Gempal ingin ucapkan tahniah kepada Gempak dengan pelancaran wajah baru.
Difahamkan kini Gempak menawarkan pelbagai kandungan eksklusif, video menarik, berita hiburan informasi terkini, tip tutorial, gaya hidup masa kini, dan siri televisyen terhebat dari dalam dan luar negara.
Ketua Penjenamaan, Pemasaran Bahagian Melayu dan Gempak, Raja Jastina Arshad berkata, “Untuk menjadi sebuah jenama pilihan pengguna, kami di Astro perlu mencapai tahap industri dan berada setanding dengan jenama terkenal di peringkat global.
Namun begitu, pada masa yang sama tampil unik dengan menyuntik elemen lokal yang ringkas, paling intuitif, hebat dan cukup relevan serta bersifat peribadi dan menawarkan nilai terbaik untuk setiap pengguna," jelasnya.
Paling Gempal tak sabar adalah musim terbaru The House yang bakal menampilkan pelakon popular tanah air, Fattah Amin dan seorang lagi pelakon muda yang semakin menempa nama dalam industri seni tempatan, Alvin Chong.
The House merupakan program realiti digital pertama yang diperkenalkan secara eksklusif di platform ‘Gempak’ yang telah bersiaran selama tiga musim.
Terlanjur menyebut tentang Fattah Amin, Gempal teringat ketika di majlis Gempak ini, Fattah telah ditanya tentang kenyataan terbuka pelakon Que Haidar mengenai bakat-bakat baru yang tidak serius dalam pekerjaan mereka sebagai seorang anak seni.
Namun anak muda ini memberikan jawapan bernas yang menunjukkan dia semakin matang.
Ujarnya, dia tidak terasa dengan kenyataan Que Haidar tersebut kerana Que Haidar juga tidak menujukan kepada sesiapa. Kenyataan tersebut adalah bersifat terbuka.
Benar, Que Haidar tidak menujukan kepada sesiapa. Konsepnya adalah siapa yang makan cili dialah yang terasa pedas. Jadi jika anda adalah artis baru dan terasa dengan komen Que Haidar tersebut, anda jangan berkecil hati sebaliknya perlu ambil kata-kata itu sebagai teguran daripada seorang senior.
Justeru, apa yang harus dilakukan adalah tunjukkan bahawa anda benar-benar ingin serius bekerja dalam bidang seni ini dan bukan hanya mahu glamor dan mengejar populariti semata-mata.
Bagi Fattah sendiri juga, dia berpendapat sesiapa sahaja bebas memberikan pandangan masing-masing.
Dalam hal ini, Gempal sokong Que Haidar dan juga sokong Fattah Amin. Kedua-duanya bagi Gempal adalah terbaik. Que Haidar cemerlang dalam lakonannya, itu tidak perlu dipertikaikan lagi.
Sementara Fattah pula, daripada seorang yang pernah dikecam hebat kerana 'kayu' di awal pembabitannya dahulu, kini Fattah semakin menunjukkan apa yang dia ada iaitu bakat dan bukan bergantung kepada wajah atau pun status popular semata-mata selepas menjuarai pertandingan Hero Remaja.
Bagi Gempal sendiri, semakin hari semakin respek dengan Fattah sebab dia tidak mudah melatah malah sentiasa berfikiran positif dan kini dia kekal di dalam liganya tersendiri.
Insya-ALLAH bagi anak-anak muda lain yang baru menceburi bidang ini, jangan mudah mengalah, jadikan ini sebagai cabaran untuk lebih maju ke hadapan. Yang penting adalah utamakan kualiti dan sentiasa memberikan yang terbaik dengan penuh komitmen. Glamor dan populariti akan datang kemudian dalam bentuk bonus.