dalam masa terdekat.
“Single ini begitu bermakna buat saya. Selain menjadi platform untuk menguji kemampuan diri sebagai penyanyi, lagu Syurga Yang Sempurna juga dapat mewakili perjalanan hidup saya secara keseluruhan,” katanya yang kini diuruskan oleh syarikat rakaman, Music Valley Malaysia (MVM).
Dalam pada itu, Isa memberitahu, single debutnya itu bakal menjadi bukti terhadap bara keinginannya untuk bergelar penyanyi yang berjaya.
“Ada yang berpendapat bidang nyanyian bukan untuk saya. Ada juga yang mengatakan vokal saya tidak cukup kuat untuk bergelar penyanyi.
“Namun, pandangan-pandangan tersebut tidak sedikit pun mematahkan semangat saya untuk terus mencuba. Saya masih belajar dan banyak perkara yang perlu diperbaiki,” tutur Isa yang mahu membuktikan bahawa keberadaannya dalam bidang seni bukan bersandarkan rupa semata-mata.
Ditanya apakah hala tujunya dalam industri, Isa memberikan respons yang realistik.
“Saya tidak mahu statik dengan gelaran pelakon atau penyanyi. Saya mahu dikenali sebagai seorang ahli seni yang mencintai apa sahaja perkara berkaitan bidang ini.
“Jika rezeki saya ada pada bidang nyanyian dan lakonan, saya tidak menolak. Mungkin disebabkan fitrah saya yang suka menghiburkan orang,” katanya lagi.
Melihat pada fizikalnya, Isa kini tampil lebih kemas dengan stail rambut pendek dan bentuk tubuh yang lebih sasa berbanding dahulu.
Ditebak adakah perubahan tersebut dilakukan demi penampilan yang lebih menarik ketika berada di hadapan kamera, Isa hanya menggelengkan kepala.
Katanya, perubahan imej tersebut dilakukan atas kehendaknya sendiri, bukan arahan orang lain.
“Sudah empat tahun saya berambut panjang. Jadi, sudah tiba masanya untuk mencuba imej baharu yang lebih segar.
“Namun, perubahan ini bukanlah disebabkan permintaan orang lain. Ia hadir dari dalam jiwa saya. Sejujurnya, saya suka dengan penampilan sebegini, lebih kemas dan mudah didandan,” katanya sambil tersenyum.
Berdikari
Melanjutkan bicara mengenai permulaan baharu kariernya, Isa berkata, dia cuba untuk menapak secara sendiri tanpa meminta bantuan orang lain.
“Ramai juga yang bertanya, kenapa saya tidak meminta bantuan abang saya yang kini sedang membina nama di Indonesia sebagai pelakon?
“Jawapan saya mudah. Jika Miller boleh berjaya tanpa bantuan orang lain ketika berkarya di negara orang, saya juga boleh mencontohi kejayaannya di sini,” katanya.
Bagaimanapun, Isa tetap meletakkan abangnya itu sebagai sumber inspirasi.
“Miller seorang yang sangat prihatin, lebih-lebih lagi apabila diajak berbicara soal kerjaya.
“Kami selalu berkomunikasi untuk bertukar pendapat dan perkembangan kerja masing-masing.
“Abang saya merupakan inspirasi utama dalam bidang seni. Setiap nasihat dan pandangan yang diberikan begitu mahal harganya. Jadi, saya akan cuba untuk membina nama sehingga ke satu tahap yang membanggakan,” katanya menutup perbualan.