Walaupun Norlia Ghani sudah empat bulan tidak menerima tawaran berlakon, namun dia tetap optimis dengan rezeki buatnya.
Sejak akhir-akhir ini, kehadiran pelakon veteran yang begitu terkenal dengan watak Opah suatu ketika dahulu jarang kelihatan di kaca televisyen.
Segalanya berpunca apabila Norlia Ghani atau lebih mesra dengan panggilan Mama Norlia tidak ditawarkan untuk berlakon sejak hampir empat bulan yang lalu.
Bukan kerana bakatnya tidak diperlukan, namun menurut Mama Norlia, hal itu berpunca apabila terdapat beberapa pihak yang memberitahu pihak produksi tentang jadual seninya yang sentiasa penuh sehingga tidak dapat menerima tawaran baharu.
Ikuti temu bual antara Kosmo! dan Mama Norlia tentang masalah yang dihadapinya itu.
KOSMO!: Sejak bila Mama Norlia mula tidak mendapat tawaran berlakon?
Mama Norlia: Saya mula tidak mendapat tawaran berlakon sejak sebelum bulan Ramadan yang lalu. Kali terakhir saya masuk ke set penggambaran adalah ketika menjayakan telefilem arahan Rashid Sibir untuk terbitan Astro semasa Hari Raya Aidilfitri yang berjudul Selamat Tinggal Aidilfitri.
Ketika itu penggambaran dijalankan sebelum bulan Ramadan dan selepas penggambaran tamat, saya terus tidak mendapat mana-mana tawaran lakonan lagi.
Pada pandangan anda, mengapakah perkara ini berlaku?
Sejujurnya, saya terkejut apabila pihak produksi menelefon dan bertanya tentang jadual seni saya yang dikatakan sering penuh. Hakikatnya, saya tidak terikat dengan mana-mana tawaran lakonan buat masa itu.
Pihak produksi beritahu, terdapat beberapa orang yang mengatakan kepada mereka tentang jadual saya yang sentiasa penuh.
Mereka rakan-rakan seperjuangan saya dalam industri juga. Saya malas hendak ambil tahu siapa orangnya, tambahan pula hendak menuduh orang pun tidak bagus juga.
Selepas menerangkan kepada pihak produksi tentang jadual penggambaran, adakah anda sudah diberikan tawaran lakonan?
Belum lagi kerana mereka baru sahaja bertanya tentang kekosongan jadual seni saya terlebih dahulu. Tidak mengapa, saya berpegang kepada rezeki yang telah ditetapkan Allah. Rezeki juga tidak pernah tersilap, andai kata masih ada rezeki lakonan untuk saya, lambat laun ia akan datang juga.
Boleh komen sedikit tentang kata-kata netizen yang sebelum ini pernah menyuruh anda ke masjid apabila tidak menerima tawaran berlakon?
Hal itu merupakan perkara biasa. Mulut orang memang tidak boleh ditutup. Pada saya, apabila kita tidak dapat membantu atau memberi semangat, janganlah pula kita menjatuhkan orang lain.
Jika saya tidak bekerja, siapa hendak menyara kehidupan saya, adakah mereka boleh membantu? Kesimpulannya, biarlah mereka hendak berkata apa, asalkan saya tidak menyusahkan hidup mereka.
Boleh kongsikan aktiviti yang anda lakukan sepanjang tidak bekerja ini?
Buat masa ini saya banyak menghabiskan masa hujung minggu bersama anak-anak dan cucu. Kadangkala saya juga ada buat kerja luar bagi menampung perbelanjaan harian.
Mujur saya tinggal bersama anak nombor dua yang masih belum berkahwin. Anak-anak lain pula tinggal berdekatan dan mereka banyak membantu dari segi kewangan sepanjang hampir empat bulan tidak berlakon.
Andai kata diberikan tawaran berlakon, watak apa lagi yang anda ingin bawakan?
Dalam usia 68 tahun sekarang, rasanya tidak perlulah saya terlalu memilih watak. Tidak mungkin saya diberi peranan heroin lagi. Secara umumnya, dalam usia begini saya selesa diberi watak untuk menjadi ibu atau nenek.
Bercakap soal umur, mungkin anda pernah meletakkan sasaran umur untuk berhenti berlakon?
Jika hendak difikirkan faktor umur memang saya akui penat untuk berlakon lagi. Pun begitu, bidang lakonan merupakan punca rezeki saya sejak dahulu. Tambahan pula saya merupakan seorang ibu tunggal dan ketika bersama suami dahulu juga saya sudah terbiasa dengan hidup berdikari. Pendek kata,selagi diberi kekuatan dan kesihatan yang baik, saya tetap akan berlakon.
Adakah masalah anda ini pernah mendapat perhatian daripada persatuan seperti Persatuan Karyawan Malaysia atau Persatuan Seniman Malaysia?
Sejujurnya, pihak persatuan pernah membantu, namun bantuan hanya diberikan ketika musim perayaan yang diberikan sekali dalam setahun. Tiada bantuan lain diberikan selepas itu.
Pun begitu, saya tidak boleh mementingkan diri. Saya perlu fikir masih ramai lagi golongan artis yang memerlukan bantuan dan kehidupannya lebih susah daripada saya. Hal itu menjadikan