
Secara tiba-tiba, nama aktres Indonesia, Laudya Cynthia Bella menjadi sebutan rakyat Malaysia lantaran dikaitkan dengan bekas suami Erra Fazira, Engku Emran Engku Zainal Abidin.
Mengikut perancangan, September ini akan menyaksikan pasangan personaliti dua negara itu bakal bersatu sebagai pasangan suami isteri selepas menyulam cinta hanya dalam jangka masa kira-kira lima bulan.
Majlis pernikahan mereka akan dibuat secara tertutup di Malaysia dan hanya keluarga serta saudara terdekat akan dijemput untuk meraikan hari bersejarah itu nanti.
Engku Emran yang sejak dahulu kurang berkongsi kisah peribadinya selepas bercerai dengan Erra, mahu menjadikan majlis perkahwinan kali ini lebih bersifat peribadi dan intim selain berkongsi saat indah itu hanya dengan mereka yang terdekat.
“Saya bukan artis, saya orang media macam kalian. Tidak ada apa yang menarik boleh dikongsi tentang saya,” kata Engku Emran kepada Mingguan Malaysia ketika diminta mengulas perkahwinannya yang bakal berlangsung.
Menurut lelaki itu yang sudah tiga tahun menduda, meskipun bakal mengahwini seorang artis, dia lebih selesa memilih untuk tidak memberikan sebarang kenyataan terhadap perkembangan baharu hidupnya kerana beranggapan itu bukan satu keperluan.
Bella, 29, yang mempunyai raut wajah jelita seperti gadis Sunda yang lain, dikatakan mula mengenali Engku Emran menerusi sahabatnya, pelakon Nora Danish dan suaminya, Nedim Nazri.
Bibit-bibit perkenalan itu kemudian bersemi menjadi bunga-bunga cinta sehingga kerap kali juga kelihatan kedua-duanya seakan meluah perasaan dan melepas rindu menerusi akaun media sosial masing-masing.
Media Malaysia sendiri pernah menghidu hubungan mereka sebelum ini tetapi Engku Emran mengambil langkah bijak untuk tidak mahu mengulas lanjut apatah lagi membuka cerita status hubungan mereka.
Di Indonesia, selain berlakon, Bella sebelum ini dikenali sebagai model dan penyanyi dengan single Kerana Cinta dan Putus Nyambung.
Menurut laporan media di Indonesia, Bella juga telah memutuskan pertunangannya dengan Afie Kalla, 32, seorang usahawan muda di Indonesia.
Perkara itu dimaklumkan secara tidak langsung menerusi akaun Instagram miliknya apabila Bella memadam kesemua gambar-gambar bersama Afie, dua bulan selepas bertunang yang kemudiannya berjaya dihidu oleh pihak media.
Sebelum tampil berhijab, Bella seperti kebanyakan artis lain di Indonesia pernah melalui episod berpakaian agak seksi sehingga menjadi tumpuan banyak media ketika itu.
Namun, selepas membintangi filem berjudul Assalamualaikum Beijing sekitar 2014, Bella mengakui mula terbuka hati untuk mengenakan hijab sebagai pakaian hariannya.
Niat itu diperkukuhkan setelah dia menyempurnakan ibadah umrah dua tahun lalu dan kini sepenuhnya menutup aurat.
Dianggap antara selebriti Indonesia yang bijak bergaya meski menutup aurat, Bella kini diangkat sebagai ikon fesyen di negaranya.