Cara tersendiri Eryn Gani


ARTIS baharu Rusa Music ini memasang impian untuk lebih dikenali peminat muzik tempatan.

LAZIMNYA, bakat mana-mana artis baharu dikesan menerusi media sosial seperti YouTube dan SoundCloud, selain membentuk kelompok peminat tersendiri terlebih dulu sebelum dikenali ramai.

Lain pula ceritanya dengan pendatang baharu, Eryn Gani yang optimis mampu menarik perhatian peminat muzik tempatan biarpun tidak melalui medium sedemikian.

Eryn atau nama sebenarnya Norfazrina Mohd. Gani, 25, memberitahu, pengalaman yang diraih apabila muncul sebagai naib juara Bintang RTM 2016 akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menggamit perhatian khalayak.

“Terserah kepada rezeki masing-masing, saya tidak mudah putus asa biarpun tidak dikenali menerusi YouTube dan sebagainya.

“Mudah-mudahan kehadiran saya diterima baik peminat, selain menghargai bakat saya sebagai anak seni,” ujarnya kepada Sensasi Bintang.

Telah dilamar label rakaman Rusa Music pada awal Julai tahun lepas, Eryn yang bakal menamatkan pengajian Sarjana Muzik di Universiti Malaya dalam masa terdekat juga percaya dengan percaturan kariernya selepas ini.


SIAPA sangka gadis manis ini turut menjadi guru vokal secara sambilan, selain bakal menamatkan pengajian Sarjana Muzik.

“Saya lebih cenderung kepada muzik pop balada, selain dalam perbincangan dengan beberapa komposer seperti Asfan, Harry Khalifah dan Hyper Act dalam menentukan single pertama.

“Biarpun berminat mencipta lagu, ada baiknya single pertama ini menggunakan khidmat komposer luar kerana mereka lebih berpengalaman dan tahu apa yang terbaik buat saya,” ujar juara Bintang Kecil Kebangsaan tahun 2001 itu.

Mengulas lanjut, gadis yang berasal dari Bandar Kinrara, Puchong, Selangor itu juga menjadi guru vokal secara sambilan ketika tidak terikat dengan mana-mana persembahan.

“Saya memang bercita-cita untuk menjadi pensyarah muzik sejak kecil, cuma peluang untuk menjadi artis rakaman cukup sayang untuk dilepaskan sebegitu saja.

“Saya juga seorang yang ceria dan energetik, selain tidak berdepan masalah untuk mempamerkan aksi bertenaga di atas pentas,” ujar anak bongsu daripada lima adik-beradik itu sebelum menutup bicara.

Bagi yang ingin mengetahui perkembangan kerjaya Eryn bolehlah mengikutinya di laman Instagram iaitu @eryn_brtm2016.

Post a Comment

Previous Post Next Post