Faizal Ramly mengambil peluang menyertai program AF Megastar untuk bangkit semula dalam industri hiburan tanah air.
Dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, jarang benar nama Faizal Ramly terpampang pada papan acara hiburan bersifat nasional. Namanya lenyap seperti karier seni telah jauh daripada kehidupannya, bekas juara Akademi Fantasia musim keempat itu sebaliknya lebih kerap membuat kejutan dengan kisah peribadi dan rumah tangga yang seperti tidak memihak dalam takdir hidupnya.
Entah di mana silap anak kelahiran Marang, Terengganu itu sering gagal dalam perkahwinan. Ada sahaja krisis yang melanda sehinggakan peminat seakan-akan terlupa tentang Faizal, memandangkan karier muziknya terus tenggelam. Bukan tidak cuba bangkit daripada kegagalan bahkan pernah melancarkan single berjudul Tanpa Dirimu pada tahun lalu, namun usaha tersebut mendap tidak menyerlah.
Terbaharu, pengikut dunia hiburan didedahkan dengan berita pernikahan ketiganya bersama Sahidatul Najiha Ibrahim telah pun berakhir sejak Disember 2016.
Hasil perkahwinan yang dibina pada sejak November 2015 itu, mereka mempunyai seorang anak perempuan berusia setahun.
Sudah terlambat atau tidak, penyanyi yang pernah popular dengan lagu Lihatlah dan Datanglah itu kembali bersemangat apabila dibuka peluang menyertai program Akademi Fantasia (AF) Megastar.
Seperti mengembalikan semula zaman kerdipan bintang dalam dirinya, Faizal mahu membuktikan kepada peminat bahawa dia belum ‘mati’.
Menjelang siaran pertama AF Megastar yang pada 3 September depan, Faizal mengakui berasa gementar untuk kembali bersaing bersama 23 peserta yang kesemua bekas bintang AF bagi merebut gelaran juara.
Selain mahu kembali fokus terhadap nyanyian, Faizal atau Mohammad Faizal Ramly turut memberi tumpuan terhadap syarikat perniagaan produk makanan kesihatan, Care Synergy (M) Sdn. Bhd. yang diusahakan sejak enam tahun lalu.
KOSMO!: Bagaimanakah reaksi Faizal apabila diberi peluang menyertai program AF Megastar?
FAIZAL: Saya gembira dapat berkumpul semula bersama rakan-rakan dan membuat persembahan di hadapan peminat. Biarpun perasaan gementar itu ada, tetapi adat permainan pasti ada menang dan kalah.
Semoga penglibatan dalam program ini dapat membuktikan kepada masyarakat bahawa saya masih serius dalam bidang nyanyian, sekali gus membuat kemunculan semula.
Ini juga peluang untuk saya mempromosikan single bertajuk Tanpa Dirimu yang telah dilancarkan pada tahun lalu.
Jadi program berkenaan tidak ubah seperti batu loncatan untuk anda kembali ke dunia muzik?
Saya memang mahu membuat kemunculan semula dalam masa terdekat. Secara kebetulan tawaran menyertai program ini datang dan saya terima. Ini langkah positif buat saya setelah hampir 10 tahun menyepikan diri.
Sepanjang tempoh 10 tahun lalu, apakah yang anda lakukan?
Dalam tempoh tersebut saya banyak menghabiskan dengan mempelajari selok-belok pengurusan perniagaan dan menubuhkan sebuah syarikat menjual produk makanan tambahan dan kecantikan iaitu Care Synergy. Selebihnya saya sibuk dengan hal kekeluargaan.
Bagaimana dengan kehidupan peribadi sekarang?
Saya meneruskan kehidupan seperti biasa dengan kerjaya dan keluarga. Pengalaman tiga kali gagal dalam perkahwinan membuat saya lebih bersemangat dan berusaha menjalani kehidupan dengan lebih baik.
Segala yang berlaku biarlah menjadi sejarah dan pengajaran buat saya untuk meneruskan hidup pada masa akan datang. Lebih-lebih lagi, siapa yang mahu bercerai sehingga tiga kali dalam tiga perkahwinan?
Bagaimana hubungan dengan bekas isteri?
Hubungan kami masih baik. Saya juga tetap meneruskan tanggungjawab sebagai bapa kepada dua orang cahaya mata.
Biarpun telah berpisah tetapi kami tetap menjaga hubungan baik demi anak-anak. Saya memberi nafkah kepada dua orang cahaya mata Nur Alia Damia, 8, (perkahwinan pertama bersama Nor Asyikin Mansor) dan Nur Hanna Maleeka, 1, (bersama Saidatul).
Saya tetap sayangkan mereka. Saya akan meluangkan masa bergilir-gilir untuk berjumpa dengan mereka di Temerloh, Pahang (Nur Alia Damia) dan di Kuala Terengganu (Nur Hanna) jika ada kelapangan.
Adakah anda trauma untuk berkahwin lagi?
Segalanya bergantung kepada jodoh dan rezeki Tuhan. Saya tidak mampu menghalang atau menentukannya. Namun, sekarang saya masih solo dan mahu fokus terhadap AF Megastar.