Buta jiwa Caliph Buskers


Caliph Buskers yang terdiri daripada (dari kiri), Rubiana, Fendy, Azmi, Zaki dan Nirwan muncul dengan single terbaharu berjudul Buta.

Sebagai manusia normal, mungkin kita tidak pernah membayangkan kesukaran yang dialami oleh individu kelainan upaya (OKU) dengan kecacatan penglihatan dalam melalui kehidupan seharian.

Kebiasaannya, kebanyakan daripada mereka sering mengalami masalah untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain, mendapatkan maklumat-maklumat terkini dan menguruskan diri.

Namun, ia bukanlah kekurangan yang dilihat dapat mematahkan semangat untuk meneruskan kehidupan dan terus berdikari. Hal ini kerana, golongan yang tidak mampu melihat itu sering dikatakan celik jiwa dan mampu melakukan aktiviti-aktiviti normal mengikut gerak hati mereka.

Begitupun, celik jiwa bukanlah satu kelebihan yang ada pada banyak orang. Bagi sesetengah individu normal pula, walaupun celik penglihatan, mereka sering dibutakan oleh kekayaan dunia dan sering melupakan golongan istimewa serta yang memerlukan.

Mengambil situasi tersebut sebagai inspirasi, kumpulan Caliph Buskers cuba menyedarkan orang ramai tentang liku-liku kehidupan individu cacat penglihatan menerusi single terbaharu mereka, Buta.

Vokalis Caliph Buskers, Khairul Azmi Saat atau Azmi berkata, Buta disifatkan sebagai sebuah naskhah dengan metafora yang bagus, khususnya untuk mereka yang terlalu selesa dengan kesenangan yang dimiliki.

“Dari segi maksud, Buta mengajak pendengar untuk bersyukur dengan setiap kurniaan yang diberikan oleh Allah.

“Lagu ini juga penuh dengan nasihat dan mampu memberikan kesedaran kepada orang ramai apabila mendengarnya,” kata Azmi ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu tersebut di Petaling Jaya baru-baru ini.

Menurut Azmi, biarpun tajuknya sedikit sensitif, namun maksud yang tersirat menerusi karya ciptaan Faizal Tahir bersama Mike Chan dan Ezra Kong tidak seperti apa yang dianggap oleh orang ramai.

Tersirat

“Buta yang ingin kami sampaikan adalah berkenaan jiwa, bukan fizikal.

“Jadi, tiada sebarang masalah dan isu sensitif mengenai pemilihan tajuk bagi lagu terbaharu kami,” katanya yang mengakui menangis ketika merakamkan lagu berkenaan beberapa bulan lalu.

Lagu berentak balada tersebut bukan sahaja menampilkan sisi berbeza Caliph Buskers yang sebelum ini terkenal dengan lagu-lagu bernada tinggi tetapi turut menjadi karya pertama yang mempertemukan kumpulan tersebut dengan penyanyi Faizal Tahir.

Menurut Azmi, dia berasa sungguh teruja apabila menerima tawaran tersebut daripada pihak Faizal sendiri.

“Kami memang menggemari karya-karya yang dicipta oleh Faizal. Banyak lagu-lagunya mempunyai mesej yang baik dan mampu menjadi pengajaran kepada pendengar,” kata Azmi yang begitu mengagumi lagu Sejati nyanyian Faizal Tahir.

Sementara itu, Mike ketika ditemui pada majlis pelancaran single tersebut berkata, idea untuk menghasilkan single tersebut tercetus saat menyaksikan Caliph Buskers membuat persembahan pada Anugerah Juara Lagu Ke-29 (AJL29) sekitar dua tahun lalu.

Pada malam bersejarah tersebut, kumpulan yang terdiri daripada Khairul Azmi Saat, 28, (vokalis), Nirwan Zainal Abidin, 26, (gitaris), Fendy Abdullah, 24, (pemain dram), Syahzmeen Abdul Rahman, 24, (tamborin), Mohd. Zaki Ismail, 36, (gitaris) dan Nor Nadira Rubina, 24, (shaker) itu menyanyikan lagu Andai Ku Bercinta Lagi, menggantikan penyanyi asalnya, kumpulan Mojo.

“Kami berminat untuk melakukan kerjasama sebaik sahaja menonton persembahan mereka pada AJL29. Selepas melalui beberapa proses perbincangan, kami bersetuju untuk memberikan Buta kepada Caliph Buskers.

“Sepanjang proses rakaman, mereka telah memberikan komitmen yang baik. Dalam masa satu jam, lagu tersebut siap dirakam sepenuhnya,” kata Mike menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post