Elizabeth Tan cuba bunuh diri


Akui Elizabeth Tan, dia terbuka berkongsi penderitaan yang dilaluinya kepada umum atas tujuan menyebarkan kesedaran tentang bahayanya tekanan perasaan melampau yang dilalui seseorang.

Akibat tekanan perasaan yang melampau gara-gara mengalami banyak masalah dalam hidup membuatkan penyanyi dan pelakon Elizabeth Tan nyaris mengambil keputusan untuk membunuh diri.

Dedah pelantun lagu Knock Knock itu, tekanan perasaan melampau yang dialaminya adalah disebabkan hal keluarga, kerjaya dan putus cinta bersama seorang jejaka Melayu sekitar Mei lalu.

Bagaimanapun, ujar pemilik nama lengkap Elizabeth Tan Su Mei, 23, dia bersyukur kerana tidak melakukan hal negatif tersebut.

Ikuti perkongsian penyanyi yang mesra disapa Lizzy itu ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya berjudul Darling di pejabat Warner Music, Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

KOSMO!: Akibat tekanan perasaan, Lizzy mengaku hampir membunuh diri. Boleh rungkaikan dengan lebih lanjut mengenai kisah itu?

ELIZABETH TAN: Ia satu cerita yang panjang dan membuatkan saya mengambil masa untuk kembali bangkit. Semuanya berlaku dalam masa yang sama apabila melibatkan banyak hal berkait seperti keluarga, kepercayaan kepada Tuhan dan soal peribadi.

Saya mengaku, kisah putus cinta bersama bekas kekasih sekitar Mei lalu menjadi salah satu punca sehingga hampir membuatkan saya hilang pertimbangan.

Pada waktu itu, saya sudah berputus asa untuk hidup kerana fikir manusia akan tetap mati bila-bila masa sahaja.

Jadi, apa yang membuatkan anda kembali bangkit untuk meneruskan hidup?

Syukur, saya ada keluarga yang banyak membantu dan memberi sokongan. Walaupun pernah membelakangkan keluarga kerana cinta tetapi saya sangat terharu kerana mereka kembali menerima saya seperti biasa.

Ibu adalah orang yang paling dekat dengan saya ketika melalui detik sukar sebegitu selain membawa saya berjumpa doktor pakar bagi mendapatkan rawatan.

Pada masa sama, saya sangat bertuah kerana berjumpa dengan seorang rakan yang banyak membantu dari segi nasihat. Individu inilah yang banyak membantu saya untuk kembali percaya kepada Tuhan walaupun dia sebenarnya seorang Muslim.

Apa pengajaran yang anda dapat selepas melalui episod hitam seperti ini?

Terlalu banyak perkara yang saya sudah belajar dalam tempoh ini. Perkara paling penting adalah ia menyedarkan saya untuk tidak mengulangi lagi perkara bodoh (membunuh diri) seperti itu lagi. Saya harus bijak mendalami emosi dengan rasional.

Baiklah. Beralih kepada single terbaharu anda berjudul Darling. Boleh ceritakan sedikit mengenainya?

Ia selamat dilancarkan dan merupakan lagu tema kepada drama lakonan saya yang sedang ditayangkan sekarang, My Darling Inspektor Daniel di Astro Ria.

Secara jujurnya, saya menulis lagu ini dalam masa 30 minit sahaja ketika menaiki perkhidmatan Uber untuk bertemu penerbit lagu ini, Bo Amir Iqram.

Memang ia ada sedikit kaitan dengan kisah hidup saya tetapi secara keseluruhan penulisan liriknya banyak dipengaruhi daripada jalan cerita drama tersebut termasuk karakter saya, Maya.

Sepatutnya, saya lancarkan lagu lain untuk drama ini tetapi ada sedikit berlaku masalah komunikasi. Sebab itu saya cuma ada masa sehari sahaja untuk menyiapkannya.

Untuk lagu ini, saya tidak meletakkan harapan tinggi seperti lagu-lagu terdahulu, cuma berharap peminat akan sukakannya.

Bagaimanakah dengan perkembangan dunia lakonan anda ketika ini?

Saya sangat bertuah sebab semakin banyak tawaran yang datang. Kalau ditanya antara dua bidang ini, saya pilih dunia lakonan kerana memang suka berlakon.

Buat masa sekarang, saya akan fokus kepada bidang ini terlebih dahulu dan berehat seketika daripada nyanyian. Sebab saya akui, bidang nyanyian bukanlah minat saya sewaktu mula-mula masuk ke dalam industri seni.

Tidak dinafikan, kerana bayaran yang mahal dan saya mampu menjana pendapatan yang banyak menjadi punca saya meneruskan karier nyanyian. Namun, lama-kelamaan saya sedar bahawa ia bukanlah jiwa saya yang sebenar.

Post a Comment

Previous Post Next Post