Pengorbanan populariti AG


Selain sibuk di konti, AG juga merupakan hos untuk beberapa program di televisyen dan sesekali berlakon.

Tidak ubah seperti peribahasa ikutlah resmi padi, semakin berisi semakin menunduk ke bumi, barangkali ia hampir tepat untuk disandingkan dengan bagaimana penyampai radio tinggi lampai ini membawa dirinya dalam dunia hiburan.

Berbeza dengan kebanyakan penyampai radio lain yang boleh disifatkan sebagai popular dan terkenal secara komersial, lelaki dengan pengenalan nama AG atau Muhammad Azmir Selamat itu memilih haluan sebaliknya.

Bagaimanapun, itu bukan bermakna dia menafikan populariti tidak penting dalam membantu perkembangan kariernya tetapi AG sedar diri bahawa matlamat utamanya adalah untuk menjadi penyampai radio.

Malah, usia pembabitannya sebagai penyampai bukan setahun jagung. Ia sudah ranum. Sudah 17 tahun. Itu adalah satu tempoh yang panjang untuk seseorang yang setia dengan pekerjaannya sejak berusia awal 20-an. AG hari ini sudah berusia 37 tahun.

Hakikatnya tidak ramai yang sedar AG telah menjadi suara yang menghiburkan dan memberi informasi kepada seluruh rakyat Malaysia sejak 17 tahun lalu.

Berbanding nama-nama besar penyampai radio yang lain seperti Fara Fauzana dan Faizal Ismail yang pernah menjadi dua rakan gandingannya, nama AG terkebelakang.

Sehingga hari ini pun, barangkali masih ada segelintir khalayak yang tidak mengenal wajah sebenar AG tetapi memuja suaranya di sebalik corong radio.

AG hanya tersenyum memikirkan fakta yang tidak mahu disanggahnya itu.

“Saya selesa begini tapi tidak menafikan populariti penting untuk kerjaya saya,” katanya sambil ketawa.

Dia memulakan kariernya dengan menjadi penyampai radio di negeri kelahirannya, Johor, Best FM. Beberapa tahun menimba ilmu di sana, AG diajak menjadi pasukan penyampai pertama untuk radio Hot FM sebelum kini menerajui Kool FM bersama banyak penyampai radio baharu.

Dia sendiri kini berganding dengan rakan penyanyi yang semakin selesa menjadi penyampai, Haiza.

Pada saat banyak penyampai radio silih berganti dan ada yang sudah menjadi selebriti di kaca televisyen, AG masih setia di konti radio. AG hanya ketawa mengekek saat diajukan tentang kesetiaan dan jangka hayatnya sebagai penyampai radio.

Revolusi

“Sepanjang tempoh 17 tahun ini, saya sudah tiga kali bertukar stesen radio dengan melewati empat fasa cara penyampai radio bekerja,” katanya sambil ketawa.

Fasa tersebut hurai AG merangkumi bagaimana suatu ketika dahulu, semua penyampai radio perlu menggunakan suara bass dalam penyampaian mereka dan tidak boleh bertutur terlalu laju sewaktu ke udara.

Teknik menggunakan suara bass itu, kata AG lagi diperoleh menerusi pembelajarannya bersama penyampai radio disegani, Allahyarham Bobi Borhan Din (BBI) selain dia sendiri terus belajar untuk memperbaiki penyampaiannya.

“Kemudian, fasa kedua pula adalah fasa yang saya lalui sewaktu berhijrah ke Kuala Lumpur. Sufian Mokhtar atau Fly Guy adalah orang yang bertanggungjawab membawa saya ke ibu kota, sekali gus bekerja di Hot FM yang memerlukan saya menjadi selebriti atau perlu popular,” cerita AG tanpa berselindung.

Fasa ketiga pula kata AG adalah suatu cabaran baharu buatnya kerana perlu bersaing dengan pelawak yang kini terjun ke dalam dunia radio. Justeru, dia perlu bijak memikat pendengar dan kekal relevan dengan situasi semasa.

“Kini, saya berada dalam fasa keempat iaitu zaman digital yang menjadikan saya tidak boleh hanya duduk di konti dan menjual suara sahaja. Untuk memastikan karier berkembang dan memenuhi tuntutan syarikat, saya perlu terdedah dengan memuat naik sekurang-kurangnya dua video dalam seminggu untuk tatapan khalayak di media sosial,” katanya yang bersyukur kerana berpeluang melalui empat revolusi yang tidak dirasai banyak penyampai radio pada masa kini.

Kool Kan Ada

Bersama Kool FM, AG mengendalikan slot Pagi Hari Di Kool (PHD) bergandingan dengan Haiza setiap hari bermula pukul 6 sehingga 10 pagi.

Menariknya, bersama rakan penyampai lain termasuk Liza, Muaz, Rea, Ikhwan dan Ezaq, AG terbabit dalam kempen Kool Kan Ada yang merealisasikan impian pendengar yang menghantar penyertaan mereka melalui laman web rasmi Kool FM di www.koolfm.com.my dan mengemukakan jenis bantuan yang diperlukan.

Sudah memulakan kempen tersebut sejak beberapa minggu lalu, AG menyifatkan kempen yang sedang dijalankan mereka sebagai satu usaha murni dalam menunaikan hajat pendengar.

Lebih menarik, mereka mampu merealisasikan banyak impian dalam kalangan golongan yang kurang berkemampuan.

“Barangkali ada yang beranggapan dan melihat sesuatu permintaan seperti tidak logik, terlalu remeh atau kelakar.

