Langkah sedekad Hael Husaini


Pertama kali bersua bicara dengan penyanyi ini, terlintas di fikiran penulis yang biarpun sudah jauh melangkah akhirnya dia berjaya memahat nama di persada seni. Bukan calang-calang tempoh, sedekad lamanya dia mencuba.

Mungkin di benak fikiran segelintir peminat muzik tempatan, Hael Husaini merupakan artis baharu yang perlahan bertatih mendaki puncak populariti dan itu tanggapan biasa bagi Hael.

Bermula sebagai peserta rancangan realiti One In A Million sekitar 2008, dia tetap mencuba dan tidak pernah mengalah. Tiada istilah lelah atau putus asa dalam kamus lelaki ini.

Malah tidak hanya mencuba secara solo, Hael juga tampil menerusi kolaborasi duo dengan Azhar menerusi kumpulan Azhael. Namun tidak sampai lima tahun berganding kumpulan tersebut terkubur.

“Kalau hendak kira, sekarang sudah hampir sedekad saya dalam industri muzik. Macam-macam saya cuba dan lakukan untuk menonjolkan bakat. Biarpun baru sekarang saya mula dikenali tetapi saya tidak pernah sesali.

“Sepanjang 10 tahun usia seni saya, banyak yang dipelajari. Bila diimbau kembali setiap onak liku yang ditempuhi, saya tergelak sendiri. Percubaan demi percubaan dan akhirnya berhasil.

“Bukan hendak kata pembubaran Azhael satu langkah yang baik tetapi saya dan Azhar masing-masing ada misi seni sendiri. Bergerak solo adalah keputu-san yang diambil dengan pertimba-ngan yang wajar,” katanya yang kini popular dengan lagu Jampi.

Berbicara soal lagu Jampi, Hael tidak menyangka sama sekali peminat seakan-akan sudah ‘dijampi’ dengan lagu tersebut. Dia sendiri sedar persaingan dalam industri muzik bukan sesuatu yang harus dipandang remeh.

Apatah lagi dengan trend muzik sekarang yang lebih menjurus ke arah lagu-lagu 90-an, percubaannya untuk mengubah rentak muzik tempatan berhasil. Perlahan-lahan peminat menerima dan terpaut dengan lagu Jampi.

“Memang pada awalnya lagu tersebut kurang mendapat sambutan tetapi alhamdulillah, sekarang peminat dapat menerimanya. Saya tahu trend muzik sekarang lebih kepada lagu ‘tangkap leleh’ tetapi saya ingin mencuba sesuatu yang berbeza.

“Peminat sekarang sudah bijak dalam membuat pilihan dan mereka menyokong artis yang mahu mencuba sesuatu yang berlainan. Siapa sangka, kan? Saya sendiri tidak percaya,” katanya yang dikenali dengan gelaran Abang Jampi.

Melangkah keluar daripada kumpulan Azhael tetap memberi kesan kepada penyanyi berusia 30 tahun ini. Empat tahun mencipta nama bersama-sama, banyak ilmu yang dipelajari.

Tidak terlintas untuk bermusuhan atau bersengketa, sama ada Hael atau Azhar mereka saling berbalas sokongan. Tiada isu bergaduh atau berbalah biarpun tidak lagi selangkah.

“Ada dakwaan mengatakan saya dan Azhar berbalah. Itu tidak benar sama sekali. Mereka yang cakap itu tidak tahu hal sebenarnya. Kami masih baik dan sentiasa berhubung untuk saling menyokong.

“Masing-masing mempunyai misi seni sendiri dan sebagai rakan saya menyokong serta mendoakan yang terbaik untuk Azhar. Mungkin sekarang rezeki saya, siapa tahu dia bakal menyusul,” katanya.

‘Helena buat saya matang’

Keputusan untuk mengambil anak angkat dianggap sebagai perkara terindah dalam hidupnya. Tidak pernah sekali terlintas di fikiran untuk mencurah kasih kepada anak angkat, dia kini semakin matang.

Pertama kali memandang wajah suci bayi yang baru lahir itu, hatinya terus terpaut. Tiada kata dua diberikan, kepalanya lantas mengangguk setuju. Dia sudah bersedia menggalas tanggungjawab sebagai bapa.

Bayi comel, Nur Helena Hael bukan sahaja memberi sinar baharu dalam hidup anak kelahiran Kuala Lumpur ini tetapi mengubah rentak langkah percaturan hidupnya 360 darjah.

Memegang gelaran ayah bukan sesuatu yang mudah namun perlahan-lahan Hael belajar. Tiada perkara yang hadir dengan mudah. Amanah Tuhan yang dipikul kini besar makna dan tanggungjawabnya.

“Perasaan bergelar bapa tidak dapat diungkap dengan kata-kata. Satu perkara yang menakjubkan. Tak pernah terlintas untuk ambil anak angkat tetapi segala-galanya berlaku secara pantas dan tiba-tiba.

“Dahulu saya hidup sebagai lelaki bujang yang tidak punya komitmen tetapi sekarang bila balik rumah, ada Helena yang menunggu. Saya dapat merasakan diri semakin matang dan lebih dewasa.

“Perhatian saya bukan sahaja kepada kerjaya seni tetapi kepada keluarga khususnya anak.

“Saya fikir ini rezeki saya dan saya akan jaga anak ini dengan sepenuh kasih sayang,” katanya yang mula menjaga Helena sejak berusia satu hari.

Diaju soalan tidakkah perasaan bergelar bapa membuka pintu hatinya untuk mendirikan rumah tangga, seraya tergelak kecil dia merasakan ini bukan masa sesuai untuk dia berbicara soal jodoh.

“Kalau cakap soal perasaan nak kahwin, sejak dulu lagi saya fikir. Cuma jodoh dan seru sahaja belum sampai. Tapi sekarang dengan komitmen kerja dan anak, saya rasa nanti dululah.

“Sekarang saya mahu fokus dengan yang ada depan mata. Saya kena kerja kuat sebab ada Helena.

“Bab jodoh itu, saya percaya bila tiba masanya semua akan dipermudah Tuhan,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post