Merupakan anak sulung kepada komposer popular, Rosli Selasih, Tash Yong menjadikan lakonan sebagai hala tuju karier seninya.
Merupakan anak kepada komposer, Rosli Selasih yang pernah menghasilkan lagu-lagu popular seperti Ngajat Tampi dendangan Noraniza Idris, Taat (Rohana Jalil), Di Jendela Separuh Terbuka (Erra Fazira) dan Canggai (Datuk Siti Nurhaliza), pekat darah seni yang diwarisi turut mengalir dalam diri pendatang baharu dunia seni, Tash Yong, namun lebih terarah dalam cabang lakonan.
Mula menyedari dirinya mempunyai potensi dalam bidang lakonan seawal usia 10 tahun, pemilik nama sebenar Nur Natasha Shazlia Rosli itu tidak berpaling ke jalan lain dan mahu terus melebarkan sayap sebagai pelakon serba boleh.
“Sejak kecil lagi saya memang minat berlakon. Bapa sering memberi galakan apabila saya sering mewakili sekolah dalam pertandingan pementasan teater. Namun, saya tidak mahu disebabkan bapa saya seorang komposer, saya diberi laluan mudah untuk membina nama dalam industri.
“Saya ingin menjadi pelakon serba boleh. Saya sedar industri lakonan sekarang banyak diserikan bakat baharu yang sekejap timbul sekejap tenggelam, namun saya hanya ingin berkongsi bakat kepada umum,” ujar Tash yang pernah mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras, Kuala Lumpur.
Pernah diberi peluang berlakon dalam filem Kastil Tua, kata anak sulung daripada lapan adik-beradik itu, dia suka bereksperimen dan mencuba sesuatu yang baharu terutama dalam skop lakonan.
“Saya amat gemar melibatkan diri dalam pementasan teater. Dari situ, saya boleh belajar banyak perkara seperti lakonan, tarian, nyanyian, lontaran vokal dan sebagainya.
“Mungkin dalam arus perdana orang masih tidak mengenali siapa saya, namun saya akan terus memberikan yang terbaik untuk membina jenama menjadi pelakon dalam lapangan seni tanah air,” ujarnya yang pernah menuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang pengarahan.
Melanjutkan bicara, Tash cuba menceburi bidang berbeza berbanding bapanya yang merupakan seorang komposer. Selain lakonan, dia juga cuba melibatkan diri dalam bidang nyanyian.
Tash pernah menyertai program realiti Mentor musim ketiga pada tahun 2009, namun rezeki tidak memihak kepadanya apabila tidak terpilih sebagai protege kepada mentor Lah Ahmad ketika itu.
“Saya juga meminati nyanyian, namun bakat itu masih perlu diasah lebih gigih jika mahu dijadikan karier.
“Biarpun bapa seorang komposer, dia tidak sewenang-wenangnya memberikan lagu ciptaannya kepada saya. Lagipun sekarang trend muzik tidak menentu. Jika betul ingin menyanyi, saya perlukan sebuah lagu yang kuat untuk dirakam,” tutur wanita yang pernah bergelar peserta separuh akhir program pencari Dewi Remaja (2015) itu optimis.
Masih ‘hijau’ dalam lapangan seni, Tash, 27, meletakkan impian melakonkan watak berbeza dalam setiap naskhah yang melibatkan dirinya.
Antara watak idaman pelakon berketinggian 160 sentimeter itu adalah watak wanita yang menghidap gangguan bipolar atau masalah mental.
“Watak wanita yang menghidap gangguan bipolar menjadi karakter yang saya idamkan sejak dahulu.
“Kalau berlakon, saya suka mencuba sesuatu yang baharu. Tidak seronok kalau sekadar melakonkan watak-watak wanita jelita,” luah Tash yang pernah terlibat dalam beberapa pementasan teater seperti teater muzikal Puteri Gunung Ledang (2009) dan Chow Kit Road (2013).
Pernah bergelar pengacara menerusi program Japan Home Shopping terbitan TV9, tidak lama lagi bakatnya pasti disedari ramai apabila muncul dalam drama bersiri 60 episod berjudul Dia menerusi slot Akasia TV3.