Hakikatnya, perkara yang perlu kita ingat adalah setiap daripada kita mempunyai masalah dan penerimaan yang berbeza. Justeru melalui kempen ini, kami cuba merealisasikan impian yang telah ditapis terlebih dahulu.

“Mana yang kami rasa relevan dan perlu direalisasikan, akan ditunaikan,” ujarnya yang memberitahu, kebanyakan permintaan mampu ditunaikan dalam kadar segera selepas ia dihantar kepada pihak Kool FM.

Antara permintaan yang dilihat unik dan telah direalisasikan adalah pemberian gigi palsu kepada seorang warga emas, pembelian sebanyak 50 kilogram tepung kepada seorang penjual karipap di Melaka serta permintaan seorang guru yang meminta kelengkapan alat tulis untuk pelajar-pelajar sakit di sebuah hospital di ibu kota.

“Kami juga akan merealisasikan permintaan seorang kanak-kanak dari sebuah sekolah prasekolah yang mahu melawat Tugu Negara dengan memberi tajaan bas kerana guru mereka tidak mampu menyewa bas untuk membawa sebanyak 25 anak muridnya ke lokasi bersejarah tersebut,” ujar AG yang bersyukur kerana kempen seumpama itu mampu memberi dirinya dan rakan penyampai lain peluang memberi semula kepada komuniti.

Perlu popular

Mendasari pengertian popular buat dirinya, kata AG, hal itu diperlukan dalam pekerjaannya yang terdedah dengan dunia glamor. Mengaku popular bukanlah matlamat utama dia menjadi penyampai radio, namun demi kelangsungan hidup dan kekal relevan, dia perlu mencari ruang dan peluang menonjolkan diri.

Hal itu juga kemudian mendorong bapa kepada empat orang anak itu mencari peluang untuk muncul di kaca televisyen lebih lapan tahun lalu. Diberi kesempatan oleh Ally Iskandar untuk terbabit dalam Selamat Pagi Malaysia, AG kemudian menjadi peneraju bersama program Nasi Lemak Kopi O sebelum kini sinonim dengan rancangan Muzik-Muzik dan Melodi.

Sesekali, dia juga terbabit sebagai pelakon yang disifatkannya perlu untuk memastikan momentum kerjanya masih berada dalam radar yang baik.

“Popular penting buat karier saya,” akuinya tanpa berselindung. Biarpun begitu, katanya, dia lebih selesa menjadi penyampai. Dunia radio adalah kecintaannya.

“Saya sayangkan dunia radio. Biarpun sudah melalui banyak fasa dan ramai pendatang baharu kelihatan lebih menyerlah tetapi tidak mengapa. Hal ini kerana saya berasa sentiasa relevan menjadi penyampai. Saya juga punya masa untuk diluangkan bersama keluarga,” katanya.

Namun sebagai manusia yang realistik, AG telah mempersiapkan dirinya dengan memastikan kelangsungan keluarganya terjamin. Dia selalu mengingatkan diri bahawa jangan hanyut atau berasa selesa dengan pekerjaan sekarang. Pada satu saat, AG sedar barangkali khidmatnya juga perlu ditukarkan dengan orang lain.

“Sudah lima tahun kami menjalankan perniagaan butik Muslimah yang dikendalikan isteri saya. Inilah (perniagaan) pertahanan ekonomi buat keluarga jika sampai janjinya mungkin khidmat saya sudah tidak lagi relevan dalam dunia penyampaian radio,” katanya ringkas.

Haji

Menyentuh tentang penggunaan namanya, AG, ternyata ada cerita menarik di sebaliknya. AG adalah singkatan panggilan bagi haji.

“Saya mendapat gelaran atau panggilan haji dalam kalangan kawan-kawan kerana sudah pernah dua kali menunaikan ibadat haji sewaktu berusia sembilan dan 17 tahun. Jadi, dulu orang panggil saya haji, cuma dikomersialkan menjadi AG,” ujarnya.

Berbicara tentang pengalamannya menunaikan haji, AG mengaku saat pertama kali ke Mekah pada usia sembilan tahun, dia masih bebas komitmen dan tidak fokus terhadap ibadat.

Sebagai kanak-kanak, dia menyifatkan pemergiaannya menunaikan haji pada tahun 1990 bersama kedua ibu dan bapa serta atuk dan neneknya sebagai percutian keluarga.

“Namun, satu peristiwa yang mengesankan dan masih saya ingati adalah peristiwa terowong pejalan kaki al-Muassim yang menghubungkan Mekah dan Mina runtuh. Saya boleh melihat bagaimana banyaknya jenazah yang masih dalam ihram dibersihkan menggunakan jengkaut,” imbas AG mengenai tragedi yang telah mengakibatkan seramai 1,426 jemaah maut termasuk 19 jemaah Malaysia antara yang terkorban.

Kali kedua menunaikan haji pada tahun 1997, kata AG, sudah banyak kesedaran dan komitmennya. Pada usia itu, dia mula fokus menunaikan haji, malah menjadi harapan kepada jemaah yang lebih berusia memandangkan dia mempunyai banyak tenaga dan mampu menjaga mereka.

“Itu kali terakhir saya menunaikan haji dan memasang niat besar untuk membawa isteri, Emelda Amir, 37, dan empat anak iaitu Muhammad Aeril Aqmar, 12, Muhammad Arraz Ammar, 10, dan Muhammad Aqriz Anmar, dua tahun menunaikan umrah atau haji.

“Doakan kami,” ujarnya yang juga mendoakan kesejahteraan buat seluruh umat Islam yang kini berada di Mekah dan Madinah untuk menunaikan haji pada tahun ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post