Persaingan 24 bintang Akademi Fantasia


Memulakan siarannya pada Jun 2013 sebagai slot introduksi dalam penyiaran televisyen, program realiti popular Akademi Fantasia (AF) antara yang banyak melahirkan bintang dalam lapangan nyanyian.

Pendek kata, AF yang menjadi pelopor kepada program realiti nyanyian itu menjadi platform untuk anak-anak muda membuktikan bakat, seterusnya melakar kejayaan dalam karier masing-masing.

Tempoh 14 tahun sudah usianya, kini stesen Astro membuat kejutan buat peminat apabila kembali menggabungkan sebilangan bekas peserta program realiti itu di atas sebuah pentas yang sama.

Diberi judul AF Megastar, ia bakal bersiaran pada 3 September depan menerusi saluran Astro Ria (104) dengan menampilkan seramai 24 orang peserta.

Mereka terdiri daripada lapan orang juara program berkenaan iaitu Zahid (AF2), Mila (AF5), Faizal (AF4), Shahir (AF8), Faizul (AF2013), Ewal (AF2014), Sufie (AF2015) dan Amir (AF2016).

Sementara itu, baki 16 peserta lain terdiri daripada Rosma (AF1), Anding, Adam, Bob (AF2), Amylea, Idayu, Marsha (AF3), Nubhan (AF6), Aril (AF7), Adira (AF8), Amir Jahari (AF9), Azhar, Indah (AF2013), Ewal (AF2014), Syamel (AF2015) dan Ara daripada AF2016.

Risau tekanan

Bagi salah seorang pesertanya, Marsha Milan Londoh, dia mengakui pada awalnya enggan menyertai program tersebut kerana bimbang untuk berdepan dengan tekanan.

Nampak seakan mudah, namun hakikatnya Marsha yang pernah menjadi hos dalam sebuah program realiti nyanyian menyedari ia bukan satu kerja yang mudah untuk dilalui.

“Saya sendiri lahir daripada AF3 dan tahu bagaimana tekanan yang perlu dilalui oleh peserta. Jadi, apabila melalui pengalaman-pengalaman itu, ia memberi pengaruh kepada saya sehingga menimbulkan perasaan takut dan was-was sama ada mampu mengawal tekanan itu dengan baik atau tidak,” katanya yang mengambil masa sebulan untuk memberi jawapan kepada pihak Astro mengenai penyertaannya dalam AF Megastar.

Bukan sekadar itu, perubahan zaman yang terdedah dengan penggunaan media sosial tanpa batasan turut meninggalkan galau dalam hati penyanyi kelahiran Sabah itu.

“Bagi saya, kalau diberi komen oleh para juri secara berdepan memang perkara yang agak menakutkan. Namun, satu perkara yang membuatkan saya lebih berjaga-jaga adalah komen daripada netizen yang adakalanya lebih pedas berbanding juri.

“Namun, kalau terlalu difikirkan semula saya tidak boleh terlalu tertekan. Cuma nikmati sahaja pertandingan ini dan tidak terlalu mengira soal menang atau kalah,” ujarnya yang berharap pentas AF Megastar boleh dijadikan medan untuknya terus menimba ilmu.

Mantapkan vokal

Biarpun pernah menghilangkan diri selama bertahun-tahun, kemunculan semula penyanyi Shahir sejak awal tahun ini membuka ruang kepadanya untuk dilamar menjadi salah seorang peserta AF Megastar.

“Secara jujur, saya memang ada merancang untuk kembali aktif dalam industri. Itupun selepas ramai peminat bertanya tentang lagu baharu.

“Kebetulan pula dalam perancangan itu, saya ada menerima panggilan daripada pihak Astro tentang program ini. Alhamdulillah, saya tidak berfikir panjang kerana niat sudah dipermudahkan,” katanya yang pernah popular menerusi lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan.

