Penerbit dan pelakon Datuk Rafiena Ezanee mengambil 26 anak angkat terdiri daripada anak yatim dari Madrasah Idrisiah di Kuala Kangsar, Perak.
Rafiena ketika ditemui berkata, dia terpanggil untuk mengambil remaja berusia 13 hingga 17 tahun itu selepas melawat madrasah itu, baru-baru ini.
"Hati saya terusik apabila mendengar masalah yang mereka hadapi. Melihat keadaan sekolah mereka yang uzur juga membuatkan hati saya hiba dan terfikir bagaimana mereka belajar serta bermalam di sana.
"Lagipun semua mereka adalah anak yatim dan bukan dari golongan senang. Jadi saya nekad mengambil mereka sebagai anak angkat dengan memberi bantuan apa yang termampu, katanya.
Menurut Rafiena, semua 26 anak angkat itu bakal diraikan dalam program kem bina semangat di taman tema air Lost World Of Tambun (LWOT), Ipoh pada 15 September depan.
"Mereka bakal diraikan di situ selama tiga hari dua malam. Pelbagai aktivti menarik sudah disusun bagi memberi semangat kepada mereka untuk menjadi lebih berani dan berjaya dalam hidup," katanya.