Sejak pelakon kacak, Ashraf Sinclair berpindah ke Jakarta, Indonesia selepas menikahi bintang terkenal republik tersebut, Bunga Citra Lestari, sukar untuk melihat dia terbabit dalam mana-mana produksi Malaysia.
Lelaki berusia 38 tahun itu sudah membina jenama tersendiri di negara itu, malah menjadi antara barisan pelakon yang memperoleh bayaran lumayan hasil pembabitannya dalam naskhah yang diwakili.
Namun selepas tujuh tahun bergelar bintang sinetron, Ashraf mengakui mula berasa lelah dan muak dengan jalan cerita cinta yang serupa serta meleret hingga beratus-ratus episod.
Oleh sebab itu, apabila dirinya dipinang untuk memegang watak Fuad bagi mini siri Astro bertajuk Do(s)a, ia seperti satu jalan keluar terbaik buat Ashraf.
Bagai pucuk dicita ulam mendatang, peluang untuk bekerjasama dengan produksi Malaysia tapi hampir 90 peratus penggambaran di Indonesia adalah sesuatu yang terlalu berharga untuk dilepaskannya.
"Kali terakhir saya berlakon dalam drama bersiri Malaysia adalah pada tahun 2008 bertajuk Renjis bersama Elyana. Selepas itu saya berkahwin dan memulakan kerjaya di Indonesia.
"Saya berterima kasih kepada produksi Do(s)a kerana masih mahu dan percaya saya mampu membawakan watak utama bagi mini siri ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media Do(s)a di Jakarta, Indonesia, baru-baru ini.
Tambah Ashraf, antara cabaran utama berlakon dalam mini siri arahan Ifa Isfansyah tersebut adalah mengawal percakapannya serta lidah yang sudah biasa bertutur dalam loghat Indonesia.
Memberi komitmen besar terhadap penggambaran Do(s)a, membuatkan dia tidak menerima sebarang tawaran lain dalam tempoh dua bulan akan datang.
"Pada mulanya saya tersasul juga apabila dialog yang dilontarkan berbunyi loghat Indonesia tetapi selepas hampir sebulan penggambaran berjalan, saya sudah boleh membiasakan diri.
"Projek Do(s)a amat istimewa di hati saya kerana sudah lama tidak muncul di kaca televisyen Malaysia. Jadi untuk penggambaran yang dijangka berakhir dalam tempoh dua bulan ini, saya menolak sebarang tawaran berlakon sinetron,” katanya lagi.
Sedia
Kulinari: Selain membina nama sebagai anak seni, Ashraf dan isterinya, Bunga merupakan pemilik bersama rangkaian restoran terkemuka TGI Friday Indonesia.
Memegang watak Fuad, anak sulung kepada Latif lakonan Datuk M. Nasir, karakter tersebut banyak memberi refleksi Ashraf dalam dunia realiti yang juga merupakan seorang abang sulung yang tegas dan sangat menjaga adik-adiknya.
Meskipun ini kali pertama dia berlakon di samping nama-nama besar industri seperti Roy Marten (Indonesia) dan M. Nasir, Ashraf berkata, mereka semua tidak lokek dengan ilmu dan sering memberi tunjuk ajar.
Hal yang mengujakan Ashraf terbabit di dalam naskhah tersebut juga adalah kerana dia perlu kelihatan mahir dalam seni silat. Akuinya, dia tidak mempunyai asas tentang seni persilatan, dan kini giat menjalani latihan silat yang intensif demi memastikan karakter yang dipersembahkan dalam layar lebar kelihatan meyakinkan.
"Selain latihan fizikal, saya juga perlu berlatih menggunakan papan cerita dalam bentuk video yang juga merupakan suatu perkara baharu bagi saya sejak bergelar pelakon.
"Kebiasaannya, jalan cerita dilukis dalam papan cerita (story board) tetapi untuk Do(s)a, ada papan video (video board) yang perlu diamati dan dilakonkan semula. Jujurnya, ia memang tidak mudah,” katanya tertawa.
