Shima Anuar cuti berlakon setahun


Lebih tujuh tahun bergelar pelakon dan menimba pelbagai pengalaman pahit manis dalam dunia seni, Shima Anuar, 26, tidak pernah terfikir untuk berhenti berlakon.

Bagaimanapun, disebabkan keadaan dirinya yang kini sedang berbadan dua, pelakon yang mula mencipta nama menerusi filem 7 Petala Cinta ini terpaksa mengambil keputusan berehat seketika.

Keputusan itu dilakukan untuk memberi tumpuan kepada kandungannya yang kini sudah berusia empat bulan dan pada masa yang sama tidak mahu menyusahkan produksi.

“Ketika awal kehamilan, saya alahan teruk sehingga tidak mampu lakukan apa pun perkara dan banyak habiskan masa di rumah.

“Alhamdulillah memasuki usia empat bulan, semua sudah kembali OK, namun saya buat keputusan berehat dari dunia lakonan seketika sehingga bersalin,” jelasnya.

Bagaimanapun, kata Shima, sehingga kini masih tetap dihujani tawaran berlakon, malah ada di antara mereka yang sudi beri kelonggaran demi memastikan dia berlakon.

“Saya hargai kepercayaan dan kesudian mereka, tetapi jujurnya saya tidak mahu susahkan produksi jika berlaku apa-apa masalah nanti,” katanya yang kali terakhir berada di lokasi penggambaran drama Pembancuh Kopi Mr Vampire.

Sepanjang tempoh penglibatannya dalam bidang seni, Shima telah membintangi puluhan drama dan lebih 10 filem termasuklah Highland Tower, Flat 3A, Sumpahan Kum Kum, Bini-Biniku Gangster dan lain-lain.

Biarpun bakal berehat selamat setahun, Shima menegaskan untuk tidak meninggalkan dunia lakonan yang telah lama menjadi minatnya ini.

“Alhamdulillah status saya sebagai isteri tidak pernah menghalang saya untuk terus aktif dalam bidang lakonan, apatah lagi suami juga sentiasa menyokong dan tidak pernah meletakkan syarat kepada saya.

“Jadi insya-ALLAH selepas bersalin nanti saya akan kembali berlakon semula seperti biasa dan mengejar kembali apa yang telah saya tinggalkan dalam tempoh itu.

“Kalau boleh bila dah kembali berlakon nanti saya nak cuba watak baru yang saya tidak pernah lakukan sebelum ini seperti watak perempuan jahat yang tahap maksima untuk mencabar kemampuan lakonan saya,” katanya kini hangat dengan drama Gaduh Gaduh Sayang di TV1.

Bergerak Solo, Urus Sendiri Kerjaya

Mengakui mula rindu ke lokasi penggambaran, kata Shima dia terpaksa mencari hobi baru untuk mengisi kekosongan waktu yang dijalaninya kini.

“Baru empat bulan cuti, saya dah mula rasa bosan dan rindu nak pergi lokasi bekerja dengan kawan. Sebab ia dah jadi rutin saya selama bertahun-tahun.

“Namun dalam keadaan sekarang saya tidak boleh nak pentingkan diri sendiri dan perlu berkorban keinginan saya demi bayi dalam kandungan.

“Jadi dalam tempoh bercuti ini saya mula cari hobi baru iaitu baca buku terutama buku tentang penjagaan bayi dan sebagainya,” katanya Shima.

Dalam pada itu, Shima yang sebelum ini merupakan artis di bawah pengurusan MIG mengakui kini telah bergerak solo dan menguruskan sendiri kerjaya seninya selepas kontraknya bersama syarikat milik Mejar David Teo itu tamat awal tahun.

Post a Comment

Previous Post Next Post