Analogi muzik Fifth Harmony


Kumpulan Fifth Harmony kini muncul dengan album ketiga.

Harus diakui, selepas pengunduran Camila Cabello daripada Fifth Harmony, ia sedikit sebanyak memberi impak kepada perjalanan kerjaya kumpulan vokal wanita yang kini dianggotai oleh Ally Brooke, Normani Kordei, Dinah Jane dan Lauren Jauregui.

Hadir dengan album studio ketiga berjudul Fifth Harmony tanpa Cabello, kumpulan yang dicungkil bakatnya daripada program realiti popular, The X Factor itu bagaimanapun membuktikan mereka mampu terus ‘bernafas’ walaupun hanya berempat.

Selepas album debut, Reflection (2015) dan kedua, 7/27 (2016), kumpulan yang cukup popular dengan lagu Sledgehammer itu mempertaruhkan 12 buah trek yang dimuatkan dalam album terbaharu mereka.

Masih mengekalkan muzik pop dan R&B sebagai rempah utama, tidak banyak perubahan yang diluncurkan daripada diskografi tersebut terutama dari segi melodi. Cuma, mungkin ada yang berpendapat muzik Fifth Harmony semakin matang dan menunjukkan bahawa mereka mewakili wanita-wanita tabah di luar sana atau dalam erti kata lain, cuba menyuntik idea feminisme seperti dalam album penyanyi wanita hebat, Beyonce (Lemonade).

Misalnya lagu berjudul You Make Mad sungguh mencuba untuk mencapai piawaian album Lemonade. Dari segi susunan melodi mahupun nukilan lirik, ia jelas seperti ingin mencerminkan sesuatu yang mewakili suara feminisme seperti album diva tersohor tersebut.

Barangkali terma R&B moden yang dicetuskan Beyonce telah menjadi ikutan ramai, namun sebagai kumpulan vokal wanita paling popular dunia era hari ini, Fifth Harmony perlu sedar bahawa peminat amat bergantung pada untaian lagu antem yang melekat pada ingatan.


Fifth Harmony - Angel

Legasi

Terdahulu, mereka mudah mendapat perhatian peminat menerusi lagu-lagu antem seperti Work From Home dan Worth It.

Menjadi ‘penyambung’ legasi kumpulan vokal wanita popular terdahulu seperti Spicegirls atau Pussycat Dolls, Fifth Harmony juga tidak dapat lari daripada bunyi muzik 1990-an (namun dimodenkan sedikit selari dengan peredaran muzik global).

Lagu berjudul Sauced Up dan He Like That jelas mempunyai elemen tersebut. Single utama berjudul Down barangkali kurang menyerlah berbanding single-single utama daripada dua album terdahulu.

Sudah tiba waktunya buat Fifth Harmony untuk mempunyai pegangan tersendiri dalam memilih material muzik. Dalam album ini, ia dibuktikan apabila beberapa buah lagu dicipta oleh anggota kumpulan.

Untaian lagu seperti Bridges, Messy dan Lonely Night adalah antara lagu yang mempunyai ‘ideal asal’ anggota kumpulan apabila mereka bertindak sebagai penggubah dan penulis lirik.

Dalam kebanyakan trek yang dipertaruhkan, lagu berentak perlahan, Don’t Say You Love Me mempunyai kekuatan tersendiri.

Umum mengetahui bahawa Fifth Harmony sangat terkenal dengan pukulan lagu rancak. Jadi, apabila mereka melantunkan vokal dan berkongsi jiwa menerusi lagu berentak perlahan, ia pantas memberi refleksi betapa berkualiti vokal masing-masing serta kecemerlangan perkongsian emosi yang lebih mendalam.

Secara keseluruhan, walaupun tanpa kehadiran Cabello, Fifth Harmony masih relevan dengan muzik yang mempesona. Ada yang berpendapat, melodi muzik yang dikongsikan dalam album ketiga tersebut kurang menyerlah atau bersifat mendatar, namun dengan kekurangan ‘satu suara’, ia masih boleh dikategorikan sebagai diskografi yang berjaya.

Hari ini, kumpulan vokal wanita di Hollywood hanya boleh dihitung dengan jari dan Fifth Harmony muncul sebagai antara yang popular dan berjaya dari segi penjualan album.

Barangkali, tidak lama lagi akan ada anggota lain yang mula mengikuti jejak langkah Cabello untuk bergerak solo, namun kumpulan tersebut telah mengukir nama di hati peminat seluruh dunia.

Bukan one hit wonder mahupun tidak konsisten terhadap perkongsian muzik dengan peminat tetapi menerusi tiga buah album studio sejak 2015, pencapaian tersebut adalah simbolik untuk mereka kekal dalam lipatan sejarah sebagai kumpulan vokal wanita moden yang menjadi teladan ramai khususnya golongan muda.

Oh ya, syabas atas persembahan sulung di pentas berprestij Video Music Awards 2017 (VMA2017)!

Post a Comment

Previous Post Next Post