Meski ramai yang mempersoalkan kredibiliti pelakon baru yang dikatakan lebih bergantung kepada populariti untuk menempatkan diri dalam industri, pelakon Syafiq Kyle punya prinsipnya sendiri.
Berbekal pengalaman lebih enam tahun dalam dunia lakonan, pelakon yang mula dikenali menerusi drama Tanah Kubur ini semakin yakin dengan hala tujunya.
Malah, menurut Syafiq, dia cuba berubah menjadi lebih bijak memilih tawaran yang boleh membuktikan bakat serta kemampuannya.
Tidak bermaksud menafikan populariti penting untuk seorang pelakon, namun baginya paling utama ialah kualiti kerja.
Syafiq sendiri mengakui pernah mengharapkan populariti pada awal penglibatannya dalam bidang seni, tetapi mula sedar kualiti kerja lebih penting selepas beberapa kali berada di set penggambaran.
“Jadi selama enam tahun ini saya cuba baiki tahap lakonan. Daripada mula hanya dapat watak kecil dan tiada siapa yang kenal hinggalah kepada peluang menjadi hero dan sebagainya,” jelasnya.
Tidak pernah melenting atau kecil hati dengan segala kritikan, Syafiq melihat perkara itu dengan fikiran positif untuk terus belajar menjadi yang terbaik.
“Mereka tegur sebab nampak benda yang tak betul dan beritahu kita. Mungkin kita tak perasaan atau terlepas pandang.
“Cuma, kita akan lebih seronok jika teguran itu dilakukan dengan point yang betul dan ada cadangan perbetulkan kekurangan itu demi kebaikan semua pihak termasuk industri,” ujarnya yang mendapat pendedahan awal bersama pelakon otai pada awal kemunculannya dulu.
Gunakan platform media sosial
Syafiq turut berkongsi aktiviti terbarunya yang sedang mengikuti kelas lakonan bersama pelakon Ellie Suriaty sebagai persiapan untuk filem pertamanya.
Ternyata pelakon ini seronok kerana berkesempatan menyertai kelas itu bagi menimba lebih banyak ilmu.
Bagi Syafiq, ada perkara yang boleh dipelajari melalui pengalaman dan ada juga ilmu yang diperoleh melalui pembelajaran secara langsung.
“Walaupun dah habis dengan kelas lakonan yang disediakan pihak produksi filem ini, saya berhasrat menyambung kelas lakonan lain pula selepas ini,” katanya.
Biarpun begitu, hero drama Mencintaimu Mr Photrographer ini mengakui tidak menolak kepentingan populariti dalam kerjayanya selain menganggap peranan media sosial menjadi platform untuk mempromosikan diri seterusnya memberi ruang mencari lebih banyak peluang.
“Mahu tidak mahu saya perlu ikut trend semasa berkongsi aktiviti terbaru bersama peminat melalui media sosial," katanya.
Sebelum ini kata Syafiq, dia tidak kisah jumlah pengikutnya di laman sosial tetapi apabila sudah menjadi keperluan beberapa pihak melihat kepada perkara itu, dia cuba mengikuti perkembangannya dan sehingga artikel ini ditulis, Syafiq mempunyai 752,000 pengikut di Instagram.
Melihat kepentingan itu, kata Syafiq dia mula memberikan sedikit perhatian dan menjadikan ia sebagai satu pelan dalam perancangan kerjaya seninya.
“Kalau ikutkan saya tidak tahu sangat nak uruskan media sosial, jadi saya dibantu mereka yang arif dalam bidang ini untuk memberi panduan bagaimana nak jadikan media sosial sebagai sesuatu yang berperanan dalam kerjaya saya.
“Alhamdulillah, menerusi panduan itu saya kembali mengumpul pengikut di media sosial selepas kehilangan lebih 500,000 dari Instagram yang sebelum ini kena godam,” ujarnya berterus-terang.
Syafiq yang ditemui di lokasi penggambaran drama terbaru lakonannya, Dekatkan Jarak Kita terbitan JS Pictures yang bakal bersiaran di TV3 tidak lama lagi ini mengakui kini agak sibuk dengan jadual kerjanya yang begitu padat.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan rezeki yang ada dan berterima kasih atas penerimaan peminat terhadap kerja saya selama ini sehingga saya berada di tempat saya berdiri sekarang," katanya yang bakal mengeluarkan produk kecantikan di bawah labelnya sendiri tidak lama lagi.
Selain itu, menurut Syafiq, selepas penggambaran drama yang menggandingkannya bersama Ayda Jebat ini selesai, dia dijangka bertemu peminat di lokasi terpilih di Kuantan, Sabah, Sarawak dan Singapura sehingga November depan.