Miley Cyrus yang pernah mengacarakan VMA dua tahun lalu mendendangkan single terbaharunya, Younger Now.
Bukan sahaja menjadi medan pengiktirafan terhadap pelaku muzik dan membiarkan pentas digamatkan dengan persembahan luar biasa, Video Music Awards 2017 (VMA2017) turut menjadi wacana luahan emosi dan ketidakpuasan hati ramai artis popular.
Selain penyanyi kulit hitam, Kendrick Lamar mendominasi acara dengan membawa pulang enam trofi iaitu Video Terbaik, Video Hip Hop Terbaik, Pengarahan Seni Terbaik, Pengarahan Terbaik, Sinematografi Terbaik dan Kesan Visual Terbaik, VMA2017 turut menjadi saksi bahawa muzik seharusnya kembali ke akar umbi iaitu menyatukan manusia.
Lamar membuka tirai persembahan pada acara yang berlangsung di The Forum, Morningside Park, California, Amerika Syarikat itu dengan penuh berkesan. Menyampaikan dua buah lagu yang dipetik daripada album Damn, persembahan penyanyi berusia 30 itu ‘menggila’ dengan aksi sekumpulan ninja dan penari bermain dengan api.
Katy Perry diberi pula tugas menggalas peranan sebagai pengacara. Dicalonkan untuk lima kategori, Perry bagaimanapun gagal memenangi sebarang trofi.
Selaku hos, tugas tersebut sudah memadai buat wanita berusia 33 tahun itu kerana dia menutup malam berprestij berkenaan dengan persembahan penuh magikal bersama penyanyi rap tersohor, Nicki Minaj menerusi lagu Swish Swish.
Kendrick Lamar pulang dengan enam trofi iaitu Video Terbaik, Video Hip Hop Terbaik, Pengarahan Seni Terbaik, Pengarahan Terbaik, Sinematografi Terbaik dan Kesan Visual Terbaik.
Nuansa pada malam tersebut jelas menunjukkan bahawa para artis telah bergabung tenaga dan suara untuk menyatukan orang ramai.
Kesha hadir memberi ucapan penuh inspirasi berhubung trend bunuh diri. Dalam ucapannya, pelantun lagu Praying itu berkata: “Apa sahaja perkara yang sedang anda alami, ada kebenaran dan kekuatan bahawa anda tidak berseorangan. Kita semua menempuhi liku hidup. Selagi anda tidak menyerah kalah, akan hadir cahaya yang akan membenam kegelapan.”
Mendapat tepukan gemuruh penonton, Kesha memperkenalkan tiga orang artis, Logic, Alessia Cara dan Khalid yang bergabung mempersembahkan sebuah lagu berjudul 1-800-273-8255 (lagu berkenaan talian pencegahan bunuh diri).
Dalam pada itu, Paris Jackson juga meluahkan rasa hatinya tentang isu rasis selain Perry bertindak sedikit politikal dengan mencanang sokongannya terhadap bekas calon Presiden Amerika Syarikat daripada Parti Demokrat, Hillary Clinton
Ini sekali gus memberi gambaran bahawa dia mewakili suara orang ramai yang sengsara dengan pemerintahan Presiden negara itu sekarang, Donald Trump.
Ed Sheeran pulang dengan trofi utama, Artis Terbaik.
Menyentuh tentang kualiti persembahan, P!NK yang menerima anugerah khas, Michael Jackson Video Vanguard menghadirkan persembahan paling berkesan menerusi medley lagu-lagu popularnya seperti Get The Party Started, Raise Your Glass, So What, Perfect, Just Give Me Reason dan What About Us.
Miley Cyrus turut mendapat pujian ramai apabila mendendangkan single terbaharunya, Younger Now. Band rock, 30 Seconds To Mars pula menghadirkan persembahan bertenaga menerusi single terbaharu, Walk On Water dengan ‘kuasa visual’ penuh pesona.
Biarpun tidak membuat persembahan, Taylor Swift mencetuskan kontroversi apabila menayangkan klip video terbaharunya, Look What You Made Me Do.
Sohor kini di laman sosial seperti Twitter, klip video tersebut memaparkan banyak adegan yang seperti memberi bayangan ketidakpuasan hatinya terhadap rakan artis seperti Katy Perry dan Kanye West.