
Pak Ngah (tengah) bersama Pengarah Urusan Program Indosiar, Ekin Gabriel (enam dari kanan) dan Zul 2by2 (tujuh dari kiri) bersama peserta uji bakat D’Academy Asia.
Sambutan memberangsangkan yang diterima menerusi penganjuran musim pertama dan kedua, program realiti D’Academy Asia musim ketiga (3) kembali membuka ruang kepada peserta dari Malaysia mencuba nasib.
Bakal bersiaran menerusi saluran televisyen Indosiar bermula 23 Oktober depan, seramai 36 peserta dari Indonesia, Malaysia, Timor Leste, Brunei, Singapura dan Thailand akan bersaing bagi merebut gelaran juara D’Academy Asia 3.
Sebagai persiapan mengetengahkan hanya peserta yang benar-benar layak dan berkualiti untuk bersaing dengan bakat dari luar negara lain, komposer tersohor, Datuk Suhaimi Mohd. Zain atau mesra disapa sebagai Pak Ngah mengadakan sesi uji bakat terhadap 24 peserta.
Berlangsung di studio rakaman PakNgah Production Sdn. Bhd. yang bertempat di Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur pada 15 Ogos lalu, Pak Ngah menaruh harapan agar peserta Malaysia berjaya menempatkan diri ke pusingan akhir.
“Merebut gelaran juara mungkin agak sukar kerana ramai peserta yang mempunyai bakat luar biasa tetapi saya tetap berharap agar wakil Malaysia berjaya menempatkan diri ke peringkat akhir,” ujar Pak Ngah optimis.
Berdasarkan ujian saringan tersebut, seramai enam orang peserta akan dipilih untuk mewakili Malaysia. Menerusi musim terbaharu tersebut, komposer dan penyanyi Zul 2by2 bertindak selaku pengkritik sementara Pak Ngah sebagai juri tetap.
Keputusan senarai peserta yang berjaya menempatkan diri bagi menyertai program tersebut akan diumumkan pada awal September depan.
Peluang
Menjadi salah seorang daripada peserta uji bakat tersebut, juara Mentor musim keempat, Mohd. atau nama lengkapnya Mohd Izwan Mohd. Nor meletakkan harapan memperoleh peluang menyertai rancangan televisyen tersebut.
Menaruh harapan agar D’Academy Asia 3 dapat dijadikan sebagai platform untuk mengembangkan bakat ke negara jiran, sementelah rancangan tersebut disiarkan negara Indonesia.
“Saya ingin melihat potensi diri dan peluang untuk mencipta nama di tempat orang serta menembusi pasaran muzik antarabangsa termasuk mengharumkan nama negara.
“Latihan vokal dan melakukan kajian terhadap peserta pada musim terdahulu merupakan antara inisiatif yang diambil sebelum menghadiri uji bakat bersama Pak Ngah,” ujar Mohd. mengenai persediaan yang dilakukan.
Biarpun menganggap kerjaya nyanyian sebagai hobi, namun Mohd. tetap berazam agar namanya terpilih antara enam wakil Malaysia untuk menyertai program tersebut.
Penyanyi berusia 32 tahun itu turut bersedia dengan sebarang kemungkinan apabila mempersembahkan lagu genre dangdut yang pastinya menjadi aliran muzik baharu buatnya.
“Sekiranya terpilih, saya akan berusaha untuk membuat persembahan dengan baik biarpun tidak arif menyanyikan lagu berentak dangdut,” katanya yang lebih selesa dengan irama R&B dan pop.
Kegigihan
Tidak hanya Mohd., penyanyi yang merupakan anggota kumpulan Fourteen, One juga antara artis yang turut menyertai uji bakat bagi menempah tempat dalam D’Academy Asia 3.
Dua kali menghadiri uji bakat, One mengakui status sebagai penyanyi profesional bukan tiket yang menjanjikan laluan pantas buatnya menyertai rancangan berkenaan.
“Ini merupakan uji bakat kali kedua yang saya hadiri selepas musim lalu. Biarpun ketika itu tidak terpilih tetapi saya tetap gigih berusaha sehingga berjaya.
“Keinginan menyertai program tersebut bukan sekadar untuk mencipta nama di luar negara tetapi mahu menonjolkan bakat terpendam terutama mendendangkan lagu genre berbeza berbanding yang pernah dibawa sebelum ini,” terang One sambil tersenyum.
Pada masa sama, One turut memberitahu, usahanya untuk ke melebarkan sayap ke Indonesia tidak bermaksud dia berhasrat mahu meninggalkan kumpulan Fourteen.
Masih kekal sebagai anggota kumpulan popular berkenaan, One bagaimanapun memohon penerimaan peminat dalam misinya mengembangkan karier muzik.