Fakus: Ashraf bersama Remy Ishak menjalani latihan intensif untuk babak pertarungan yang menjadi nadi dalam Do(s)a.
Memandangkan mini siri yang menghimpunkan tenaga daripada dua rumpun ini akan ditayangkan di Malaysia, Ashraf sempat ditanya adakah ia memberi petanda bahawa dia sudah bersedia untuk kembali mewarnai dunia hiburan Malaysia.
Sempat melepaskan tawa yang besar, bapa kepada Noah Sinclair itu berkata, jika masih diterima dan ada tawaran yang bagus, dia menerimanya dengan tangan terbuka.
Katanya, walaupun dia tidak berpeluang mengikuti drama-drama rantaian popular di Malaysia tetapi ada mendengar ulasan baik tentangnya daripada rakan-rakan serta keluarga.
Namun begitu, Ashraf masih lagi meletakkan famili sebagai keutamaan sebelum membuat keputusan kerana jika menjalani penggambaran di Malaysia, itu bermakna dia perlu berjauhan dengan isteri dan anak.
"Jika saya bersetuju untuk berlakon drama di Malaysia, maka ia haruslah sesuatu yang berbaloi dengan jarak masa yang saya harus berpisah dengan keluarga di Indonesia.
"Ya, saya rindu industri Malaysia tetapi keluarga masih lagi nombor satu dalam hidup saya. Jadi, selagi belum ada tawaran yang sesuai, saya okey sahaja di sini (Indonesia),” tuturnya jujur.
Masakan tidak selesa, di Indonesia, Ashraf bukan sahaja terlibat dalam bidang seni, tetapi bersama Bunga, lelaki itu kini giat membina empayar perniagaan.
Ashraf merupakan pemilik bersama restoran terkemuka TGI Friday Indonesia yang kini sudah berkembang maju dengan mempunyai empat buah cawangan sekitar Indonesia.
Justeru, hal sedemikian yang membuatkan pemain sinetron Catatan Hati Seorang Isteri itu perlu bertindak bijak sebelum mengambil keputusan.
Nasihat
Doa Mini siri ini dijangka menamatkan penggambaran pada Oktober depan dan akan ditayangkan pada penghujung tahun ini di saluran Astro Citra 131 dan Astro Mustika HD 134 serentak dengan Astro On Demand.
Sementara itu, peluang berborak panjang dengan empunya nama sebenar, Ashraf Daniel Mohammed Sinclair itu turut digunakan untuk bertanya tentang kisah cinta adik bongsunya, Adam Sinclair yang baru sahaja bertunang dengan penyanyi, Yuna Zarai.
Menyifatkan pasangan itu sebagai jodoh yang tertulis di syurga, sebagai abang, dia bahagia melihat adiknya gembira dan mendoakan yang terbaik buat mereka.
"Yuna seorang gadis pintar, cantik dan pandai membawa diri walaupun menetap di luar negara. Kami sekeluarga sangat beruntung kerana dia bakal menjadi sebahagian daripada famili ini.
"Adam pula seorang adik yang baik serta berbakat besar, cuma dia memilih untuk berkarya di belakang kamera. Mereka melengkapi antara satu sama lain,” ujarnya penuh harapan.
Ditanya adakah dia mempunyai sebarang nasihat atau pesanan buat Adam sebagai abang yang juga bernikah dengan bintang terkenal, Ashraf menggeleng kepala sambil berkata, setiap perkahwinan berbeza cerita dan ujiannya.
Tambahnya lagi, tidak kira pasangan kita seorang bintang atau orang biasa, apa yang penting ialah hati masing-masing dan bagaimana untuk mengemudi dunia perkahwinan dengan penuh berhemah.
"Tidak kira selebriti atau tidak, pada penghujungnya, kita semua mencari insan yang memahami dengan harapan diri kita juga difahami oleh mereka.
"Saya yakin Adam dan Yuna sudah bersedia untuk melakar cerita cinta mereka sendiri. Kita doakan sahaja jodoh mereka berkekalan hingga akhir hayat,” luah Ashraf menutup perbualan.