Ketika majoriti penyanyi lain berlumba-lumba menghidangkan peminat dengan lagu-lagu balada yang menjadi kesukaan masa kini, juara program Akademi Fantasia musim ke-7, Hafiz Suip cukup berani mempertaruh sebuah lagu rancak bergenre funk, Kejar.
Hampir dua tahun dilihat menyepi daripada aktiviti seni, anak kelahiran Kuching, Sarawak ini menganggap pertaruhannya itu sebagai salah satu cara untuk tampil lebih versatil dalam industri muzik. Hafiz tidak menafikan dia perlu berdaya saing jika ingin terus bertahan sebagai penyanyi.
Biarpun selesa dengan genre balada yang dibawanya sebelum ini, pemilik nama Mohd. Hafiz Mohd. Suip, 27, mahu keluar dari zon tersebut dan memberikan sesuatu yang baharu buat peminatnya yang selama ini menyokong dan menanti karya daripadanya.
“Pada mulanya agak berat untuk saya terima lagu ini kerana saya sudah biasa menyanyikan lagu balada. Dengan lagu-lagu tersebut juga saya mula dikenali dan melayakkan saya memenangi banyak anugerah. Peminat juga sudah terbiasa mendengar saya menyanyikan lagu begitu.
“Namun apabila saya fikirkan sedalam-dalamnya, saya tidak boleh terlalu selesa dengan satu genre sahaja. Saya juga perlu cuba melakukan suatu yang berbeza. Dalam soal ini, saya meletakkan diri saya sebagai peminat yang ingin melihat penyanyi kegemaran saya membuat perubahan.
“Pada masa yang sama, saya sedar untuk saya terus bertahan dalam industri ini, saya perlu berubah dan tidak boleh terlalu selesa berada di takuk lama. Jadi, saya cuba beranikan diri dengan tampil genre berbeza kali ini,” jelas Hafiz yang bakal melancarkan muzik video Kejar tidak lama lagi.
Kejar yang diterbitkan sepenuhnya oleh Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd., merupakan hasil nukilan komposer terkenal tanah air, Audi Mok dengan kerjasama Shazee Ishak yang menulis lirik lagu tersebut.
Agak lama menyepi tanpa sebarang lagu baharu, Hafiz tidak menafikan terbit rasa gementar dan teruja untuk mengetahui penerimaan peminat. Menurut Hafiz, yang membuatkan dia lebih gementar apabila lagu tersebut memerlukan dia menari.
“Perasaan saya bercampur baur apabila lagu ini dilancarkan. Saya rasa agak teruja kerana pertama kali saya menyanyikan lagu rancak. Saya berharap lagu ini mampu menjadikan saya seorang penyanyi yang serba boleh terutama buat peminat yang selama ini menantikan kemunculan semula saya.
“Selain itu, saya juga agak gementar kerana inilah satu-satunya lagu yang memerlukan saya menari. Sudah terlalu lama saya tidak menari dan saya dapat rasakan gerak tari saya agak keras. Saya telah mengambil masa selama dua hari untuk berlatih dengan guru tari saya iaitu Alam Wakaka.
“Selepas ini saya akan sentiasa berlatih menari kerana amat diperlukan setiap kali saya membuat persembahan. Yang menariknya, saya turut menyelitkan rentak tarian yang mampu menjadi ikutan atau tular,” jelas Hafiz yang bakal mengeluarkan beberapa single lagi untuk dijadikan sebuah album.
Seronok layan kerenah isteri
Berkisah tentang ruang peribadi, suami kepada Nureffy Jesreel Abdullah turut berkongsi pengalaman melayan kerenah isteri yang sedang mengandung empat bulan. Menurut Hafiz, walaupun pengalaman pertama, tidak timbul sebarang masalah buat pasangan suami isteri itu mengendalikan kehidupan baharu itu.
“Saya sangat bersyukur dengan rezeki kurniaan Tuhan ini. Ketika dikhabarkan berita tersebut merupakan saat yang paling manis dan akan saya kenang selama-lamanya. Sukar untuk saya menjelaskan perasaan ketika itu.
“Sekarang ini usia kandungan Effy sudah memasuki 19 minggu dan kedua-duanya sihat dan tidak berdepan sebarang masalah. Saya seronok melayan kerenah ibu mengandung. Setiap malam saya perlu mengurut kakinya selama 20 minit kerana dia sudah mula rasa lenguh.
“Setakat ini Effy belum mengidam perkara yang pelik atau sukar untuk didapati. Namun setiap kali dia teringin untuk makan sesuatu, saya akan usahakan sampai dapat.
“Saya juga banyak menelaah serta bertanya keluarga dan kawan-kawan . Mereka banyak memberi nasihat dan perkara yang paling kerap diberitahu ialah jangan terlampau teruja membeli barangan bayi.
“Tempoh yang sesuai untuk membeli keperluan tersebut apabila usia kandungan sudah mencecah tujuh bulan. Buat masa ini, saya hanya mengkaji beberapa barangan penting serta membandingkan harganya sahaja,” akhiri Hafiz yang mahu merahsiakan jantina bayinya.