Salma Mentor nafi jadi mangsa pilih kasih stesen radio


Salma kini sibuk mempromosikan single baharunya bertajuk Akhirnya Cinta yang turut menjadi runut bunyi bagi drama rantaian Ku Kirim Cinta lakonan Ayda Jebat dan Redza Rosli.

Menyandang gelaran juara bagi program realiti Mentor musim kelima dan 3 Juara masih belum cukup menyediakan laluan pantas buat Salma meraih kedudukan selesa dalam industri hiburan tempatan.

Hal itu timbul kerana muncul khabar angin mengatakan single baharunya bertajuk Akhirnya Cinta hanya diputarkan di stesen radio tertentu.

Pantas menepis dakwaan tersebut, pemilik nama lengkap Salma A. Asis tidak memandang serius terhadap cerita kurang enak tersebut. Malah, dia masih mampu tersenyum tanpa mempamerkan sebarang reaksi terkejut.

“Single baharu itu masih dalam peringkat promosi, jadi terdapat beberapa stesen radio yang masih belum ditemui. Bagaimanapun sepanjang pengetahuan saya, kesemua stesen radio telah memutarkan lagu Akhirnya Cinta sejak ia mula dilancarkan empat bulan lalu,” jelas penyanyi itu tenang.

Mengulas lanjut, wanita kelahiran Sabah itu juga tidak mengambil hati sekiranya terdapat segelintir stesen radio bersifat sikap pilih kasih sehingga enggan memainkan lagunya di radio.

Katanya, setiap individu mempunyai ketentuan berbeza sebelum berjaya mencapai keinginan masing-masing dan dia memegang kukuh kepada pendirian tersebut.

“Saya tidak mahu memberi sebarang komen mengenai perkara itu kerana percaya setiap kita mempunyai nasib yang berbeza. Jadi, saya mengambilnya secara positif dan menganggap itu cabaran dalam kerjaya,” tutur Salma ketika ditemui pada sesi fotografi di pejabat Utusan baru-baru ini.

Selain hadir bagi mempromosikan single baharunya, anak didik komposer Mohd. Faizal Maas atau lebih dikenali sebagai Ajai itu turut memberitahu tentang perancangannya untuk menerbitkan album mini.

Bakal mengandungi lima buah lagu baharu yang kesemuanya dihasilkan oleh Ajai, album itu juga akan dihasilkan dalam bentuk fizikal selain dipasarkan secara online.

Meskipun keadaan industri hiburan masa kini memberi cabaran hebat kepada penjualan album fizikal, namun Salma tetap optimis terhadap usahanya.

“Tidak dinafikan pengguna masa kini lebih tertarik menggunakan aplikasi online kerana mudah dibeli dan dimuat turun. Bagaimanapun, sebagai penyanyi saya tetap menginginkan untuk memiliki album studio sendiri.

“Tambahan, ia juga bakal menjadi album pertama buat saya. Justeru, perancangan untuk melahirkan album mini tersebut pastinya sesuatu yang mengujakan,” kata wanita berusia 27 tahun itu.


Salma - Akhirnya Cinta

Keluarga

Dalam pada bercerita soal kerjaya, isteri kepada peserta Akademi Fantasia musim kesembilan, Mohammad Azri Abdullah, 30, itu turut berkongsi cerita tentang kehidupannya bersama keluarga.

Ibu kepada dua cahaya mata iaitu Puteri Nurul Huda, 10, dan Andi Raisya, tujuh bulan itu hanya mampu tersenyum tatkala ditebak dengan pertanyaan sama ada mempunyai keinginan untuk menambah anak.

Kata Salma, buat masa sekarang dia lebih memberi fokus kepada kerjaya nyanyian selain menguruskan perniagaan jualan brownies yang diusahakan.

“Saya tetap bergantung pada rezeki tetapi buat masa sekarang segalanya terserah kepada kuasa Tuhan. Kami hanya mampu merancang dan tidak menolak sekiranya dikurniakan anak lagi.

“Saya cuma runsing dengan alahan ketika hamil. Sejujurnya saya mempunyai alahan yang teruk seperti ingin pitam dan kerap muntah-muntah.

“Situasi itu bukan sahaja bakal mengganggu keadaan saya sekiranya sibuk dengan acara persembahan pentas tetapi bimbang akan membebankan banyak pihak,” jelas Salma panjang lebar.

Post a Comment

Previous Post Next Post