Isteri penyanyi Hafiz Hamidun, Joy Revfa memfailkan pembubaran pernikahan mereka pada 18 Ogos lalu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling selepas tindakan suaminya itu yang meragui pernikahan mereka.
Joy atau nama sebenarnya, Siti Arifah Mohd Amin,30 yang ditemui di perkarangan mahkamah itu berkata, tindakan itu diambil bagi mempertahankan hak dan statusnya sebagai isteri Hafiz yang sah.
Menurut Joy, secara tiba-tiba, pada 23 Mei lalu, Hafiz membangkitkan perkahwinan mereka tidak sah dan tidak menganggap dirinya sebagai isteri selepas itu.
"Saya kecewa apabila ada yang memperkatakan status pernikahan kami tidak sah. Perkahwinan terdahulu yang berakhir pada 2015, cuma tidak didaftarkan di Malaysia.
"Hafiz sedia maklum mengenai perkara itu kerana dia sendiri yang membuat surat pengesahan penceraian," katanya dipetik Berita Harian Online.
Hafiz turut dilihat di perkarangan mahkamah bagi memfailkan tuntutan yang sama.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 1 Mei lalu.
Joy sebelum ini pernah berkahwin dengan Datuk Ray Imran dan mempunyai seorang anak lelaki.