Hannah Al Rashid mahu lebih versatil


Bergelar atlet pencak silat menjadi kelebihan Hannah Al Rashid untuk terus berlakon menerusi naskhah bergenre aksi.

Bahkan, selebriti dari Indonesia ini juga mengakui kerap ditawarkan dengan karya bergenre aksi kerana kebolehan yang dimilikinya itu.

Bagaimanapun, selebriti berusia 31 tahun ini enggan bersikap stereotaip lantas mencuba pelbagai genre seperti komedi, drama dan seram.

“Saya sedar, saya banyak terima tawaran dalam genre aksi. Mungkin sebab produksi dah tahu saya ada asas seni mempertahankan diri.

“Tapi, saya tak mahu terlalu statik pada genre aksi sahaja, sebaliknya mahu jadi lebih versatil,” katanya kepada Media Hiburan.

Sebelum ini, Hannah pernah mewakili United Kingdom dalam sukan pencak silat dari 2002 hingga 2007.

Pada masa sama, pelakon mini siri Halfworlds ini pernah menjadi tenaga pengajar di sekolah latihan pencak silat sewaktu menetap di London bersama keluarganya.

Biarpun mempunyai kelebihan tersendiri, pemilik nama sebenar Hannah Aidinal Al Rashid ini tetap merendah diri apabila terbabit dalam sesebuah penggambaran.

“Setiap karya ada cabarannya. Biasanya, saya akan selalu letakkan diri ‘kosong’ atau tiada sebarang asas bertarung.


“Lagipun, sebagai atlet dalam dunia sukan dengan bertarung sebagai pelakon di lokasi, adalah sesuatu yang berbeza.

“Saya harus bermula dari bawah, belajar dan berlatih dengan jurulatih, saya tidak harus jadi sombong mahupun bongkak hanya kerana sudah punya asas bersilat,” katanya,

Terbaru, bintang filem Jailangkung ini bakal tampil dalam mini siri bergenre aksi, Do[s]a di samping Datuk M Nasir, Remy Ishak, Daniella Sya, Roy Marten, Ashraf Sinclair, Hisyam Hamid Fahad dan Shenty Feliziana.

“Saya berharap dapat mengembangkan bakat lakonan di Malaysia selepas terbabit dalam pembikinan drama ini.

“Saya kagum dengan pelakon yang terlibat. Apa yang saya belajar, semuanya harus bekerjasama kerana saling melengkapi di antara satu sama lain,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post