Misi Dikenali sebagai pelakon dan pengacara, Karl Shafek kini mahu bergelar usahawan fesyen berjaya.
Situasi tersebut tidak hanya berlaku di Malaysia, malah selebriti luar negara seperti Kanye West dan Victoria Beckham juga tidak ketinggalan menggunakan platform yang ada sebagai modal untuk menjual kreativiti mereka menerusi penjualan pakaian.
Bahkan, kebanyakan jenama antarabangsa seperti Puma dan Adidas turut dilihat menjalinkan kerjasama dengan selebriti gred A untuk muncul dengan koleksi istimewa masing-masing.
Melihat trend tersebut sebagai perkara biasa, pelakon teater Tenggelamnya Kapal van der Wijck itu enggan menghiraukan kritikan dan kecaman khalayak mengenai jenama pakaian selebriti yang diberi peluang untuk menyertai KLFW.
Apa yang penting, tegas Shafek, kepercayaan pihak penganjur dan nilai sesebuah jenama itu sendiri pada mata masyarakat.
“Bagi saya, tidak menjadi masalah untuk seseorang artis menyertai minggu fesyen. Menerusi sebuah bisnes fesyen, artis merupakan pemilik jenama tersebut manakala tugas mencorakkan setiap busana diberikan kepada pereka yang dilantik secara profesional.
“Tambahan pula, setiap jenama yang diperagakan pada KLFW telah melalui saringan daripada pihak penganjur terlebih dahulu. Jika jenama tersebut dipilih, bermakna ia benar-benar layak,” tutur Shafek yang menjadikan kemahirannya dalam menggunakan perisian multimedia sebagai kelebihan untuk menghasilkan koleksi SARKAStic.
Beralih kepada perkembangan kerjaya seninya, bekas pramugara Malaysia Airlines itu mengakui masih rindukan bidang lakonan.
Seni
Namun, disebabkan kekangan masa dan fokusnya lebih terarah terhadap fesyen sejak beberapa bulan lalu, hasrat untuk kembali beraksi di hadapan kamera terpaksa dilupakan seketika.
“Bukan tidak mahu berlakon tetapi masa tidak mengizinkan saya untuk berbuat demikian. Banyak perkara perlu diatur kerana saya menguruskan bisnes secara bersendirian.
“Jika jadual mengizinkan dan tawaran yang diberikan bagus, saya akan kembali berlakon,” kata Shafek yang kali terakhir muncul menerusi drama bersiri Rindu Awak 200% sekitar tiga tahun lalu.
Pada masa sama, dia turut mengharapkan karier pengacaraannya berkembang ke satu tahap yang berbeza tahun ini.
“Selama ini, saya dikenali sebagai pengacara rancangan memasak atau yang berkaitan dengan makanan.
“Jadi, jika diberikan kesempatan, saya mahu keluar daripada kepompong tersebut dan mencuba suatu perkara baharu bagi memperkasakan portfolio sebagai seorang pengacara,” tutupnya.
Sekitar dua tahun lalu, ketika Karl Shafek baru sahaja melancarkan jenama pakaiannya, Neonate Clothing, dia menerima satu tawaran yang dianggap dapat menempatkan jenama fesyen tunggalnya itu ke peringkat lebih tinggi.
Ketika itu, Shafek diundang untuk memperagakan jenama tersebut pada acara fesyen tahunan paling berprestij yang diadakan di ibu kota iaitu Kuala Lumpur Fashion Week RTW 2015 (KLFW).
Biarpun jiwa besarnya digoncang angin gembira berserta teruja, namun pada masa sama naluri kecil pemilik nama lengkap, Khairul Shafek Ibrahim itu berbisik supaya kakinya berpijak di dunia nyata.
Hal ini kerana, pengacara berusia 36 tahun yang turut bergelar pelakon itu menyifatkan jenama pakaian miliknya masih kurang layak untuk menyertai jenama-jenama gergasi lain dan dipertontonkan di atas pentas peragaan.
“Siapa yang tidak teruja apabila jenama fesyen yang baru setahun diusahakan mendapat perhatian penganjur KLFW.
“Namun, ketika itu saya perlu realistik. Jenama Neonate Clothing masih lagi baharu dan saya sendiri tidak tahu adakah ia akan kekal lama dalam industri fesyen.
“Justeru, dengan berat hati saya terpaksa menolak undangan tersebut kerana merasakan Neonate Clothing belum bersedia untuk diperagakan di pentas KLFW,” katanya memulakan bicara.
Sukar
Perasaan kecewa dan sebal yang ada dalam diri pelakon filem Zaiton Ceritaku itu bagaimanapun tidak berbekas lama.
Shafek sekali lagi menerima undangan daripada pihak penganjur untuk memperagakan koleksi fesyennya menerusi penganjuran KLFW tahun ini yang berlangsung di pusat beli-belah Pavilion pada 16 hingga 20 Ogos lalu.
“Apabila pihak penganjur, Andrew Models menghubungi saya buat kali kedua, saya mula sedar bahawa ini merupakan masa yang sesuai untuk menerima tawaran tersebut,” katanya lagi.
Bercerita lanjut, Shafek mengakui penglibatan perdananya bersama KLFW bukanlah suatu proses yang mudah. Kongsi pengacara CJ Wowshop itu, banyak perkara mengenai rekaan pakaian yang perlu diberi perhatian, khususnya dari segi idea dan tema pilihan.
“Bukan mudah sebenarnya untuk menghidupkan sesebuah pertunjukan fesyen. Menerusi nasihat yang diberikan Andrew iaitu orang kuat Andrew Models, saya mula belajar tentang penambahan gaya yang perlu ada pada busana yang ingin diperagakan.
“Selain itu, saya juga perlu peka dengan perincian yang dipilih agar hasil akhirnya tidak kelihatan janggal atau mengganggu rekaan secara keseluruhan,” katanya yang mengambil masa selama dua bulan untuk menyiapkan koleksi tersebut.
Memilih nama SARKAStic sebagai jolokan untuk koleksi tersebut, Shafek menyatukan elemen sarkas dan sindiran sebagai tema utama rekaannya.
“Sindiran yang ada dalam rekaan saya tidaklah keterlaluan. Ia sekadar memberitahu khalayak tentang sesuatu perkara tanpa perlu berterus-terang.
“Lagipun, saya percaya fesyen diciptakan dengan ruang untuk menyampaikan sesuatu mesej secara tersirat. Terpulang bagaimana orang awam untuk mentafsirkannya,” katanya.
Ditanya tentang impak yang diterima selepas menyertai KLFW pada tahun ini, jawab Shafek: “Untuk koleksi akan datang, kami akan lebih serius dengan apa yang dikeluarkan.
“Bahkan, menerusi koleksi sedia pakai After Dark yang dipasarkan baru-baru ini, pelbagai item baharu turut dilancarkan seperti jaket, seluar dan beg galas,” katanya yang sebelum ini hanya memasarkan baju-T bercorak ketika mula memperkenalkan Neonate Clothing.
Kecam
Jika dilihat daripada pandangan mata kasar, fesyen dan dunia seni boleh diibaratkan sebagaimana akrabnya aur dengan tebing. Masing-masing punya kelebihan dan sifat unik yang tersendiri.
Memandangkan kedua-dua bidang tersebut saling bergantungan antara satu dengan lain, tidak hairan jika ramai selebriti dilihat cuba mengetengahkan bakat yang dimiliki dengan menceburi bidang fesyen.