Tempoh tiga tahun mengasingkan diri daripada sebarang publisiti membuatkan jejaka berusia 29 tahun itu sedar ada banyak perkara yang perlu diusahakannya demi AF Megastar terutama vokal.

“Saya rasa semua orang memang menantikan peluang besar sebegini. Jadi, apabila berjaya terpilih, ia bukan sekadar dapat memenuhi impian tetapi lebih kepada cabaran.

“Saya tahu, banyak perkara perlu diperbaiki memandangkan tiga tahun saya tidak menyanyi. Ini juga adalah cara saya untuk mencabar diri bagi membuktikan kebolehan diri,” ujarnya yang bakal muncul dengan single baharu selepas tamat AF Megastar.

Kuruskan badan

Meskipun usia penglibatannya dalam industri seni baru dua tahun, namun rezeki Syamel untuk bertanding dalam program realiti sentiasa terbuka luas selepas bergelar juara menerusi program Duostar bersama penyanyi Ernie Zakri pada Februari lalu.

Memiliki lantunan vokal serak basah dan merdu, Syamel sering kali menjadi kegemaran selain menerima jangkaan tinggi daripada peminat yang meletakkannya selaku calon juara.

“Ekspetasi sentiasa ada daripada peminat tetapi bagi saya usaha untuk sesuatu kerja tidak boleh bergantung pada harapan orang lain. Sebaliknya, ia perlu datang daripada diri sendiri bagaimana mahu memberikan 100 peratus untuk semua segi termasuk lagu, genre dan persembahan,” tegas pelantun lagu Lebih Sempurna itu.

Bukan sekadar itu, penampilan luaran juga diakui Syamel mampu memberi impak besar kepada seseorang artis apatah lagi ketika berdepan dengan kamera.

“Sebab itu sekarang saya ambil inisiatif sendiri untuk mengurangkan berat badan dengan mengamalkan diet serta senaman. Sebelum ini berat saya 95 kilogram (kg), sekarang sudah turun kepada 83kg.

“Antara rutin yang saya lakukan adalah pengambilan makanan yang sihat, terutamanya protein seperti ikan. Malah, sudah dua bulan saya tidak makan nasi dan mengambil makanan serta minuman bergula.

“Kadang-kadang, bukan sekadar teringin mahu pakai baju yang cantik tetapi ini semua dilakukan untuk kebaikan diri sendiri,” ujarnya yang menyasarkan penurunan berat badan sehingga 75kg.

Sisi berbeza

Bagi bekas juara AF5, Mila Jirin pula, kesempatan bertanding dalam AF Megastar adalah peluang terbaik untuknya kembali menggilap nama selepas dua tahun berehat.

Kata Mila, 30, dia mengakui masih belum puas dengan pencapaiannya selama bergelar anak seni. Lantas, peluang ini digunakan sebaik mungkin, sementelah pelantun lagu Aku Lebih Tahu itu memang merancang untuk mengeluarkan single baharu selepas melahirkan anak sulung pada Mei lalu.

“Selama ini orang selalu melihat saya membawakan lagu-lagu yang berentak riang selain imej keanak-anakan. Jadi, saya gunakan peluang muncul dalam program ini untuk menonjolkan sisi berbeza yang orang tidak tahu.

“Walaupun sudah berhijab, saya tidak akan membataskan persembahan kecuali memastikan konsep yang dibawa pada setiap minggu bersesuaian dengan diri saya,” ujarnya yang tetap melakukan rutin senaman untuk menjaga vokal selama tempoh dua tahun berehat.

AF Megastar yang dikendalikan oleh pengacara Aznil Nawawi atau Paknil akan diadili berdasarkan sistem pemarkahan sebanyak 60 peratus daripada juri profesional, manakala 40 peratus lagi ditentukan oleh undian penonton menerusi khidmat pesanan ringkas dan online di laman web www.afmegastar.com.my.

Post a Comment

Previous Post Next Post